Pandemik yang melanda memberikan kesan besar kepada banyak industri, terutamanya industri penerbangan yang menjadi mangsa penutupan sempadan udara tempatan dan antarabangsa melibatkan negara-negara dunia.

Ketiadaan pergerakan individu di udara dalam pesawat, menyebabkan banyak pengendali pesawat terpaksa gulung tikar. Bagi syarikat lebih besar yang bertahan - cabaran meneruskan perkhidmatan dalam era pasca-pandemik menukarkan kebiasaan yang satu ketika dulu dibuat demi kemudahan, telah menjadi satu rintangan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu keanehan yang wujud disebabkan oleh kesan pandemik adalah fenomena 'penerbangan kosong' atau 'penerbangan hantu', yang kerap dilakukan sebenarnya tetapi jarang diceritakan kepada umum.

Kejatuhan sementara industri penerbangan

malindo staff berdepan bankrapsi syarikat

Industri penerbangan yang satu ketika dahulu rancak, bertukar suram dalam pasca Covid-19.

Jumlah penumpang penerbangan antarabangsa menurun sehingga 60 peratus pada tahun 2020, (pautan PDF) jika dibandingkan dengan tahun 2019 akibat jangkitan. Tahun 2021, angka itu tampak belum mahu pulih sepenuhnya ke tahap pra-pandemik, dengan hanya 49% kadar penumpang memilih untuk menaiki kapal terbang berbanding tahun 2019.

Dianggarkan masa 2 ke 3 tahun diperlukan untuk menyaksikan semula jumlah penumpang penerbangan yang sama pada tahun 2019 kembali dicapai, dengan tahun 2022 diramalkan nilai penurunan kadar penumpang akan bertambah pulih pada kadar 28 ke 33%.

Ketiadaan penumpang memberikan cabaran besar kepada pengendali pesawat. Selain daripada penurunan kadar aliran tunai masuk, syarikat penerbangan juga masih perlu mematuhi garis panduan penjadualan penerbangan yang telah ditetapkan.

Slot penerbangan yang wajib dipenuhi walaupun tiada penumpang

slot penerbangan jadual

Salah satu ketetapan yang wajib diikuti adalah penjadualan slot penerbangan. Apa yang perlu kita tahu - semua syarikat penerbangan sebenarnya perlu membida dan membeli slot-slot penerbangan atau trafik udara yang ada.

Pemenang kepada slot diberikan kebenaran eksklusif untuk mengendalikan penerbangan melalui laluan tersebut dalam masa dan tempoh yang telah ditetapkan. Walaupun demikian bergelar pemegang pemegang slot tidak memberikan hak untuk syarikat penerbangan membatalkan penerbangan yang sudah dijadualkan.

Semua syarikat penerbangan harus memastikan sekurang-kurangnya 80% daripada jumlah penerbangan yang telah dijadualkan, diisi dengan sempurna. Jika mereka gagal mematuhi syarat ini, pihak pengendali lapangan terbang berhak membuka bidaan untuk slot penerbangan milik syarikat itu kepada pesaing mereka.

Krisis-krisis antarabangsa yang berlaku memberikan kesan besar kepada industri penerbangan, membolehkan kadar wajib 80% itu dinilai semula.

Bagi menghadapi kesan pandemik, pemegang slot di Eropah khasnya dibenarkan untuk hanya memenuhi 50% slot penerbangan. Kadar ini akan dinaikkan kepada 64% pada bulan Mac tahun 2022.

Bagaimanapun syarat ini masih memerlukan penerbangan dijalankan walaupun tiada penumpang berdaftar! Oleh sebab itulah kebanyakan syarikat, sama ada secara terbuka atau tertutup sebenarnya kerap menerbangkan pesawat kosong hanya untuk memastikan slot mereka tidak ditarik balik.

Kontroversi panas yang melanda Eropah

syarikat penerbangan ghost flight

Pada bulan Disember tahun 2021, ketua eksekutif syarikat penerbangan nasional Jerman Lufthansa mendedahkan berikutan kewujudan syarat ini, mereka perlu menjadualkan lebih 18,000 penerbangan pesawat kosong tanpa penumpang hanya untuk mencapai kuota penerbangan yang ditetapkan.

Pendedahan sebegini yang jarang dibuat, mendapat kecaman kebanyakan pengendali syarikat penerbangan kos rendah yang merasakan tindakan Lufthansa itu sesuatu tindakan yang tidak sepatutnya perlu berlaku.

Menurut pengkritik, adalah lebih baik syarikat gergasi seperti Lufthansa membenarkan slot yang dipegang iisi oleh syarikat penerbangan kos rendah lain. 

Walau bagaimanapun bagi pemegang-pemegang slot penerbangan seperti Lufthansa, melepaskan slot yang telah dipegang merupakan satu tindakan yang sukar untuk dibuat, kerana tanpa slot penerbangan jumlah penerbangan yang boleh dilakukan juga sudah pastilah akan menurun di masa hadapan.

Syarikat-syarikat gergasi seperti Lufthansa serta kebanyakan syarikat penerbangan lain merasakan adalah lebih berbaloi untuk mereka melakukan penerbangan hantu jika dibandingkan dengan kehilangan slot.

Kos yang digunakan sekarang seperti minyak dan sebagainya, boleh diperolehi semula ASALKAN slot penerbangan mereka tidak terlepas ke tangan pihak lain.

Jadi amalan biasa yang didiamkan pengendali

penerbangan malaysia airline kosong penumpang

Majoriti syarikat penerbangan dunia tidak mendedahkan kadar sebenar praktis 'penerbangan hantu' kepada umum, disebabkan kebimbangan mereka terhadap reaksi negatif yang bakal muncul sekiranya amalan ini didedahkan.

Kumpulan pencinta alam seperti Greenpeace meramalkan pada musim sejuk di Eropah tahun lalu saja, lebih 100,000 penerbangan hantu dikendalikan; menyebabkan pencemaran udara melalui pelepasan gas pada kadar 2.1 tan hanya untuk mencukupkan syarat kuota slot penerbangan.

Bagi syarikat penerbangan di negara kita, kita juga tidak mengetahui secara rasmi berapakah statistik penerbangan hantu yang telah dijalankan di negara kita.

Namun apa yang kita tahu, amalan ini juga merupakan satu kebiasaan yang dibenarkan serta menjadi antara pilihan akhir pengendali penerbangan, dalam memastikan slot penerbangan mereka tidak diusik. Ya, kita pun amalkan.

Pengkritik kepada sistem ini melihat apa yang berlaku merupakan sebuah pembaziran yang tak sepatutnya dilakukan.

Bagi penyokong sistem kuota ini pula, ketetapan itu perlu wujud bagi memastikan syarikat penerbangan tidak mengambil mudah jadual penerbangan yang ditetapkan serta memastikan persaingan di antara syarikat terus wujud secara sihat. 

Jadi janganlah terkejut pula sekiranya anda mendapati ada pesawat yang langsung tidak wujud penumpangnya, terbang ke destinasi percutian popular dunia dalam era pandemik kini. Mereka perlu terbang bagi memastikan kuota penerbangan dipenuhi ya!

Jangan pula anda kata pesawat itu sebenarnya mengangkut makhluk-makhluk halus untuk dihantar ke lokasi lain pula. Ye lah manalah tahu kan, orang kita ni nampak bas kosong berjalan jauh pun boleh jadi cerita macam-macam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)