Credit : spectator.co.uk

Pada tahun 1999, seorang wanita British berusia 87 tahun telah mengadakan sidang akhbar di hadapan rumahnya. Dalam sidang akhbar itu, dia mengumumkan bahawa selama hampir empat dekad, dia bekerja sebagai perisik untuk Kesatuan Soviet.

Wanita itu ialah Melita Norwood. Malah, dia adalah perisik Kesatuan Soviet yang paling lama berkhidmat di Britain. Bermula dari Perang Dunia Kedua hinggalah kepada Perang Dingin, dia memberitahu Moscow tentang pelbagai rahsia kerajaan British seperti rahsia nuklear dari pejabat tempat dia bekerja sebagai setiausaha.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Norwood sedia mengaku semua kegiatannya kerana seorang sejarawan Cambridge telah mengetahui rahsianya semasa menulis sebuah buku, tetapi dia tidak rasa bersalah. Dia memberitahu The Times of London bahawa jika dia dalam situasi yang sama sekali lagi, pasti dia memilih untuk menjadi perisik.

melita norwood membuat pengakuan

Norwood membuat pengakuan terbuka di hadapan rumahnya. Credit : ibtimes

Norwood sebenarnya adalah seorang ahli setia Parti Komunis yang menyokong percubaan Kesatuan Soviet untuk membawa komunisme ke Eropah Timur. Apa yang menakutkan apabila Amerika Syarikat dan Eropah Barat masing-masing mempunyai senjata nuklear yang membinasakan. 

Dia memulakan kerjayanya sebagai pengintip pada tahun 1930-an semasa bekerja sebagai setiausaha Persatuan Penyelidikan Logam Non-Ferrous di London. Persatuan itu sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan senjata nuklear Amerika Syarikat yang dipanggil "Alloy Tube".

Ketika tiada siapa yang memerhatinya, Norwood akan menyelinap ke pejabat bosnya. Dia kemudian akan membuka peti keselamatan dan mengambil gambar beberapa dokumen rahsia yang berada di dalamnya. DIa kemudian menyerahkan kameranya kepada salah seorang kenalan di KGB. Kenalannya itu hanya mengenali Norwood dengan nama kod "Hola".

keluarga melita norwood

Norwood (paling kiri) bersama ibu, adik dan abang tirinya. Credit : history

Pakar masih lagi membahaskan sebanyak manakah penglibatan Norwood dalam membantu program nuklear Kesatuan Soviet. Norwood terus melakukan pengintipan dan menghantar maklumat rahsia sehingga dia bersara. 

Pada tahun 1979, dia dan suaminya telah melawat Moscow untuk menerima anugerah Perintah Bendera Merah daripada Kesatuan Soviet. Ketika itu dia hanya menerima anugerah kehormatan sahaja tetapi menolak ganjaran kewangan.

Namun, bagaimanakah Norwood dapat bertahan begitu lama? DIa secara tidak sengaja telah dibantu oleh pihak perisikan Britain, M15. Salah seorang perisik wanita M15 dalam Perkhidmatan Keselamatan British, Mona Maund, sebenarnya telah mengenalpasti bahawa Norwood sebagai suspek pengintip pada tahun 1930-an. Ketika itu Norwood masih awal lagi dalam karier pengintipannya.

mona maund

Mona Maund. Credit : serenityfuneralhome

Akan tetapi, seorang pegawai atasan lelaki kepada Maund menolak maklumat itu kerana dia berfikir wanita tidak mampu menjadi pengintip yang bagus ketika itu. Malah, dia telah memecat Maund kerana menyangka wanita itu tidak cekap.

Majikan Norwood juga berasa sangsi dengan hubungannya dengan Parti Komunis tetapi mereka tidak pernah dapat membuktikan wanita itu sebagai salah seorang perisik.

Pasukan Perisikan British hanya dapat mengesahkan Norwood sebagai seorang perisik pada tahun 1990-an selepas kejatuhan Soviet Union. Ketika itu salah seorang bekas pegawai KGB yang membelot, Vasili Mitrokhin, telah melarikan diri dan menyerahkan enam fail maklumat penting mengenai perisikan Soviet kepada United Kingdom.

kolonel vasili mitrokhin

Kolonel Vasili Mitrokhin. Credit : BBC

Walaupun menerima maklumat Mitrokhin itu, pegawai-pegawai perisikan British menyimpan maklumat itu kerana menganggap mereka tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa Norwood.

Pada tahun 1996, kerajaan Britain memutuskan bahawa maklumat yang diberikan oleh Mitrokhin perlu disediakan kepada orang awam. Mereka menyerahkan maklumat itu kepada salah seorang profesor di Cambridge, Christopher Andrew, untuk menulis sebuah buku mengenainya.

Rahsia Norwood akhirnya terdedah pada September 1999 apabila The Times of London mula menerbitkan buku Andrew secara bersiri. Pendedahan itu amat mengejutkan anak perempuan Norwood sendiri, Anita Ferguson. Dia tidak menyangkanya sama sekali sehinggalah dia membaca mengenainya dalam akhbar.

christopher andrew

Christopher Andrew. Credit : thetimes

Ketika rahsia itu didedahkan akhbar The Times, Norwood kemudian mengadakan sidang akhbar untuk mengesahkan dakwaan itu bahawa dia adalah seorang perisik dan menjelaskan mengapa dia melakukan sedemikian.

Norwood berkata bahawa dia tidak melakukan perkara ini disebabkan habuan wang tetapi untuk membantu mencegah kekalahan sistem baru (Komunisme) yang akan menyediakan makanan, pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang murah kepada rakyatnya.

Dia juga merasakan apa yang diperolehinya daripada perisikan itu mungkin berguna dalam membantu Rusia untuk terus bersaing mengikuti Britain, Amerika Syarikat dan Jerman. Akan tetapi, secara umumnya dia tidak bersetuju terhadap perbuatan mengintip sesebuah negara itu.

buku david burke

Seminggu selepas itu, penulis David Burke memberitahu melalui tulisannya dalam The London Magazine, dia melawat Norwood dan mendapati wanita itu masih lagi berada dalam keadaan terkejut dengan pendedahan itu. 

Norwood tidak menyangka bahawa dia akan tertangkap dan akan selamanya terlepas. Namun, Burke menyatakan dalam bukunya The Spy Who Comes From The Co-op : Melita Norwood dan The Ending of Cold War Espionage bahawa sebenarnya Norwood masih lagi terlepas kerana selepas pendedahan yang dilakukan itu, pihak kerajaan masih enggan mendakwanya.

red joan

Credit : theplaylist

Melita Norwood akhirnya meninggal dunia pada tahun 2005 tetapi orang tetap terpesona dengan kisah hidupnya. Pada tahun 2013, penulis Jennie Rooney telah menerbitkan sebuah novel berjudul Red Joan, berdasarkan kisah kehidupan Norwood.

Baru-baru ini filem Red Joan lakonan Judi Dench sebagai Joan Stanley telah dihasilkan dan ditayangkan. Filem itu menceritakan kisah tentang Stanley yang merupakan seorang perisik, berdasarkan kisah benar Melita Norwood.

Rujukan :

1. History

2. Daily Mail

3. The Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)