Satu ketika dulu, negara China sangat terkenal dengan 'Laluan Sutera' atau 'Silk Road' yang menjadi pemangkin kepada ekonomi wilayah tersebut pada zaman lampau. Dalam era abad ke 21 ini, kerajaan China dilihat sekali lagi cuba menghidupkan kembali 'Laluan Sutera' versi baru, yang kini diberi nama 'Belt and Road Initiative' atau BRI.

Didokong sepenuhnya oleh kerajaan China sebagai satu cara negara tersebut meluaskan pengaruhnya ke serata dunia, dana yang diperlukan bagi memenuhi impian ini teramatlah besar dan tidak banyak negara mampu melaksanakannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Digelarkan sebagai 'yi dai yu' oleh pengasasnya, BRI yang turut sama digelarkan sebagai projek 'One Belt One Road' atau OBOR direncanakan untuk menghubungkan tiga benua iaitu Asia, Afrika dan Eropah, membolehkan sempadan hampir separuh penduduk dunia diselarasakan dalam satu laluan gergasi dalam rancangan yang diharapkan menjadi pemangkin ekonomi dunia - dengan China sebagai pendahulunya.

Berapakah dana yang dibelanjakan untuk OBOR?

dana besar china obor

Setakat ini tidak ada jumlah sebenar diumumkan namun OBOR dijangkakan bakal memerlukan suntikan dana setinggi RM4.5 trillion, dengan RM860 billion sudah pun dikeluarkan bagi membangunkan infrastruktur di negara-negara sekitar Asia.

Hasil usaha membangunkan fasiliti di luar China ini memerlukan kerjasama luar biasa daripada pihak-pihak sektor pembinaan namun kritikan terhadap usaha ini kerap kedengaran, kerana kerajaan China seakan-akan sengaja meminggirkan kontraktor tempatan di negara-negara anggota, meletakkan syarat agar syarikat dan pekerja yang dilantik diterbangkan khas dari negara China sendiri.

Dianggarkan setakat ini, kontrak sebanyak RM1.5 trillion telah pun ditandatangani di antara syarikat-syarikat milikan kerajaan China dengan negara-negara yang telah bersetuju. Berikutan syarat yang diletakkan, kebanyakan pihak berpendapat China sebenarnya memperkenalkan langkah tersebut bagi membolehkan rakyat mereka keluar daripada negara mereka, mengurangkan beban ekonomi mereka dalam membuka ruang pekerjaan di negara sendiri serta mengecilkan jumlah penduduk mereka yang diketahui sangat berkapasiti tinggi.

Apakah risiko kepada negara yang menyertainya?

bekas pm bersama ji xinping

Kerajaan Malaysia dan Pakistan ketika ini sedang dalam rangka proses menilai semula penyertaan mereka dalam inisiatif OBOR. Kisah negara Sri Lanka yang terpaksa menyewakan pelabuhan kepada sebuah syarikat China selepas gagal melunaskan pinjaman mereka, kerap menjadi rujukan keburukan OBOR.

Kajian menunjukkan lapan buah negara berdepan risiko ketiadaan kemampuan melunaskan pinjaman - Djibouti, Kyrgyzstan, Laos, Maldives, Mongolia, Montenegro, Tajikistan dan Pakistan sendiri. Apa yang menakutkan, majoriti negara yang disenaraikan mempertaruhkan lebih separuh hutang luar negara mereka kepada kerajaan China.

Keadaan ini dikatakan memberikan risiko tinggi kepada kerajaan negara-negara tersebut untuk diletakkan dalam situasi 'diplomasi jerat hutang', yang akhirnya membolehkan China menggunakan kedudukan mereka untuk menekan negara tersebut agar tunduk pada permintaan China.

Sebagai contoh, negara Tajikistan misalnya pernah melangsaikan hutangnya pada China dengan penukaran kawasan seluas 1,158 km persegi yang selama ini menjadi pertikaian antara kedua-dua buah negara tersebut. Risiko perkara seumpama tersebut berlaku dalam skala lebih besar menjadi hujah pengkritik OBOR selama ini.

Kenapa OBOR dikritik masyarakat dunia?

kritikan terhadap obor

8 buah negara yang disenaraikan di atas menjelaskan serba sedikit risiko jerat hutang yang boleh melanda mana-mana negara yang menjadi rakan kongsi OBOR. Banyak pihak merasakan OBOR bakal menjadi satu cara imperialisme zaman moden yang akan memberikan China kuasa yang terlalu besar, ke atas negara-negara kecil dan membangun.

Ada juga pihak merasakan OBOR boleh dijadikan alat untuk kerajaan China meluaskan pengaruh ketenteraannya. Inisiatif OBOR walaupun bermula sebagai satu kaedah memperkembangkan ekonomi antara negara berjaya membolehkan China membuka pengkalan tentera pertama mereka di Djibouti.

Penganalisis juga mendapati kebanyakan pelabuhan dan infrastruktur pembangunan yang telah dibangunkan boleh digunakan dalam bentuk multi-fungsi; sebagai fasiliti untuk merancakkan ekonomi negara rakan kongsi dan juga amat sesuai untuk dijadikan fasiliti ketenteraan.

Adakah Inisiatif OBOR ada tarikh tamatnya?

kerjasama negara dunia

Tidak. Semenjak diumumkan pada tahun 2013, tidak ada sebarang tarikh rasmi bilakah inisiatif ini akan dihentikan. OBOR juga sudah dimasukkan dalam perlembagaan rasmi Parti Komunis negara tersebut, membolehkan pelaksanaannya dijalankan tanpa wujud sebarang sekatan tempoh waktu.

Oleh kerana ketiadaan struktur yang tetap, banyak pihak berpendapat kerajaan China sebenarnya mempunyai perancangan yang lebih besar berbanding apa yang sudah diumumkan, semuanya memerlukan tindakan dalam jangka masa panjang.

Apa yang kita tahu, inisiatif ini bakal membina dua elemen penting dalam perancangannya - jalan darat yang akan menjadi pemangkin ekonomi serta jalan maritim. Pecahan kepada dua inisiatif ini adalah jalinan gergasi jalan keretapi, saluran gas, lebuhraya serta pembinaan fasiliti yang bakal memecahkan sempadan negara rakan kongsi - memecahkan apa yang dikatakan kerajaan China sebagai 'sekatan perhubungan' di antara negara-negara Asia.

peta obor

60 buah negara telah bersetuju menjadi rakan kepada inisiatif ini, membenarkan pembangunan infrastruktur di negara mereka menerusi pelbagai perjanjian. Selain pembangunan infrastruktur dan fasiliti, OBOR juga menubuhkan Universiti Alliance of the Silk Road, yang dibuka untuk menumpukan kepada penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan yang akan digunakan dalam projek mega ini.

Universiti tersebut juga bakal menjadi pusat pertukaran idea sama ada dari segi kerjasama dan juga dari segi pembangunan pengetahuan. Selain daripada bidang akademik, dua buah mahkamah antarabangsa juga diwujudkan di Shenzen dan Xi'an bagi menyelesaikan sebarang masalah tuntutan yang timbul, semasa projek ini berjalan.

Walau demikian, mahkamah antarabangsa itu tetap dikritik sebagai salah satu langkah kerajaan China memperkenalkan undang-undang antarabangsa mengikut kehendak mereka. Selain itu, banyak pihak merasakan mahkamah itu tidak boleh berlaku adil selepas melihat sendiri sistem kehakiman yang ada di China yang seringkali memenangkan parti pemerintah China sahaja.

Rujukan

The Guardian




Hakcipta iluminasi.com (2017)