Penampakan makhluk asing dan UFO adalah sesuatu yang sering diperkatakan sejak puluhan tahun yang lalu. Banyak kejadian penampakan yang dilaporkan di seluruh dunia. Namun, tahukah anda Malaysia juga mempunyai banyak kejadian penampakan makhluk asing serta UFO ini?

Banyak kes yang dilaporkan di Malaysia ialah berkenaan penampakan makhluk asing bersaiz 3 inci besar, yang dilabelkan oleh pengkaji barat sebagai "micro-terrestrial". Makhluk asing ini sering dilaporkan mempunyai antena pada atas kepala dan menaiki piring terbang bersaiz tidak lebih dari 3 kaki diameter.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut ada beberapa kes penampakan makhluk asing dan UFO di Malaysia yang terawal pernah dilaporkan:

1. Johor Bahru - 2 Julai 1969

micro terrestrial

Sebuah piring terbang dengan lima penumpangnya dikatakan telah mendarat di padang Sekolah Rendah Temenggong Abdul Rahman, pada kira-kira jam 10.25 pagi. Beberapa orang murid yang menyaksikan kejadian itu telah bergegas ke bilik Guru Besar untuk melaporkan perkara itu.

Para pelajar itu mendakwa mereka melihat lima makhluk asing yang berukuran 6 atau 7 inci tinggi keluar dari piring terbang dengan memakai pakaian serba merah dan membawa senjata pada pinggangnya. Ketika lebih ramai murid yang melihat cuba menangkap makhluk asing itu, mereka berlima segera menghilangkan diri melalui sebuah lubang terdekat.

Berita mengenai penemuan ini tersebar dengan begitu pantas di seluruh sekolah. Ketika ini hampir kesemua murid dan guru telah melakukan pencarian makhluk asing dan UFO di sekitar kawasan sekolah. Namun, mereka gagal menemui makhluk asing mahupun piring terbang itu, hanya kawasan kecil rumput terbakar, dipercayai tempat UFO mendarat.

2. Bukit Mertajam - 19 Ogos 1970

sk stowell

Kejadian kedua penampakan makhluk asing ini dilaporkan berlaku di Sekolah Kebangsaan Stowell di Bukit Mertajam pada 19 Ogos 1970. Enam orang pelajar iaitu Mohamad Zulkini 11, Abdul Rahim 10, David Tan 9, Sulaiman 10, Vikneswaran 10, dan Mohamed Ali 8, telah mendakwa melihat 5 makhluk asing bersaiz 3 inci sedang berarak seperti pasukan tentera keluar dari piring terbang ke arah kawasan sekolah.

Empat daripada makhluk asing itu memakai uniform berwarna biru, manakala yang kelima pula memakai pakaian berwarna kuning dengan dikelilingi oleh aura dan mempunyai antena seakan-akan bentuk tanduk. Pada mulanya makhluk asing itu tidak menghiraukan para pemerhati yang berada di sekeliling mereka dan memanjat satu pokok yang berhampiran serta memasang satu alat seakan-akan aerial pada dahannya.

Keenam-enam orang pelajar itu mendekati tetamu tidak diundang itu. salah seorang daripada mereka iaitu Vikneswaran, telah cuba untuk menangkap ketua makhluk asing yang memakai pakaian berwarna kuning itu namun makhluk asing itu dengan cepat mengeluarkan pistol kecil mereka dan menembak ke arah para pelajar itu.

Para pelajar yang panik itu kemudian melarikan diri dan Vikneswaran mendakwa ada kesan parut pada lengannya akibat terkena tembakan daripada makhluk asing tersebut. Pada hari yang sama juga, orang ramai telah datang ke sekolah itu untuk menyaksian sendiri makhluk asing sehingga pihak sekolah terpaksa menutup pagar bagi menghalang orang ramai daripada masuk.

3. Kuantan - 1973

pelbagai jenis ufo

Penampakan makhluk asing terus dilaporkan dengan trend yang agak sama iaitu ianya dilihat di kawasan sekolah. Kali ini ianya dilaporkan dilihat di sebuah sekolah di Kuantan, Pahang. Apa yang menakjubkan ialah kali ini ia bukan sahaja dilihat oleh dua orang pelajar, malah oleh seorang guru yang bertugas di situ.

Dua orang pelajar yang terlihat makhluk asing bersaiz 3 inci tinggi seakan manusia kerdil itu mendakwa mereka berjaya menangkap makhluk asing itu. Keadaan menjadi kecoh sehingga seorang guru telah datang untuk melihat apakah punca di sebaliknya. Menurut laporan akhbar, guru terbabit telah melihat satu lembaga kecil yang aneh sebelum ia berjaya meloloskan diri dan hilang.

4. Bukit Mertajam - 1973

ufo sightings

Pada tahun yang sama dengan kejadian di Kuantan, penampakan kali kedua di Bukit Mertajam berlaku di padang bola sebuah sekolah. Ketika itu para pelajar sekolah itu sedang bermain bola telah terlihat satu UFO kecil telah mendarat di padang tempat mereka bermain. Mereka semua berhenti bermain dan berlari ke arah piring terbang yang mendarat itu.

