Oleh pada 18 Jun 2023 kategori

Semua pelajar di peringkat tertiari, pernah melalui kursus latihan industri atau internship - yang menjadi syarat wajib untuk menamatkan pengajian.

Daripada pengalaman menempuh alam pekerjaan secara semi-pro inilah timbul bermacam cerita tentang pengalaman manis dan pahit pelajar, dalam memastikan pemarkahan yang mereka perolehi bersama industri sebenar dapat dianggap berjaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian dalam masa sama, ada bermacam isu berkait internship yang telah lama timbul sehingga dijadikan tradisi; sedangkan bukankah boleh saja kita perbaiki sistem ini untuk mempercantikkan lagi pengalaman yang diperoleh pelajar dan manfaat lebih besar untuk majikan? 

Apa kelemahan sistem internship yang ada di Malaysia? Jom kita wacanakan serba sedikit berdasarkan pengalaman yang telah kami tempuh sebelum ini.

Latihan industri kita SANGAT LEMAH disebabkan institusi pendidikan sendiri

praktikal masalah elaun pelajar

Sekiranya membicarakan berkenaan kelemahan latihan industri, rata-rata masyarakat akan saling menuding jari mencari kambing hitamnya. 

Ada yang menyalahkan majikan yang mempergunakan pelajar latihan industri untuk penjimatan kos syarikat, sementara ada di kalangan masyarakat yang menyalahkan pelajar kerana terlalu manja, mahu dibedung dan dibelai agar dapat menjalankan latihan mereka.

Berdasarkan pandangan penulis, kelemahan utama sistem latihan industri kita tidak terhada kepada dua isu tersebut.

Kegagalan sebenarnya berpunca daripada kelemahan institusi pendidikan sendiri yang lepas tangan dalam menguruskan keperluan pelajar dan juga majikan, dalam menentukan kelayakan dan kekosongan jawatan yang hanya bersifat sementara.

Institusi pendidikan mengambil pendekatan mudah mewajibkan latihan industri ke atas semua pelajar selama 2 ke 3 bulan, tanpa benar-benar dilihat membantu pelajar yang realitinya MASIH pelajar.

Ini kerana pendekatan yang diambil institusi pendidikan seakan hanya membiarkan pelajar terkapai-kapai pandai-pandai sendiri, secara tiba-tiba untuk menentukan hala tuju mereka sebagai pelajar intern.

Tidak ramai mahu mengakui walaupun sekejap, akan perlu dilakukan banyak perubahan besar kepada corak hidup pelajar hanya untuk 2 ke 3 bulan.

Pelajar terpaksa ubah corak hidup mendadak

internship keperluan graduan

Majoriti pelajar semasa belajar biasanya akan memilih penginapan atau kediaman berdekatan lokasi di mana mereka belajar, demi memudahkan pengangkutan mereka.

Bagi mereka yang pernah merasai hidup sebagai pelajar, pasti sudah jelas kekangan yang ada pada kita tatkala mahu ke sana ke mari ketika masih dalam alam pendidikan.

Apa yang akan berlaku kepada pelajar demi memenuhi syarat latihan industri, adalah wujudnya keperluan untuk pelajar perlu berulang-alik ke lokasi lebih jauh, mungkin disebabkan tiada kekosongan latihan industri lebih dekat atau hanya lokasi tertentu menawarkan peluang yang relevan dengan kursus yang mereka ceburi.

Pelajar bila dah bergelar pelajar khususnya yang kurang berkemampuan, memilih jalan susah berulang-alik dalam tempoh jarak lebih panjang dan memerlukan kos lebih besar.

Tak mengejutkan kalau ada di kalangan pelajar latihan industri khususnya wanita menghabiskan RM50 sehari untuk ke pejabat menaiki teksi, disebabkan bermacam faktor. RM50 jika kita darabkan dengan 22 hari, jumlahnya sudah RM1,100.

Bukankah jumlah itu sebenarnya agak tinggi perlu ditanggung seorang pelajar latihan industri? Semua ini dibebankan lagi dengan isu elaun yang ditawarkan oleh majikan.

Kenapa elaun internship masih lagi cekik darah? 

pelajar ipt latihan industri

Penulis memperolehi elaun RM500 sebulan untuk menjalani latihan industri. Ini kisah beberapa dekad dulu.

Apa yang mengejutkan penulis angka ini masih menjadi standard yang dibayar oleh majikan dalam melatih pelajar latihan industri.

Penulis tidak berpendapat pelajar latihan industri harus dibayar gaji minima, tetapi majikan harus ingat; terdapat keperluan untuk pelajar hadir ke lokasi latihan setiap hari.

Cadangannya, majikan yang bersetuju untuk mewujudkan slot bagi latihan industri, harus sekurang-kurangnya memastikan setiap pelajar dibayar elaun yang mampu menampung kos pengangkutan dan kos sara hidup mereka sepanjang menjalani kursus. 

Untuk memastikan jumlah atau amaun yang diterima pelajar berkadaran dengan keperluan memenuhi syarat wajib kursus, pihak institusi pendidikan pula haruslah memainkan peranan yang sangat besar.

