Lama sebelum Batman muncul bagi melindungi bandar Gotham dan Clark Kent melindungi Metropolis daripada serangan penjahat sebagai Superman, seorang ahli silap mata telah pun muncul dengan nama Mandrake The Magician.

Mandrake adalah watak adiwira pertama di dunia yang membuat kemunculan dalam komik sejak 11 Jun 1934 melalui penerbitan di dalam surat khabar. Wataknya dicipta oleh Lee Falk dengan Phil Davis berkhidmat sebagai pelukis siri komik tersebut. Davis bertugas sebagai pelukis komik Mandrake sepanjang hayatnya, sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1964.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah 'Mandrake The Magician' diteruskan oleh pelukis-pelukis lain, dengan seorang pelukis Fred Fredericks mengambil alih tugas Davis dan Falk terus menjadi penulisnya. Kerjasama mereka berdua berakhir selepas Lee Falk meninggal dunia pada tahun 1999 dan Fredericks mengambil alih tugas Falk, sebagai penulis dan juga pelukis.

Komik harian itu ditamatkan tanpa berjaya disudahkan jalan ceritanya pada 6 Julai 2013, selepas Fred Fredericks mengumumkan persaraannya.

Mandrake, ahli silap mata adiwira pertama komik dunia

mandrake beraksi

Mandrake adalah seorang ahli silap mata yang mempunyai kebolehan melakukan hipnosis dengan pantas. Dengan memakai topi ahli silap mata, jubah berwarna merah serta wajah yang tampan, Mandrake digambarkan sebagai seorang yang mempunyai ketajaman fikiran serta pandai berkata-kata.

Mandrake setiap kali dibantu isterinya, Puteri Narda, seorang puteri yang berasal daripada sebuah negara bernama Cockgaine yang handal dalam seni mempertahankan diri dan juga Lothar, rakan karibnya yang berasal dari Afrika.

mandrake bersama lothar adiwira pertama dunia

Lothar adalah seorang bangsawan yang sepatutnya naik menjadi raja kepada gabungan tujuh negara di Afrika, tetapi memilih untuk menyertai Mandrake menjelajah dunia. Dalam kisahnya, Lothar bergelar antara lelaki terkuat di dunia serta mempunyai kekebalan daripada serangan magik yang dilakukan penjahat. 'Mandrake the Magician' menjadi perintis kepada pengenalan watak berkulit hitam sebagai satu watak penting dalam sejarah komik dunia.

Dalam merangka watak Mandrake, pada mulanya watak itu digambarkan hanya mempunyai kebolehan untuk melakukan hipnosis tetapi lama kelamaan kebolehannya semakin berkembang seperti menjadi halimunan, berubah tubuh, boleh terapung dan juga mampu melakukan teleportasi.

Kisah komiknya memaparkan perjalanan Mandrake cuba menghalang musuh utamanya, seorang watak bernama The Cobra yang ingin merampas kiub kristal yang dikatakan mampu menambah keupayaan minda penggunaanya. Selain itu, banyak lagi watak jahat diperkenalkan dengan majoriti watak direka berkisarkan kepada penggunaan kuasa magis dan menggunakan tipu helah dalam merangka strategi jahat mereka.

'Mandrake The Magician' dalam media

mandrake sacha baron cohen bakal terbit 2019

Menjadi salah satu siri penerbitan paling popular ketika zamannya, 'Mandrake The Magician' menginspirasikan banyak lagi penerbitan dalam bentuk lain memaparkan wataknya.

Wataknya sangat popular di kalangan kanak-kanak dalam bentuk permainan selain kisahnya dalam bentuk cerpen atau novel turut sama diterbitkan. Siri drama radio 'Mandrake The Magiciain' diterbitkan pada tahun 1940 sehingga tahun 1942.

Columbia Pictures, salah sebuah studio penerbitan terkenal di dunia bersetuju untuk menerbitkan siri drama 12 babak 'Mandrake The Magician' pada tahun 1939 yang mengambil salah satu jalan cerita di mana Mandrake dan Lothar perlu mengejar seorang penjenayah handal yang bergelar The Wasp.

Watak Mandrake kembali bernafas semula selepas hakcipta kepada penerbitan wataknya bertukar tangan. Sebuah siri komik empat isu 'Mandrake' diterbitkan pada tahun 2015 sebagai permulaan kepada pengenalan semula watak klasik ini untuk generasi baru. Siri komiknya yang ditelah diterbitikan turut sama diberi nafas baru dalam koleksi pertamanya yang memaparkan kembali jalan cerita ciptaan Lee Falk dan lukisan Fred Fredericks.

Pada Jun 2016, Sacha Baron Cohen, bintang komedi kepada filem Borat, Bruno dan Talladega Nights dilaporkan akan membintangi filem 'Mandrake The Magician' yang dijangka akan ditayangkan pada tahun 2019.

Begitulah serba sedikit kisah berkenaan watak Mandrake The Magician, watak adiwira komik pertama di dunia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)