Pada awal pagi 20 November 1979, Imam Masjidil Haram iaitu Sheikh Mohammed al-Subayil sedang bersiap sedia untuk memimpin 50,000 orang jemaah haji yang berkumpul untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.

Sekitar jam 5.00 pagi, Sheikh Mohammed telah dihentikan oleh sekumpulan pengganas yang menyembunyikan senjata di dalam jubah mereka. Kumpulan pengganas itu mengunci pintu-pintu gerbang dan membunuh dua orang anggota polis yang hanya bersenjatakan cota. Mereka juga menyeludup masuk senjata ke dalam kawasan masjid menggunakan keranda kosong bagi mengelak daripada dikesan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Masjidil Haram dan Kaabah ditawan

Jumlah kumpulan pemberontak itu dianggarkan sekurang-kurangnya 500 orang, termasuk beberapa orang wanita dan juga kanak-kanak yang telah menyertai gerakan pencerobohan Masjidil Haram dan Kaabah itu.

Pada waktu itu, usaha untuk menaik taraf Masjidil Haram sedang dijalankan. Salah seorang pekerja syarikat binaan itu sempat melaporkan tentang kejadian ditawan itu sebelum pengganas memutuskan semua talian telefon dari dalam.

jemaah haji mengelilingi kaabah

Pasukan pengganas itu telah membebaskan kebanyakan tebusan dan menahan saki-bakinya di dalam. Kumpulan itu mengambil kedudukan bertahan di tingkat atas masjid dan menempatkan penembak tepat di atas menara-menara Masjidil Haram.

Tiada siapa dari luar Masjidil Haram tahu berapa banyak jumlah tebusan dan pengganas yang masih berada di dalam. Pihak berkuasa juga tidak tahu persiapan apa yang perlu dibuat memandangkan ia kejadian pertama berlaku di Tanah Suci sepanjang abad ini.

Pada masa kejadian, Putera Mahkota Fahd berada di Tunisia untuk pertemuan Sidang Kemuncak Arab manakala komandan Pengawal Negara Putera Abdullah pula berada di Morocco untuk lawatan rasmi. Oleh itu, Raja Khalid telah memberikan tanggungjawab kepada Putera Sultan selaku Menteri Pertahanan dan Putera Nayef selaku Menteri Dalam Negeri untuk menangani kejadian itu.

Rampasan itu telah mengejutkan dunia Islam apabila sebilangan jemaah haji menjadi tawanan dan terbunuh akibat terperangkap dalam pertempuran antara pengganas dan pasukan keselamatan. 

Juhayman al-Otaybi dan "Imam Mahdi"

Rampasan itu didalangi oleh Juhayman al-Otaybi yang telah mengisytiharkan bahawa abang iparnya iaitu Muhammed Abdullah al-Qahtani adalah Imam Mahdi. Otaybi dan pengikutnya malah telah membaiat Qahtani, sama seperti hadis yang disampaikan Nabi Muhammad SAW tentang kemunculan Imam Mahdi.

juhayman berucap berdekatan kaabah 28

Juhayman sedang berucap berhampiran Kaabah

Otaybi adalah seorang pendakwah, bekas koperal dalam Pengawal Kebangsaan Saudi dan juga bekas pelajar Sheikh Abdel Aziz Bin Baz, yang kemudiannya menjadi Mufti Besar Arab Saudi pada tahun 1993 sehingga dia meninggal pada tahun 1999.

Otaybi telah menentang Abdel Aziz bin Baz dan mula menyeru agar Islam kembali kepada ajaran asalnya. Dia juga menyeru agar menolak Barat, menghapuskan pendidikan wanita, memansuhkan televisyen dan mengusir orang bukan Islam keluar dari negara Islam.

Otaybi juga mengisytiharkan bahawa dinasti diraja Al-Saud yang memerintah telah terpesong akibat rasuah, keborosan dan memusnahkan budaya Arab dengan dasar pembaharuan Barat yang agresif.

juhayman otaybi serang mekah 1979 468

Ramai para pengikut yang taksub dengan ideologinya itu terdiri daripada para pelajar Universiti Islam di Madinah. Ada juga para pengikutnya yang datang dari Mesir, Yaman, Kuwait, Iraq dan juga Sudan.

Sebelum ini, Otaybi dan abang iparnya Qahtani pernah menyampaikan ideologi mereka di beberapa masjid di sekitar Arab Saudi namun tidak ditahan kerana kerajaan melihat mereka sebagai kumpulan yang mementingkan tradisi berbanding ancaman. Disebabkan dana yang disalurkan oleh pengikut mereka yang kaya, kumpulan itu lengkap bersenjata dan terlatih.

