Setiap orang ingin mempunyai privasi mereka sendiri. Namun, privasi bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi bagi orang terkenal atau selebriti. 

Mungkin mereka penat kerana sering menjadi perhatian umum, mereka juga mahu merasakan ketenangan tanpa diganggu. Ada kalanya, pencarian privasi bukan sahaja ketika hidup, malah membawa kepada apabila sudah meninggal dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerana privasi juga, ada orang terkenal mahupun selebriti memilih untuk dikuburkan secara rahsia atau dikebumikan di kubur yang tidak bertanda. Berikut adalah senarai antara beberapa orang terkenal yang memilih untuk dikebumikan sedemikian.

1. Wolfgang Amadeus Mozart

mozart

Kuburan tidak bertanda adalah sesuatu yang pelik pada zaman moden tetapi adalah biasa ratusan tahun yang lalu. Begitu juga dengan komposer muzik terkenal sepanjang zaman, Mozart.

Mozart meninggal dunia dalam keadaan papa kedana dan dikebumikan di dalam kubur kongsi di bawah penanda kayu yang biasa sahaja. Pada zaman itu, menggali semula kubur orang mati adalah perkara biasa. Ia bertujuan untuk penggunaan semula tanah kubur bagi mayat baru.

Kubur Mozart telah digali semula dan sisa mayatnya ditempatkan dalam ruangan lebih kecil. Namun, orang pada zaman itu kehilangan rekod di mana sebenarnya sisa mayat Mozart berada.

Hari ini, anda boleh melawat batu nisan Mozart yang ditempatkan di tanah perkuburan St. Marx di Vienna. Namun, ia bukanlah tempat sebenar mayat komposer terkenal itu berada kerana tiada rekod yang dapat membuktikan perkara itu. (sumber)

2. George C. Scott

george c scott

George C. Scott adalah seorang pelakon pentas, filem, pengarah dan penerbit. Dia pernah memenangi Anugerah Akademi sebagai pelakon terbaik dalam filem Patton. Namun, dia sebenarnya tidak menghadiri majlis tersebut sebaliknya berada di rumah menyaksikan perlawanan hoki.

Scott juga berpendapat bahawa anugerah Oscar adalah salah satu penghargaan yang korup dan tidak bertamadun. Pelakon itu pernah menghubungi pihak Anugerah Akademi agar namanya dibuang daripada senarai calon tetapi diabaikan.

Ramai yang terkejut termasuklah penyampai anugerah Oscar ketika itu iaitu Goldie Hawn apabila nama Scott adalah pemenang dalam sampul surat yang dibacanya.

Scott adalah salah seorang selebriti terkenal tetapi mempunyai sifat yang agak pelik. Dunia hiburan juga tertanya-tanya mengapakah ketika pelakon itu meninggal dunia pada tahun 1999, kuburnya di Westwood, California, tidak ditandakan dengan nama atau tarikh kematian. Mungkin dia seorang yang tidak begitu gemar dengan perhatian umum. (sumber)

3. Genghis Khan

genghis khan 939

Genghis Khan merupakan pengasas kepada Empayar Mongol dan penjajah yang sangat terkenal dalam sejarah. Dia dikatakan mempunyai beratus-ratus orang anak sepanjang hidupnya dan sangat dihormati rakyatnya selain digeruni musuh.

Atas sebab-sebab tertentu, Genghis Khan tidak mahu orang mengetahui di manakah dia dikebumikan apabila meninggal dunia. Mungkin kerana egonya yang tinggi, dia tidak mahu orang datang dan meletakkan bunga di pusaranya.

Menurut rekod sejarah, Genghis Khan begitu prihatin sehingga mengeluarkan arahan kepada tenteranya agar menutup segala jejak dan merahsiakan kuburnya.

Tenteranya juga telah membunuh semua yang hadir dan menyaksikan pengebumian maharaja itu. Mereka kemudian membunuh pula para pekerja yang terlibat dalam pembinaan kuburnya. Akhirnya, para tentera yang terlibat itu membunuh diri agar rahsia itu terkubur selama-lamanya. (sumber)

4. Steve Jobs

steve jobs 309

Bagi sesetengah orang terkenal, mereka memang memerlukan perhatian. Steve Jobs juga adalah salah seorang daripadanya. Tumpuan sebegini mungkin diperlukan oleh pengasas Apple itu untuk kepentingan dan kebaikan syarikatnya tetapi itu tidak bermakna dia menyukainya.

