Bila disebut nama Joaquin Phoenix satu masa dulu, lebih ramai akan mengingati aktor itu atas tragedi yang menimpa abangnya, River Phoenix. Joaquin seolah ditakdirkan akan terus dibayangi bakat dan populariti mendiang abangnya River yang diakui antara aktor muda terbaik pernah muncul dalam industri Hollywood ketika itu.

Nama Joaquin kurang menyerlah dahulu tetapi kini, lakonan beliau dalam filem 'Joker' yang serba menjadi mengakibatkan ramai peminat dihantui tarian dan senyumanya yang sedih dan ngeri. Itupun selepas ramai yang mempertikaikan pemilihan beliau untuk membawa watak tersebut pada awalnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Disebalik sumbangan melahirkan dua anak seni berbakat besar, keluarga Phoenix sebenarnya menyimpan satu kisah silam yang cukup sukar untuk mereka ceritakan pada sesiapa. Mereka sekeluarga adalah bekas anggota kultus ajaran sesat agama Kristian yang dikenali sebagai 'Children of God.'

Lahir sebagai ahli kultus

joaquin phoenix semasa kecil

Joaquin Rafael Bottom lahir pada 28 Oktober 1974, anak ketiga daripada lima orang adik beradik. Abang sulungnya River Bottom lahir pada tahun 1970, empat tahun lebih tua berbandingnya.

Ibu bapa mereka John Lee Bottom dan Arlyn Bottom berkahwin pada tahun 1969. Setahun berikutnya tidak lama selepas kelahiran anak pertama mereka, kedua-duanya mengambil keputusan untuk menyertai kumpulan pendakwah Kristian yang aktif di California iaitu Children of God, bagi menyebarkan ajaran agama.

Kehidupan gerakan pendakwah ini membawa John Lee dan Arlyn serta River yang masih kecil, merantau ke sana sini, hidup di merata-rata tempat bergantung kepada lokasi di mana mereka diperlukan. Atas sebab itu, Joaquin lahir di San Juan yang terletak dalam negara Puerto Rico; salah satu negara di mana gerakan Kristian itu aktif. Dalam tempoh beberapa tahun, mereka anak beranak mula bergerak di beberapa buah negara Amerika Selatan selain daripada Amerika Syarikat dan Mexico.

Bagaimanapun, hubungan keluarga Phoenix dengan gerakan Children of God terhenti pada 28 Oktober 1977. Anak beranak Phoenix memilih untuk melarikan diri daripada organisasi itu, menumpang sebuah kapal kargo dari Venezuela yang hendak belayar ke Miami. Pada ketika itu, Joaquin baru berusia 3 tahun.

John Lee dan Arlyn mengambil keputusan drastik, meninggalkan gerakan ajaran Kristian itu yang dipercayai telah menyimpang jauh walaupun pada ketika itu, kedua-duanya dilantik sebagai Archbishop Children of God di Venezuela dan Trinidad.

Kembalilah mereka ke Amerika Syarikat memulakan hidup baru tanpa ada wang yang mencukupi, kerana berasa bimbang diapa-apakan pengikut kultus yang semakin hilang akal.

Siapakah kultus 'Children of God'?

kultus children of god

Kultus 'Children of God' bermula pada tahun 1968, diasaskan oleh seorang lelaki bernama David Berg dengan nama gerakan 'Teens for Christ.'

Pada era tersebut, nama Berg agak terkenal sebagai seorang individu yang rajin menyebarkan ajaran Kristian di merata-rata tempat bersama ahli keluarganya. Berg juga dikenali ramai kerana hasratnya mahu menarik minat golongan remaja menjadi penyebar ajaran Kristian, sebagai pengajar yang efektif dengan pengenalan kaedah yang sistematik.

Bagaimanapun sambutan terhadap 'Teens for Christ' agak kurang memberangsangkan. Berg serta ahli keluarganya mula mencari kaedah lain bagi meluaskan pengaruh mereka. Pada tahun 1969, Berg mengubah gerakan ajaran Kristian yang diasaskannya kepada 'Children of God' dengan harapan agar golongan dewasa turut sama dapat dipelawa menyertai komuniti mereka.

Bermula dengan hanya seramai 50 ahli kumpulan, dalam tempoh 8 bulan mereka berkembang sehingga mencecah 200 keahlian. Kesemuanya bersetuju untuk berkelana ke sana ke mari mengajar orang ramai tentang kasih sayang Jesus Christ. Setahun berikutnya pada tahun 1970; Berg mula meminta agar pengikutnya menggelarkan dirinya 'Moses.'

'Children of God' mengamalkan kehidupan berkomuniti, saling bekerjasama antara satu sama lain, berdikari sendiri tanpa perlu ada kerja tetap serta hanya bergantung hidup dengan bantuan-bantuan yang mereka terima; atas kerja dakwah mereka.

Malangnya, semua nafsu buas mula menguasai gerakan itu.

Nasib malang mendiang River Phoenix

keluarga bottom satu masa dahulu

Ajaran Berg yang pada awalnya bersih, mula menekankan kepentingan hubungan seksual antara manusia sebagai fokus utama.

Mereka juga memberikan penekanan bahawa sebarang bentuk hubungan seksual perlulah digalakkan - tak kiralah sama ada seks sumbang mahram atau seks dengan individu bawah umur, kerana menurut pegangan mereka - manusia memang diciptakan sebegitu rupa.

Itulah penyebab utama nasib yang menimpa abang Joaquin, River sejak kecil. River mengakui dia diminta mengadakan hubungan seks seawal usia 4 tahun. Dalam temuramah bersamanya sebelum beliau meninggal dunia, River mengakui tuntutan seksual di kalangan komuniti Children of God membolehkan apa saja bentuk hubungan kerana semuanya dibolehkan.