Pada petang itu juga, seluruh bandar Mekah telah dikosongkan. Putera Sultan telah melantik Turki bin Faisal Al-Saud, ketua Al Mukhabaraat Al 'Aammah (perisik Saudi) untuk mengambil alih dan berkampung beberapa meter dari masjid selama beberapa minggu.

Pandangan ulama diutamakan

sheikh abdel aziz ibn baz 804

Sheikh Abdel Aziz Ibn Baz

Walau bagaimanapun, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan daripada ulama, yang diketuai oleh Abdul Aziz bin Baz. Ini kerana Islam melarang sebarang keganasan dilakukan di dalam Masjidil Haram, sehinggakan sebarang tumbuhan pun tidak boleh dicabut tanpa alasan yang jelas.

Abdul Aziz bin Baz mendapati dirinya dalam dilema. Ini kerana dia pernah mengajar al Otaybi di Madinah. Namun, ulama ini telah mengeluarkan fatwa dengan membenarkan tentera untuk menawan semula Masjidil Haram. Dengan kebenaran daripada ulama itu, pihak berkuasa Saudi melancarkan serangan ke atas tiga pintu utama Masjidil Haram.

Serangan itu kemudian berjaya dipatahkan oleh kumpulan pengganas dan pihak berkuasa sukar untuk menembusi pertahanan musuh. Penembak tepat daripada kumpulan pengganas menembak sesiapa sahaja yang mereka lihat.

Satu pasukan elit Pakistan yang digelar "Rahbar" telah bergegas ke Mekah, di bawah pimpinan General Pervex Musharraf atas permintaan Kerajaan Arab Saudi. Pada hari itu juga, tentera Saudi telah turun ke halaman masjid menggunakan helikopter namun serangan itu berjaya dipatahkan oleh pengganas yang bertahan dengan kuat di kedudukan masing-masing.

Apabila taktik itu gagal, komando Pakistan telah membanjiri menghujani kawasan lantai masjid dan menara dengan menggunakan air yang banyak. Situasi itu telah mengejutkan para pemberontak yang tidak tahu apakah yang akan berlaku seterusnya.

Taktik komando membuahkan hasil

kumpulan pengganas yang ditahan

Setelah air membasahi seluruh lantai Masjidil Haram, Komando Pakistan telah menyalurkan arus elektrik di dalam air dan menyebabkan pemberontak terkejut dan mula mengubah kedudukan mereka untuk mengelak daripada terkena kejutan elektrik. Selepas itu, Komando Pakistan telah masuk ke dalam masjid menggunakan helikopter di beberapa tempat berbeza dan dengan mudah menangkap ramai pemberontak yang masih hidup.

Pihak kerajaan Saudi pula mengambil langkah kurang agresif dengan membiarkan pemberontak kebuluran. Pada 27 November, kebanyakan kawasan masjid telah dikuasai oleh Pengawal Negara Saudi dan pasukan tentera walaupun ramai antara mereka yang terkorban.

Namun begitu, di dalam kubur di bawah masjid, beberapa militan terus bertahan dan gas pemedih mata digunakan untuk memaksa mereka keluar. Beberapa anggota pengganas tertinggi telah melarikan diri dan beberapa hari kemudian pertempuran berlaku di bahagian lain di bandar itu ketika pihak berkuasa cuba menahan mereka.

Kejadian itu telah berlangsung selama lebih dua minggu dan pengumuman rasmi menyatakan 255 orang jemaah haji, tentera dan pengganas telah terbunuh manakala 560 yang lain cedera. Beberapa orang diplomat mendakwa jumlah itu sebenarnya lebih tinggi daripada apa yang disiarkan. 

Hukuman setimpal

Ketua kumpulan pengganas iaitu Juhayman al-Otaybi telah ditangkap bersama-sama 67 pengikutnya yang masih hidup. mereka telah dibicarakan secara tertutup, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman pancung kepala secara berasingan di 4 bandar Saudi. Arahan itu dikeluarkan oleh Raja Khalid setelah mendapat persetujuan daripada ulama.

Insiden menyedihkan dalam sejarah Islam moden ini menunjukkan bahawa pelampau akan melakukan apa sahaja atas nama agama. Tidak kira betapa murni tujuan atau niat, kita tidak boleh membenarkan diri kita jatuh ke dalam ekstremisme. Sekiranya kita tidak mengikuti petunjuk yang benar, kita mungkin akan disesatkan oleh Syaitan menuju kehancuran. Semoga Allah sentiasa membimbing dan menyelamatkan kita dari segala bentuk ekstremisme.

Rujukan:

1. 5 Pillar

2. Thought Co

3. History Channel




Hakcipta iluminasi.com (2017)