Ketika di luar waktu bekerja, Steve Jobs adalah seorang yang begitu pentingkan privasi. Dia juga mengekalkan privasinya walaupun setelah meninggal dunia akibat barah pankreas.

Apabila tersebar maklumat bahawa mendiang Steve akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Alta Mesa di Palo Alto, California, ramai orang dari seluruh dunia berhasrat untuk menziarahi kubur genius itu.

Namun, kakitangan Alta Mesa telah berjanji untuk merahsiakan lokasi sebenar kubur Steve Jobs yang tidak bertanda di situ. Ramai pengunjung dan peminat kecewa kerana tidak dapat melawat kuburnya. Apa yang pasti, Steve Jobs ingin dikebumikan berdekatan dengan kubur ibu bapanya berhampiran kebun aprikot di situ. (sumber)

5. Cleopatra

cleopatra

Aneh apabila memikirkan mengapa orang yang hidup sebagai seorang legenda tetapi bersemadi di kubur yang tidak diketahui. Cleopatra adalah salah seorang daripadanya. Makamnya begitu rahsia sehingga 2,000 tahun selepas kematiannya, kita masih lagi tidak tahu di mana ia berada.

Menurut ahli sejarah Suetonius dan Plutarch, pemimpin Rom iaitu Octavian (kemudian menukar nama sebagai Augustus) memutuskan agar Cleopatra dan suaminya, Mark Antony, dikuburkan bersama-sama setelah mengalahkan mereka.

Anak-anak Cleopatra yang terselamat telah dibawa pulang oleh Octavian ke Rom dan dibesarkan sebagai warganegara Rom. Ahli sejarah berpendapat bahawa kubur Cleopatra dan suaminya terletak di suatu tempat rahsia di Iskandariah, Mesir.

Ada yang berpendapat tujuan Octavian merahsiakan lokasi sebenar Cleopatra dan Mark Antony kerana mahu dunia melupakan musuhnya itu buat selama-lamanya. (sumber)

6. Adolf Hitler

adolf hitler 988

Adolf Hitler adalah seorang ahli politik Jerman dan pemimpin Parti Nazi. Dia adalah seorang yang begitu terkenal sebagai seorang diktator yang kejam dan bertanggungjawab memulakan Perang Dunia Kedua apabila menyerang Poland.

Dia bertanggungjawab ke atas kematian jutaan nyawa semasa perang. Apabila Jerman akhirnya kalah dalam Perang Dunia Kedua, Hitler telah melarikan diri di salah sebuah tempat persembunyiannya.

Hitler dilaporkan sempat berkahwin dengan Eva Braun pada malam 28 atau 29 April 1945 di tempat persembunyiannya. Pada 30 April, tentera Soviet berjaya mengepung kawasan itu dan Hitler telah menembak dirinya sendiri manakala Eva pula memakan pil sianida.

Mayat mereka berdua kemudian dibawa keluar ke bahagian taman dan dibakar. Sisa mayat Hitler, Eva dan beberapa lagi pegawainya yang dibakar kemudiannya diambil dan disimpan dalam kotak abu mayat. Sebahagian laporan mengatakan kotak abu mayat Hitler telah diubah tempat simpanannya sebanyak beberapa kali. Tiada siapa tahu di manakah tempat simpanan sebenar tinggalan diktator itu. (sumber)

7. Keluarga Diraja Arab Saudi

kubur raja abdullah

Ada kalanya, seseorang itu dikebumikan di kubur tidak bertanda atas alasan keagamaan. Salah satu yang melakukannya ialah keluarga diraja Arab Saudi dan mereka mempunyai beberapa garis panduan yang sangat ketat berkaitan pengebumian.

Ketika Raja Abdullah meninggal dunia pada tahun 2015, dia telah dikebumikan di sebuah kubur tidak bertanda dalam upacara yang sederhana. Tiada pengebumian awam atau tempoh berkabung rasmi dilakukan.

Beliau dikebumikan di tanah perkuburan al-Oud di Riyadh dan dikelilingi oleh kubur-kubur keluarga diraja Arab Saudi yang lain, di mana kubur mereka juga tidak bertanda.

Mereka berbuat demikian bagi mengelakkan kubur mereka ditangisi, dihiasi atau dijadikan tempat sebagai amalan khurafat serta perbuatan karut yang lain. Namun, ada segelintir pihak yang tidak tahu tentang perkara itu menyebabkan ramai yang hadir dan berkumpul di kuburnya. Pihak berkuasa terpaksa menjaga kubur itu bagi menghalang orang awam daripada mendekatinya. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)