River memilih untuk melupakan apa yang telah berlaku serta enggan menceritakan pengalaman buruk yang telah dilaluinya. Apa yang dia sudi kongsikan, kanak-kanak seperti dia diajar dan digalakkan untuk menggemari hubungan intim, sehingga diarah menyertai ibu bapa sendiri menjalani hubungan seks. Selain itu ahli kultus yang berpangkat tinggi juga digalakkan untuk melakukan seks dengan kanak-kanak. Tidak jelas adakah River pernah menjadi mangsa pencabulan seksual oleh individu dewasa lain.

Apa yang berlaku pada River, Joaquin serta adik beradik mereka serta apa yang telah dilalui John Lee dan Arlyn, sehingga kini belum pernah didedahkan. Dalam hal ini, penulis memilih untuk bersangka baik dengan John Lee dan Arlyn dan menganggap perkara-perkara aneh yang terjadi, telah berlaku di luar pengetahuan mereka berdua.

Wanita berkahwin digalakkan melacurkan diri

joaquin phoenix dan ibu arlyn

Selepas mendapat arahan rasmi mengarahkan agar ahli komuniti wanita perlu menawarkan ganjaran seks kepada mana-mana individu yang berpotensi menjadi ahli komuniti mereka, John Lee dan Arlyn merasakan sudah tiba masanya untuk mereka membawa anak-anak mereka keluar; meninggalkan kultus yang menjadi keluarga mereka bertahun lamanya.

Keluarga itu berjaya melarikan diri daripada kompaun kawasan yang mereka diami sebelum menumpang sebuah kapal kargo kerana ketiadaan wang untuk perjalanan. Sekembalinya mereka di Amerika Syarikat, John Lee dan Arlyn mengambil keputusan menukarkan nama keluarga mereka kepada 'Phoenix' demi melindungi identiti mereka daripada pengetahuan ahli kultus. River Bottom menjadi 'River Phoenix'. Joaquin Bottom mahu menjadi 'Leaf Phoenix.'

Kedua ibu bapanya merasakan nama itu sesuai untuk dijadikan nama keluarga mereka, kibarat peluang kedua yang dikurniakan pada mereka untuk memulakan hidup baru - sama seperti seekor burung phoenix yang hidup kembali selepas mati.

Leaf Phoenix kekal dengan nama itu sehingga remaja, sebelum kembali menggunakan nama kelahirannya - 'Joaquin Phoenix.'

Memulakan hidup baru

joaquin phoenix gladiator

Walaupun masih dihantui kisah silam yang sadis, keluarga Phoenix mula mengorak langkah memulakan kembali hidup mereka.

Selepas hampir 10 tahun hidup dalam kultus yang tidak menyediakan sebarang bentuk bantuan kewangan, keluarga Phoenix mesti mencari pekerjaan bagi mendapatkan rezeki. River diberikan tanggungjawab sebagai anak sulung untuk mengetuai aktiviti busking adik beradiknya, menyanyi ditepi-tepi jalan bagi mengumpul wang.

Dalam salah satu persembahan, bakat yang dimiliki River dikesan pencari bakat yang menawarkan beliau sesi uji bakat. Nasib keluarga itu mula berubah selepas River terpilih menjadi salah seorang pelakon utama siri televisyen terbitan CBS pada tahun 1982, ketika River baru berusia 12 tahun. Joaquin turut sama mula berlakon dalam banyak watak pembantu di studio di mana abangnya bekerja.

Malang seribu kali malang hayat River tidak panjang. Pada tahun 1993, River Phoenix yang baru berusia 23 tahun meninggal dunia di kaki lima jalan selepas dos dadah campuran yang diambilnya menyebabkan beliau mula mengalami sawan yang teruk sehingga badannya hilang kawalan.

Joaquin yang berusia 19 tahun ketika insiden, cuba melakukan panggilan kecemasan mengharapkan agar bantuan hadir secepat mungkin - tetapi River gagal diselamatkan.

Karier seni Joaquin tergantung selama lebih 2 tahun selepas insiden tersebut. Joaquin kembali berlakon namun bergelumang dengan pelbagai masalah ketagihan dadah dan alkohol, sering dilabel salah seorang aktor yang mempunyai masalah disiplin dan sukar dikawal.

Kembali bangkit seperti phoenix dari timbunan abu

river dan joaquin

Hanya selepas mendalami watak pemuzik legenda Johnny Cash yang bakal dilakonkannya dalam filem 'Walk the Line', Joaquin mengambil keputusan untuk membersihkan dirinya daripada ketagihan pada tahun. Dia juga mula mengambil serius perjalanan kariernya dalam industri hiburan.

Tidak dapat dinafikan satu ketika dulu, abangnya River disebut berpotensi menjadi pelakon lelaki terbaik Hollywood - meninggalkan nama-nama besar seperti Tom Cruise dan Leonardo Di Caprio kerana gaya lakonannya yang cukup semulajadi.

Namun jelas dengan usaha gigih serta kesedaran untuk berubah; Joaquin mula keluar daripada bayang-bayang abangnya - membentuk namanya sebagai seorang aktor yang sangat disegani serta naik menggantikan abangnya sendiri, sebagai aktor nombor 1 di Hollywood ketika ini.

Rujukan

Joaquin Phoenix Spent His Early Years in a Religious Cult

Remembering River Phoenix: New Book Revisits the Actor's Too-Short Life




Hakcipta iluminasi.com (2017)