Josette Audin telah menghabiskan masa selama lebih 60 tahun mendesak pemimpin-pemimpin Perancis untuk bertanggungjawab ke atas kematian suaminya di Algeria. Akhirnya, pada tahun 2018, Presiden Emmanuel Macron mengaku bahawa mendiang suami Josette, Maurice Audin, telah diseksa dan dibunuh semasa berada dalam tahanan.

Josette yang kini berusia 87 tahun menceritakan detik perkenalan dengan Maurice ketika menuntut sebagai pelajar jurusan Matematik di University of Algiers sekitar tahun 50-an. Mereka mula berkenalan di bilik kuliah, dilamun cinta dan akhirnya mendirikan rumah tangga.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kedua-dua Josette dan Maurice berasal dari Eropah, sama seperti penduduk Eropah lain yang mewakili satu persepuluh populasi Algeria selepas 120 tahun di bawah pemerintahan Perancis.

Mereka juga merupakan warga komunis yang menyokong penuh tuntutan terhadap Kemerdekaan Algeria.

Penangkapan Maurice Audin

Pada tahun 1957, Maurice mengajar matematik di universiti dan sedang menyambung pengajian di peringkat kedoktoran manakala Josette pula sibuk membesarkan tiga orang anak mereka yang masih kecil. Ketika itu, Pertempuran Algiers sedang memuncak. Kumpulan pro-pembebasan giat menjalankan serangan keganasan dan pihak berkuasa pula bergelut untuk mengawal keadaan.

maurice audin mati dibunuh semasa dalam tahanan tentera perancis

Apabila pihak pemerintah mendapat tahu bahawa keluarga Audin ini telah menawarkan rumah mereka sebagai tempat perlindungan bagi seorang pemimpin komunis yang dikehendaki, pasukan tentera tiba pada suatu malam dan memberkas Maurice yang hanya berusia 25 tahun.

Ketika serbuan, Josette bertanya kepada para tentera bilakah Maurice boleh dibebaskan. Menurut mereka, jika semuanya berjalan lancar, Maurice akan kembali dalam masa setengah jam.

Namun, Maurice tidak pernah pulang. Seorang teman rapat keluarga tersebut yang telah ditahan pada hari berikutnya memberitahu dia ternampak Maurice diikat pada sebuah meja dan diseksa dengan teruk.

Selepas beberapa minggu, pihak tentera memberitahu Josette, "Kami mempunyai satu berita baik untuk kamu. Suami kamu sudah melarikan diri." Josette sedar mereka sebenarnya berbohong. Nalurinya sebagai seorang isteri tahu bahawa suaminya telah meninggal dunia.

Mencari jawapan tanpa jemu

Josette mula mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi pihak suaminya. Dia cuba mendapatkan publisiti berkaitan kes Maurice dengan mengadakan kempen tetapi dia tidak mempunyai dana yang mencukupi. Yang dimiliki hanyalah kertas dan pen. Maka, Josette mula menulis kepada kesemua wartawan dan ahli akademik yang dirasakan dapat membantunya.

josette audin pada tahun 1957

Pada tahun 1962, Algeria akhirnya berjaya mencapai kemerdekaan. Beberapa tahun kemudian, Josette dan anak-anaknya berpindah ke Paris dan mula mengumpulkan bahan bukti yang menunjukkan bahawa Maurice telah diseksa sebelum dibunuh dengan kejam semasa Algeria di bawah pemerintahan Perancis.

Pelbagai buku dan artikel juga telah dihasilkan berkaitan kes ini. Salah satu teori menyatakan Maurice telah dijerut di bahagian leher oleh penyoal siasat manakala ada teori lain yang membidas bahawa individu yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah orang lain. Seorang perisik kanan juga telah membuat pengakuan yang dia telah mengeluarkan arahan supaya Maurice dibunuh.

Walaupun banyak kempen telah dijalankan namun Josette masih tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Perancis yang berterusan mendiamkan diri.

Desakan terhadap lapan orang Presiden

Sepanjang tempoh itu, setiap kali Presiden Perancis baru dilantik, Josette akan menulis sepucuk surat kepadanya. Ada presiden yang membalas surat Josette dan ada juga yang enggan melayan permintaannya. Dia bukannya mahukan permohonan maaf daripada kerajaan Republik Perancis tetapi hanya ingin mengetahui kebenaran dan mahu mereka bertanggungjawab sekiranya perkara itu benar.

Selepas hampir enam dekad, pada tahun 2014, akhirnya Presiden François Hollande mengakui yang Maurice mati semasa dalam tahanan. Walau bagaimanapun, presiden berikutnya iaitu Presiden Emmanual Macron lebih mengejutkan keluarga ini.

presiden perancis emmanuel macron bersama anak pasangan audin

Beliau sendiri telah menghubungi Josette sebelum Josette sempat menghantar sebarang surat kepadanya. Kemudian, pada bulan September 2018, beliau mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi yang menyatakan bahawa kerajaan Perancis bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kematian Maurice Audin.