Ada banyak aspek sesebuah institusi pendidikan harus lebih cakna dan mengambil sikap lebih peka.

Kenapa institusi pendidikan terus dibenar lepas tangan?

pelajar praktikal dibiarkan lemas

Sekiranya latihan industri diwajibkan, persoalannya kenapa institusi pendidikan kelihatan seolah gagal membantu pelajar?

Itu polemik utamanya. 

Adakah ini kerana pelajar 'harus' dewasa, tidak lagi boleh dibantu dan disokong? Perlu sedar realiti dunia ini bagaimana?

Tidak. Jika anda melihat isu ini daripada perspektif sedemikian, mungkin ini kerana anda merasakan 'saya boleh buat dulu, kenapa mereka sekarang tak boleh?' Untuk terus berpegang kepada pandangan ini, kurang tepat.

Zaman sudah berubah. Tekanan kewangan semakin membesar. Elaun RM500 DAHULU tak sama nilainya dengan elaun RM500 sekarang.

Kita sebagai masyarakat harus mendesak agar institusi pendidikan memainkan peranan lebih besar dalam isu ini, dakam memastikan pelajar yang akan praktikal, diberikan sistem sokongan lebih baik.

Kerana institusi adalah pihak yang mewajibkan latihan industri. Bila kami sebutkan 'institusi' di sini, kami merangkumkan semua sekali badan berstatus kementerian, agensi dan jabatan yang mengelola dan membuat dasar mewajibkan latihan industri sebagai salah satu syarat wajib kursus.

Sudahlah diwajibkan, jam kredit yang dikenakan kepada latihan industri juga besar.

Jadi apa sebenarnya sumbangan atau penglibatan institusi dalam isu latihan industri?

Dah wajibkan internship, pelajar haruslah dibantu 

Semua institusi pendidikan harus mewujudkan kerjasama dengan majikan atau syarikat yang duduk dalam radius tertentu dari lokasi institusi tersebut, bagi membolehkan pelajar tidak perlu berulang-alik jauh dari penginapan mereka untuk ke tempat kerja yang bersifat sementara.  

Sekiranya pelajar ingin ke lokasi lebih jauh, pelajar harus sedar mereka yang membuat keputusan itu atas pilihan diri sendiri. Pastikan pelajar dan majikan mendapat garis panduan tentang keperluan dan hak kedua-dua pihak dengan jelas.

Kewujudan garis panduan yang lebih kukuh dalam memantau kriteria yang perlu dipenuhi syarikat atau majikan, mampu mengenalpasti amaun elaun yang sesuai untuk diterima pelajar sebagai saguhati.

Desakan daripada institusi pendidikan ke atas majikan atau syarikat perlu ada, bagi menyokong hak pelajar seterusnya memastikan kebajikan pelajar latihan industri terbela.

Instituasi pendidikan perlu memperkenalkan ketetapan garis panduan kadar kos pengangkutan dan sara diri yang direka khusus, menjadikan faktor kedudukan syarikat dari lokasi institusi itu sebagai ukuran.

Amaun elaun yang diperolehi menerusi formula sebegini pasti sekurang-kurangnya dapat membantu pelatih untuk tidak berdepan kerugian, demi memenuhi syarat wajib yang ditetapkan pihak institusi sendiri.

Nak intern, terima saja semua syaratnya!

kursus latihan industri isu elaun

Tidak boleh dinafikan memang ada pelajar yang culas dalam memenuhi tanggungjawab ketika bergelar pelatih industri.

Dalam perspektif berlawanan, ada juga banyak majikan yang mengambil peluang ke atas tenaga murah pelajar praktikal, menggunakan pelajar internship sebagai tenaga kerja sepenuh masa yang hanya perlu dibayar elaun minima.

Namun hakikatnya polemik, isu, masalah dan kontroversi berkait latihan industri sebenarnya berpunca daripada sikap institusi pendidikan yang membiarkan saja pelajar yang masih bernaung di bawah seliaan mereka lemas, dibiarkan pandai berenang sendiri.

Terlalu besar perubahan perlu dilakukan pelajar hanya untuk 2 ke 3 bulan, demi mendapatkan belasan jam kredit yang ada.

Sekiranya anda sendiri pernah menjalani latihan industri dan anda BENCI pengalaman yang anda lalui disebabkan elaun yang tak masuk akal, mahukah anda melihat orang lain melalui pengalaman serupa? 

Menerima elaun rendah, dikerah bekerja keras, sering tak cukup duit, terpaksa meminta dengan ibu bapa atau kawan-kawan untuk pergi kerja, semuanya pengalaman yang tidak kita lupakan.

Namun seandainya ada peluang untuk penambahbaikan dilakukan ke atas Dasar Latihan Industri Institusi Pengajian Tinggi, seperti yang telah diumumkan kali terakhir pada tahun 2021 - kenapa pula perlu kita bantah usahanya?

Kononnya kita dulu boleh, walhal kita struggle gila.




Hakcipta iluminasi.com (2017)