Oleh pada 11 Jul 2021 kategori

Di wilayah-wilayah luar bandar China seperti Shanxi, Shaanxi dan Henan, terdapat satu tradisi perkahwinan pelik yang semakin mendapat sambutan. Tradisi yang dimaksudkan ialah "Perkahwinan Hantu" di mana manusia hidup berkahwin dengan individu yang telah meninggal dunia.

Gambaran hantu dari filem

Mengapa mereka melakukannya? Berikut adalah penerangan mengenai Perkahwinan Hantu ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sunyi di alam kematian

Di China, kepercayaan terhadap kehidupan selepas mati amat kuat. Saudara-mara yang masih hidup perlu membuat pemujaan kepada "hantu" atau roh nenek moyang agar aman di alam seterusnya.

Pemujaan atau sembahan ini biasanya menggunkan kertas yang mewakili wang, rumah atau kereta. Kertas ini kemudian dibakar dan dipercayai dapat digunakan oleh roh di alam lain.

Jika seseorang itu mati tanpa berkahwin, rohnya dikatakan akan kesunyian. Biasanya, ibu bapa si mati akan mengaturkan perkahwinan hantu agar roh anak mereka tidak kesunyian. Mereka juga percaya bahawa roh yang tidak tenang cenderung untuk kembali dan menghantui ahli keluarganya.

Roh yang tidak tenang dikatakan mampu menyebabkan ahli keluarganya jatuh sakit. Jika tiada penawar, maka keluarga si mati akan mencari pasangan untuk dikahwinkan dengan roh anak mereka.

Pengebumian sempurna

Di sesetengah tempat, seorang lelaki yang belum berkahwin tidak boleh dikebumikan di plot yang sama dengan ahli keluarga kerana memalukan roh nenek moyangnya dengan tidak menyambung keturunan.

Wanita yang belum berkahwin pula mungkin tidak dibenarkan untuk dikuburkan secara rasmi sama sekali. Jadi, perkahwinan hantu antara wanita dan lelaki yang telah meninggal dunia dapat menyelesaikan masalah ini.

Mereka bukan sahaja mendapat pengebumian yang sepatutnya tetapi memberi keselesaan kepada keluarga masing-masing yang percaya bahawa roh mereka tenang dan tidak akan kembali menghantui.

Tekanan masyarakat

Perkahwinan hantu biasanya berlaku antara dua orang yang telah meninggal dunia. Namun, banyak juga kes di mana orang yang masih hidup berkahwin dengan orang yang telah mati.

Di beberapa tempat di China, wanita yang belum atau lambat berkahwin bukan sahaja dianggap memalukan malah menjadi beban kepada keluarga. Mereka juga berhadapan dengan risiko dipulau masyarakat.

Antara jalan penyelesaiannya adalah melalui perkahwinan hantu. Bukan sahaja wanita itu mendapat tempat di dalam masyarakat, bahkan dalam keluarga mertuanya juga.

perkahwinan hantu 65

Tradisi Cina juga tidak menggalakkan "langkah bendul" di mana adik berkahwin sebelum abang atau kakaknya. Jika abang atau kakak meninggal dunia sebelum berkahwin, perkahwinan hantu membolehkan adik mereka berkahwin tanpa melanggar tradisi atau menyinggung roh si mati. 

Cinta pada pasangan

Sebilangan kes perkahwinan hantu juga dilakukan atas perasaan cinta. Ia biasanya berlaku kepada pasangan bercinta atau bertunang di mana salah seorang daripada mereka meninggal dunia sebelum berkahwin.

Perasaan cinta yang kuat membuatkan pasangan yang masih hidup memilih untuk berkahwin dengan pasangan mereka yang telah meninggal dunia. Pada tahun 2015, tular satu rakaman di mana seorang lelaki mengahwini teman wanitanya yang telah meninggal dunia.

Industri lumayan

Perkahwinan hantu tidak jauh berbeza dengan perkahwinan biasa. Industri perkahwinan hantu juga berkembang dari masa ke masa dan memilih pasangan boleh menjadi sesuatu yang sulit.

patung pengantin hantu

Apabila China memperkenalkan "Polisi satu anak" untuk mengawal populasi, banyak keluarga memilih untuk memiliki anak lelaki berbanding perempuan memandangkan nilai mereka dalam tradisi Cina. Ada yang sanggup menggugurkan janin perempuan dan mencuba semula.

Pada 2018, lelaki dianggarkan 32.6 juta lebih ramai berbanding wanita di China. Keadaan ini sedikit sebanyak menyukarkan untuk mencari calon pengantin wanita sama ada hidup ataupun meninggal dunia.

Menurut seorang jururawat di Shanxi, berita mengenai gadis bujang yang nazak di hospital boleh menyebabkan orang ramai datang untuk "membidanya" bagi dijadikan pengantin. Malah, ada keluarga yang sanggup menyerahkan anak mereka yang nazak kepada pembida tertinggi sebelum gadis itu meninggal dunia.

Disebabkan permintaan yang tinggi, ada yang sanggup melanggar undang-undang seperti menculik, menjarah kubur atau membunuh untuk menjual pengantin perempuan. Menurut Professor Ping Yao, terdapat 12 kes bunuh di China yang dikaitkan dengan perkahwinan hantu.

Perkahwinan hantu di negara lain

Walaupun perkahwinan hantu popular di China, ia juga berlaku di negara-negara lain. Perkahwinan seumpama ini dilihat berlaku di Perancis, Sudan dan beberapa negara lain di Asia.

Di Taiwan, ahli keluarga kepada wanita bujang yang meninggal dunia akan meletakkan duit dan helaian rambut si mati dalam sampul berwarna merah. Sampul itu akan diletakkan di tempat awam. Mana-mana lelaki yang mengambil dan membuka sampul harus menjadi pengantin lelaki wanita mati itu.

Jika lelaki itu enggan dia dipercayai akan mengalami nasib buruk. Pengantin lelaki itu juga diizinkan berkahwin dengan wanita lain kemudian, selagi dia terus menganggap pengantin hantunya sebagai isteri utama.




Hakcipta iluminasi.com (2017)