Oleh pada 22 Aug 2021 kategori

Bahasa dikatakan mampu menyatukan kita. Ini kerana bahasa biasanya adalah elemen kemasyarakatan yang akan kita kongsi walaupun kita berbeza agama, bangsa, budaya dan juga jantina.

Sebut tentang jantina dan bahasa, pasti sangat aneh bukan sekiranya bahasa yang kita guna dibezakan mengikut jantina? Apabila bercakap tentang bahasa dan jantina, kita biasanya hanya merujuk kepada kelainan gaya percakapan, intonasi, tona dan jenis perkataan yang dipilih antara kedua-dua jantina.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi di satu daerah bernama Ubang yang terletak di negara Nigeria, masyarakat di situ mempunyai cara hidup yang unik di mana lelaki dan wanitanya mempunyai sistem bahasa yang berbeza antara satu sama lain.

Selamat datang ke Ubang

kedudukan ubang di nigeria

Daerah Ubang terletak di antara dua gunung di sekitar Obudu. Kehidupan masyarakat di situ masih mengamalkan pertanian sebagai punca pendapatan utama dengan tanaman seperti keladi dan koko menjadi antara hasil bumi popular di situ.

Ubang dibentuk daripada gabungan tiga buah kampung, Okwersing, Ofambe dan Okiro. Ketiga-tiga komuniti di ketiga-tiga kampung masih cekal mengamalkan tradisi lama yang mereka warisi, di mana lelaki dan perempuan mengamalkan penggunaan bahasa yang berbeza.

Tetapi dalam masa yang sama, kedua-dua jantina mampu memahami antara satu sama lain!

Berdasarkan pegangan mereka, kedua-dua bahasa yang nyata berbeza dari segi dialeknya itu sama rata kedudukannya, tidak ada satu yang dianggap lebih baik dan penuturnya diajarkan untuk bangga mengamalkannya.

Ini disebabkan oleh pengaruh elemen kepercayaan agama yang membentuk dan mempertahankan tradisi itu dalam masyarakat mereka.

Kepercayaan bahasa Ubang bahasa yang diperturunkan Tuhan

kampung di ubang

Kisah bagaimana amalan perbezaan bahasa ini bermula, berasas daripada kepercayaan mereka. Menurut kisahnya, masyarakat Ubang percaya semasa Tuhan mereka mahu menganugerahkan kebolehan berbahasa kepada manusia, Tuhan itu telah hadir ke Ubang terlebih dahulu.

Bagi membolehkan orang Ubang bercakap, Tuhan mereka memberikan satu bahasa kepada lelaki, satu bahasa khas kepada wanita.

Bagaimanapun, selepas menyedari sekiranya anugerah itu terus diberikan mengikut jantina hanya akan menyebabkan bahasa yang perlu dianugerahkan tidak mencukupi - Tuhan mereka membuat keputusan untuk hanya memberikan satu bahasa kepada kaum-kaum lain.

Orang Ubang bertuah kerana mereka menjadi satu-satunya kaum tunggal yang mendapat keistimewaan, diberikan dua bahasa berbeza mengikut jantina selepas Tuhan mereka turun ke bumi, di situ terlebih dahulu.

Hikayat ini menjadi pegangan rasmi orang Ubang, sehinggakan mereka menolak sebarang usaha untuk menyatukan kedua-dua bahasa.

Atas sebab itulah semua kanak-kanak Ubang akan dilatih mengikut bahasa yang telah ditetapkan untuk mereka sejak lahir. Sebarang usaha untuk melanggar pantang larang ini dipercayai hanya akan mengakibatkan kemurkaan Tuhan serta mengakibatkan seseorang itu mudah menjadi kelu.

Bahasa sebagai simbol kematangan seseorang

perayaan masyarakat ubanh

Walaupun kepercayaan mereka berbunyi sedemikian rupa, pengaruh seorang ibu kepada anak lelakinya mengakibatkan ramai kanak-kanak lelaki lebih mudah terikut bahasa yang dikhaskan untuk wanita.

Mereka melihat proses transformasi bahasa kanak-kanak lelaki sebagai satu simbol kematangan individu. Semua budak lelaki hanya akan dianggap matang apabila mereka berjaya meninggalkan bahasa ibu mereka, berjaya menggunakan bahasa yang dikhaskan untuk kaum pria.

Dari segi usia, kanak-kanak lelaki yang berusia lebih 10 tahun dianggap sudah mampu bertutur bahasa lelaki. Sekiranya dia masih lagi menggunakan bahasa wanita, dia akan dianggap kurang normal berbanding kanak-kanak lain.

Tradisi unik yang kian pupus

orang ubang nigeria

Ketika ini penggunaan bahasa unik yang hanya terhad dalam komuniti mereka, sedang berdepan ancaman penggunaan bahasa Inggeris yang meluas.

Sekolah-sekolah yang dihadiri pelajar dari Ubang menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar, mengakibatkan semakin ramai pelajar sudah mula melupakan warisan mereka.

Anak-anak muda yang berhijrah keluar juga lebih selesa mengamalkan penggunaan bahasa Inggeris, sehingga mengakibatkan bilangan penutur asli bahasa itu semakin hari semakin berkurangan.

Bagaimanakah berbezanya kedua-dua bahasa ini?

Mari kita lihat beberapa contoh.

ubang perkataan ubah jantina berbeza

Air bagi lelaki disebut 'amie' sementara wanita 'banu.' Keledek pula dipanggil 'iri' oleh wanita, sementara 'ketung' oleh lelaki. Batu? Lelaki menggunakan 'okai' dan wanita pula 'koka.' Baju disebut 'nki' oleh lelaki sementara kaum hawa menggelarkannya 'ariga.'

Kami tidak tahu apa solusi yang mereka gunakan, dalam penerbitan bahan bertulis. Mungkin buku pun perlu diterbitkan dalam dua versi berbeza agaknya.

Rujukan

Ubang - The Nigerian Community Where Men and Women Speak Different Language




Hakcipta iluminasi.com (2017)