Dalam kenyataannya, beliau mengatakan sistem pemerintahan semasa Perancis menakluk Algeria dahulu telah memberikan kuasa untuk menghentikan, menahan dan menyoal siasat mana-mana suspek yang dipercayai ahli kumpulan pemberontak. Sistem sedemikian telah menggalakkan kewujudan tindakan-tindakan dahsyat kepada tahanan, termasuklah dengan melakukan penyeksaan. Menurut Presiden Macron, Maurice telah "diseksa sebelum dibunuh, atau diseksa sampai mati." 

Dalam satu lawatan ke kediaman Josette, Presiden Perancis tersebut telah memohon kemaafan bagi pihak kerajaan Perancis daripada seluruh ahli keluarga Audin.

Ramai lagi mangsa kekejaman yang lain

Walaupun akhirnya kisah sebenar kematian Maurice Audin telah didedahkan, dia bukanlah satu-satunya mangsa kekejaman Republik Perancis pada zaman itu. Ribuan lagi mangsa lain hilang tanpa sebarang kesan semasa Perang Algeria. 

Presiden Macron juga berkata yang beliau kini mahu memberikan akses ke arkib negara supaya ahli keluarga semua mangsa boleh mendapatkan sendiri jawapan yang dinantikan sekian lama.

Sesetengah sejarawan kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan kenyataan Presiden Macron tersebut. Sememangnya dokumen di arkib negara sudahpun boleh diakses oleh orang awam. Adakah ini bermakna arkib ketenteraan sulit juga akan dibuka kepada orang awam?

dataran di paris dinamakan bersempena maurice audin

Seorang pakar sejarah, Raphaëlle Branche yakin dengan pendiriannya bahawa besar kemungkinan kejadian-kejadian penyeksaan dan pembunuhan ini tidak direkodkan dari awal. Kebanyakan kes adalah 'penghakiman tambahan' yang tidak dipersetujui, maka tidak mungkin ia akan dicatat dalam rekod.

Manakala seorang lagi sejarawan, Fabrice Riceputi menyatakan terdapat bukti bahawa dokumen-dokumen ini telah 'diputihkan.' Ini disebabkan pada penghujung peperangan, pasukan tentera Perancis telah berusaha menghapuskan sebarang maklumat dalam simpanan arkib yang boleh mendedahkan jenayah yang telah mereka lakukan sepanjang tempoh perang.

Cahaya di penghujung jalan

Namun begitu, Riceputi telah membuat suatu penemuan yang menarik semasa menyelidiki dokumen-dokumen yang baru dikeluarkan di pusat arkib negara Perancis yang terletak di Aix-en-Provence. Ia merupakan sebuah fail simpanan Wilayah Algiers yang mengandungi sehingga 850 maklumat individu hilang yang telah dilaporkan oleh ahli keluarga. Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip kerajaan Perancis terdahulu yang sangat menjaga kerahsiaan terhadap dokumen-dokumen seumpamanya.

Beberapa hari selepas Presiden Macron membuat kenyataan rasmi tersebut, Riceputi telah memuat naik dokumen-dokumen ini ke dalam sebuah laman web yang dibangunkannya iaitu "1,000 Autres" (1,000 yang lain) bersama seorang lagi sejarawan, Malika Rahal.

Riceputi meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa supaya menghubungi mereka. Dalam masa kurang dari 24 jam sahaja mereka telah berjaya mendapat maklum balas pertama.

dokumen sulit senarai mangsa kekejaman tentera perancis yang hilang tanpa kesan

Sehingga kini, mereka sudah berjaya mengumpulkan kira-kira 300 kenyataan daripada saksi berkaitan 70 individu yang mana majoritinya mendakwa mangsa tidak pernah pulang ke rumah dan tidak dapat dikesan.

Salah seorangnya adalah Mounira Yacef dari Algiers yang menceritakan bagaimana ayahnya, Lahcene Yacef telah ditahan pihak berkuasa. Selepas itu, tiada sesiapapun mengetahui sama ada dia telah meninggal dunia, bagaimana dia meninggal atau apa yang terjadi kepada jasadnya.

Orang ramai mungkin berharap mereka akan menemui jawapan apabila arkib dibuka. Ada juga kemungkinan mereka tidak akan pernah menemui sebarang jawapan. Bagi Mounira, melihat nama ayahnya dalam dokumen rasmi tersebut juga sudah memadai dan begitu bermakna. Sepanjang tempoh kehilangan ayahnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan kes keluarga Audin dari jauh kerana merasakan ada kesamaan dengan kisah hidup mereka.

Kini, persoalan sudah terjawab selepas keluarga Audin bergelut selama puluhan tahun mencari keadilan buat Maurice. Menurut Michèle iaitu anak perempuan kepada pasangan Maurice dan Josette Audin, walaupun masih banyak perkara yang belum diketahui, sekurang-kurangnya penat jerih mereka selama ini akhirnya menemui sedikit sinar di penghujungnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)