Para pelajar mendakwa mereka melihat makhluk kecil keluar dari piring terbang itu dan mereka cuba untuk menangkap makhluk-makhluk kecil itu namun gagal. Menurut cerita para pelajar itu, satu pancaran cahaya telah ditembak ke arah tangan para pelajar yang cuba untuk menangkap makhluk asing itu dan dalam sekelip mata makhluk asing itu menghilangkan diri.

5. Miri - 1973

makhluk asing 595

Ini kejadian pertama penampakan makhluk halus berlaku di luar semenanjung Malaysia. Sekumpulan kanak-kanak telah mendawak melihat makhluk berukuran 6 inci tinggi dengan memakai sut putih. Mereka juga mendakwa bahawa makhluk itu sedang memotong pagar dawai besi menggunakan senjata yang mengeluarkan cahaya.

Ia mungkin senjata yang sama digunakan dalam beberapa kes sebelum ini, namun dalam kejadian di Miri ini, tiada kelibat piring terbang yang dilihat. Kejadian kedua yang dilaporkan di Miri juga berlaku pada tahun yang sama tetapi kali ini ia agak berbeza kerana bukan dilihat di kawasan sekolah.

Dalam kejadian yang berlaku di kawasan pantai, beberapa orang terdiri daripada kanak-kanak dan orang dewasa telah terlihat sekumpulan makhluk kecil memakai pakaian serba putih. Para saksi mendakwa terdapat sebanyak 6 atau 7 makhluk asing dan mereka tidak memakai sebarang topeng.

Makhluk asing yang ditemui itu dikatakan menyerupai manusia dari segala sudut kecuali saiz mereka yang kecil. Apa yang lebih menakjubkan, ia merupakan laporan pertama bahawa kumpulan makhluk asing ini terdiri daripada jantina wanita dan lelaki. Sama seperti laporan pertama di Miri, kali ini juga tiada piring terbang yang kelihatan.

6. Kuantan - 1976

sk pengkalan tentera kuantan

Satu laporan akhbar New Straits Times melaporkan bahawa satu makhluk bersaiz 3 inci tinggi yang kelihatan seakan manusia telah dilihat di kawasan Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia yang terletak kira-kira 12 km dari bandar Kuantan. Makhluk itu telah dilihat oleh seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Kuantan berhampiran parit di kawasan padang sekolah itu.

Pelajar itu, Paul Lazario, 9 tahun, mendakwa dia telah berjaya menangkap makhluk itu namun makhluk itu berjaya melepaskan diri. Makhluk itu dikatakan berwarna coklat, menyerupai manusia dan terdapat pistol yang diselitkan pada bahagian pinggangnya. Pada petang hari yang sama, Paul kembali bersama dua orang rakannya yang lain ke tempat itu dan mereka bertiga melihat makhluk asing itu melarikan diri setelah menyedari kehadiran mereka.

Seorang guru di situ, En. Yew Kim Guan telah mendengar kisah itu dan pergi untuk menyiasatnya dengan lebih lanjut. Dia bagaimanapun tidak menemui sebarang tanda kewujudan makhluk itu di situ akan tetapi terjumpa satu khemah kecil seakan-akan khemah Red Indian di kawasan berumput itu dan sebahagian daripadanya telahpun rosak.

7. Kulim - 26 Mei 1979

makhluk asing 2

Kejadian di Kulim ini disaksikan oleh 3 kanak-kanak lelaki dan 2 lelaki dewasa. Mereka mendakwa telah melihat UFO kecil sedang terbang beberapa kaki tinggi dari atas tanah, kemungkinan besar sedang cuba untuk melakukan pendaratan.

Salah seorang daripada saksi cuba untuk menyentuh objek misteri yang berukuran 2 kaki diameter itu sebelum satu cahaya yang terang terhasil daripada objek tersebut dan membuatkan mata mereka seolah-olah buta buat seketika.

Seorang pakar pengkaji makhluk asing dan UFO di Malaysia iaitu En. Ahmad Jamaludin berpendapat bahawa terdapat makhluk pintar yang mengawal piring terbang itu dari dalam. Berdasarkan saiz piring terbang itu, kemungkinan makhluk yang berada di dalamnya berukuran sekitar 3 inci tinggi.

Sebenarnya, banyak lagi kes penampakan makhluk asing, manusia kerdil atau UFO ini dilaporkan di Malaysia. Lebih daripada 150 kes yang dilaporkan sejak dari 1969 sehingga hari ini. Antara beberapa kes berulang yang dilaporkan ialah di Sungai Petani, Kedah sebanyak lapan kali, di Ipoh, Perak sebanyak 5 kali, di Tanjung Sepat, Selangor sebanyak sembilan kali, di Paka, Terengganu sebanyak empat kali dan Bukit Mertajam sebanyak tiga kali.

Ada yang berpendapat penampakan makhluk asing ini adalah imaginasi para pelajar sekolah yang pada ketika itu popular dengan cerita mengenai UFO dan makhluk asing, ada juga berpendapat ianya benar wujud. Bagi para ilmuan Islam pula, makhluk asing yang sering menjadi buah mulut ini berkemungkinan jelmaan jin kerana ia tidak disebutkan dalam al-Quran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)