Oleh pada 03 Nov 2023 kategori

Apabila istilah 'ninja' disebut, kami yakin ramai akan membayangkan seorang lelaki Jepun berpakaian keseluruhan hitam dengan wajah yang dibalut agar melindungi identitinya. 

Itu adalah gambaran biasa jika kita cuba membayangkan rupa seorang ninja. Bagaimanapun tahukah anda, imej ninja dari Jepun yang sering dipaparkan dalam media itu sebenarnya hanyalah salah sangka yang akhirnya diterima ramai? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ini kerana ninja sebenar bukanlah sama seperti apa yang kita biasa jangka. Mungkin ninja dalam siri manga Naruto lebih menyerupai ninja sebenar berbanding ninja yang berpakaian keseluruhan hitam kesemuanya. Kenapa kita ada tanggapan begini dan dari mana asal-usulnya?

Mitos pakaian hitam ninja

mitos ninja berpakaian hitam

Pakaian ninja yang sering digambarkan berwarna hitam, sebenarnya dipopularkan hasil kekeliruan akibat populariti karya-karya fiksyen yang dibuat berdasarkan sejarah, khususnya melibatkan sejarah Jepun.

Tidak ada sebarang bukti yang mengiyakan ninja perlu mengenakan pakaian hitam penuh yang sering kita bayangkan. Sebaliknya, ninja sebenar yang bertugas di Jepun akan memakai pelbagai jenis pakaian berbeza, bergantung kepada misi dan situasi yang bakal mereka tempuhi.

Ninja yang juga dikenali sebagai shinobi, memainkan peranan utama sebagai penyusup atau pengintip di zaman feudal Jepun. Berlainan jauh dengan sangkaan kita, seorang ninja perlu menyelaraskan diri dengan persekitaran dunia nyata.

Memakai pakaian hitam bukan pilihan praktikal dalam banyak situasi, sebaliknya seorang ninja akan memilih pakaian yang membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat atau persekitaran di mana mereka ditugaskan.

Dalam erti kata lain seorang ninja yang sedang bekerja, lebih mudah mengenakan pakaian harian biasa masyarakat Jepun zaman tersebut berbanding pakaian hitam ikonik yang popular dalam media - kerana menyamar sebagai orang biasa lebih memudahkan mereka bergerak ke sana ke mari.

Kenapa pakaian hitam popular?

ninja pakaian hitam mitos

Populariti mitos tentang kostum hitam ninja berpunca daripada cara kaedah seorang ninja bekerja.

Seorang shinobi atau ninja adalah individu anggota yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang pengintipan, membantu mengumpulkan maklumat dan informasi secara senyap untuk memenuhi misi yang diberikan kepada mereka.

Setiap individu bergelar ninja mempunyai kecekapan tinggi dalam penyamaran dan penipuan agar penglibatan mereka dalam misi rahsia dapat dilindungi. 

Dalam usaha untuk merahsiakan identiti dan menjalankan misi, ninja akan memakai pakaian yang sesuai, yang membolehkan mereka menyamar menjadi petani, pedagang, atau warga tempatan; pakaian yang tidak menimbulkan kecurigaan.

Pakaian yang dipakai oleh ninja pula walaupun tampak seakan pakaian biasanya, sebenar direka untuk membolehkan pergerakan cepat dan senyap, diperbuat daripada bahan yang ringan dan mempunyai permukaan tidak berkilat, memudahkan mereka bergerak pada waktu malam tanpa dikesan.

Konsep pakaian ninja serba hitam yang sering digambarkan dalam budaya popular layak dikatakan interpretasi karyawan dalam menokok tambah realiti yang kami ceritakan di atas. Tetapi dari mana datangnya inspirasi yang mewujudkan idea ninja perlu berpakaian hitam sebegini? Teater.

Pengaruh pembantu teater dibalik tabir

teater kabuki inspirasi ninja

Di kalangan masyarakat Jepun, wujud budaya popular teater dinamakan sebagai teater Kabuki.

Dalam setiap persembahan teater Kabuki yang terkenal dengan lakonan dramatik dan pakaian berwarna-warni, akan muncul pekerja pentas atau kru pementasan yang akan muncul dengan memakai kostum hitam sepenuhnya di atas pentas dan pergi secepat mungkin dalam memastikan perjalanan cerita tidak terganggu.

Kumpulan kru pementasan ini dinamakan kuroko atau 'pembantu berpakaian hitam.'

Main video di atas pada waktu 3:40 untuk melihat kuroko bekerja

Pakaian hitam yang dipakai kuroko ini sengaja dibuat menggunakan kain hitam, bagi melambangkan mereka bukan sebahagian daripada persembahan selain membantu mencipta ilusi seolah mereka tidak wujud atas pentas.

Kru pementasan ini memegang tanggungjawab memanipulasi pentas, objek malahan pelakon sendiri ketika di atas pentas, seolah-oleh apa yang berlaku - berlaku secara sendiri.

Kuroko juga bertanggungjawab memindahkan prop dan aksesori sekiranya berlaku peralihan set latar belakang. Kostum hitam yang dipakai membantu mereka menyiapkan tugasan tanpa menarik perhatian penonton.

Pengaruh corak pemakaian kuroko inilah yang dikatakan menjadi acuan utama kenapa ninja sering digambarkan dengan pakaian hitam dalam media popular, sehingga layak dikatakan ikonik dan dijadikan inspirasi yang akhirnya lekat dalam penciptaan karya-karya fiksyen.

Seorang ninja yang berpakaian hitam menyelinap dalam gelap sudah tentulah menjadi subjek yang lebih menarik untuk divisualkan, berbanding ninja sebenar yang berpakaian biasa yang duduk mengintip di tepi dinding menantikan ada informasi sulit dihamburkan musuh.

Ninja sebenarnya adalah orang biasa

ninja menyamar sebagai orang biasa

Apa yang ingin kami sampaikan, imej ninja hitam yang sangat popular dan kita kenal hari ini adalah hasil fiksyen dan romantisisme elemen tradisi teater di Jepun.

Ninja sebenar hanya akan memakai pakaian biasa. Pakaian hitam penuh yang sering digambarkan bagi menggambarkan seorang ninja langsung dalam dunia nyata tidak praktikal, untuk mereka menjayakan operasi.

Mitos ini bagaimanapun telah berkembang dalam budaya popular biarpun tidak merujuk kepada sejarah dengan tepat. Ini kerana imej 'ninja' tak boleh kita nafikan menarik dan menjentik imaginasi kita. 

Bagi penulis, filem seperti American Ninja, watak dalam siri animasi GI Joe iaitu Snake Eyes dan juga permainan video Ninja Gaiden atau Shinobi memainkan peranan besar dalam memahatkan informasi kurang tepat tentang seorang ninja dalam mata masyarakat dunia.

Sehinggakan kadangkala tak ramai rasa pelik kenapa sekumpulan ninja masih berpakaian hitam walaupun mengintip pada waktu siang, dalam sesetengah karya fiksyen berkait kumpulan pengintip ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)