Oleh pada 06 Feb 2019 kategori

Kurma di Malaysia lazimnya dibuat dengan ayam atau kambing tumis dengan rampaian rempah kisar, kacang dan santan kelapa atau kelapa parut.

Campuran rempah untuk kurma ada dijual dalam bentuk pracampuran secara meluas dan dipasarkan secara komersial sebagai serbuk kurma.

Ayam kurma merupakan resepi dari India yang cukup terkenal di kalangan penduduk Malaysia. Ia juga adalah salah satu menu paling popular di restoran nasi kandar.

Hidangan ini enak jika dimakan dengan nasi putih atau nasi minyak yang sering dihidangkan di majlis-majlis seperti kenduri perkahwinan.

Menerusi hidangan ini, ayam dimasak dalam sos rempah yang berkrim. Kebiasaannya, hidangan ini dimasak dengan menggunakan serbuk kurma yang sudah siap seperti jenama Baba's, Adabi dan Alagappa's.

Anda juga boleh menambah telur rebus. Kalau ditambahkan sedikit cili hijau yang dikisar, rasanya yang lemak dapat dihilangkan muaknya. Ini dapat menjadikan kuah lebih pedas sedikit.

 

Kurma Ayam atau Daging Bawang Goreng

Kredit foto: Mazliza Ahmad [1, 2]

 

Bahan-bahan:

  • Ayam (1 ekor) / daging (1 kg) - dipotong ikut suka
  • Rempah kurma (3 sudu besar)
  • Kentang (4 biji) - dibelah ikut suka
  • Cili padi (7/8 biji)
  • Tomato ceri (8/10 biji)
  • Bawang goreng (5 genggam)
  • Kerisik (1 sudu makan)
  • Gula merah (2 sudu makan)
  • Susu cair (5 sudu) - untuk perap
  • Susu cair (1 cawan lagi) - untuk diletak kemudian
  • Bawang besar (2 biji), bawang putih (4 ulas) dan halia (1 inci) - dimesin

➡ Perap ayam atau daging dengan rempah, bawang goreng, kerisik, gula merah, bahan mesin dan susu cair dalam 15 minit.

 

Bahan tumis:

  • Kulit kayu manis, bunga lawang dan buah pelaga
  • Bawang besar (1 biji) - dihiris nipis
  • Bawang putih (3 ulas) - dihiris

 

Cara penyediaan:

1. Panaskan minyak. Masukkan bahan tumis.

2. Setelah naik bau, tuangkan ayam atau daging yang diperap tadi.

3. Masukkan air sehingga ayam atau daging tenggelam.

4. Masukkan kentang.

5. Masukkan garam dan perasa. Jika ayam atau daging belum empuk, boleh tambahkan sedikit lagi air.

6. Setelah agak pekat dan ayam atau daging dan kentang telah empuk, tuangkan lagi 1 cawan susu cair.

7. Akhir sekali, masukkan cili padi dan tomato ceri.

 

Nota: Jika mahu masak kurma ayam atau daging, pemilik resepi gemar buat kurma jenis ini kerana ia tidak menggunakan santan, sebaliknya hanya menggunakan susu cair sahaja.

 

Resepi Bonus: Jelatah Timun dan Nenas

jelatah timun dan nenas

 

Bahan-bahan:

  • Timun (1 biji) - dibuang kulit, dicakar dengan garfu, dibelah dua dan dihiris
  • Nenas (suku biji) - dihiris nipis
  • Bawang besar (1 biji) - dibelah 4 dan dihiris nipis
  • Cili masak dan cili hijau - dihiris
  • Gula (5 sudu makan)
  • Sedikit garam
  • Cuka (3 sudu makan)

 

Cara membuat:

Campurkan semua bahan ke dalam mangkuk dan gaul rata. Seimbangkan rasa masam manisnya.

 

Sumber:

1. Mazliza Ahmad [1, 2]

2. Patyskitchen (patyskitchen.blogspot.com) [12]

3. Wikipedia Masakan India Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)