Oleh pada 26 Jan 2018 kategori

Sumber foto: itc.gov.my

Masyarakat Islam terutamanya yang tinggal di Lembah Klang dialu-alukan untuk menghadiri Majlis Sambutan Terulung Maulidur Rasul Ke-15 yang bakal diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam esok, bermula pada jam 5 petang hingga 9 malam.

Program tersebut juga memuliakan sambutan ulang tahun tokoh ulama dan sarjana terkenal Islam, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani. Penganjurannya adalah hasil kolaborasi beberapa pertubuhan Islam dan agensi Kerajaan Persekutuan seperti Al-Wariseen Trust, Yayasan Restu, Yayasan Al-Jenderami, Yayasan Dakwah dan Islam Malaysia (YADIM), Pusat pengajian Ba’alawi, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan lain-lain.

Menurut Sheikh Afeefuddin Al-Jailani iaitu pengerusi Al-Wariseen Trust sebagai penganjur utama, majlis itu adalah usaha pihaknya untuk menyeru semua masyarakat Islam mengenang serta menyayangi Nabi Muhamad SAW.

Bahkan, ia menyatukan perpaduan dan hati di antara mereka di bawah kalimah tauhid. 

“Pada masa sama, kita turut menampilkan tokoh-tokoh ulama terkemuka dalam program ceramah sempena majlis sambutan berkenaan antaranya Al-Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid dari Malaysia; Sheikh Al-Habib Hassan Al-Attas (Singapura); Habib Umar Al-Jailani (Arab Saudi) dan Sheikh Dr. Muhammad Yahya Al-Ninowy dari Amerika Syarikat,” ujarnya kelmarin.

Sementara itu, Sheikh Afeefuddin menyatakan majlis tersebut juga dimeriahkan dengan persembahan keagamaan oleh Sheikh Redwan berserta Kumpulan Rohul Madinah dari Afrika Selatan.

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)