Oleh pada 06 Dec 2018 kategori

Lebih daripada 100 tahun yang lalu pada 25 Nobember 1915, pakar fizik Albert Einstein telah membentangkan teori kerelatifannya kepada Akademi Sains Prusia di Jerman. Untuk memperingati jasanya itu, muzium dan universiti di seluruh dunia akan meraikan kehidupan Einstein sebagai seorang saintis paling terkenal di dunia.

Namun begitu, kematian saintis mempunyai kisah uniknya yang tersendiri di mana ia tidak mendapat banyak liputan daripada media. Kisah unik ini berlaku selepas lapan jam ahli fizik terkenal itu meninggal dunia pada 18 April 1955.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seorang ahli patologi dari Hospital Princeton telah dipertanggungjawabkan untuk melakukan bedah siasat ke atas mayat Einstein. Lelaki itu ialah Dr. Thomas Stoltz Harvey. Ketika melakukan bedah siasat, dia juga melakukan sesuatu yang tidak diduga oleh sesiapa pun. Dia telah mencuri otak mendiang Albert Einstein.

dr thomas harvey semasa muda

Dr. Thomas Stoltz Harvey semasa muda

Pengarah Arkib Albert Einstein daripada Universiti Hebrew di Jerusalem iaitu Hanoch Gutfreund memberitahu, ia adalah kisah yang mengerikan dan merupakan satu skandal besar yang dilakukan bertentangan dengan kehendak keluarga Einstein.

Albert Einstein merupakan pengasas kepada Universiti Hebrew dan merupakan salah seorang ahli Lembaga Gabenor serta pengerusi Jawatankuasa Akedamik universiti itu. Einstein telah mendermakan semua kertas kerja, dokumen dan kajian peribadinya kepada universiti itu. Gutfreund merupakan salah seorang pakar terkemuka di dunia dalam bidang legasi Einstein.

Tentang doktor yang mencuri otak Einstein iaitu Dr. Harvey, dia melakukan hal sedemikian bukanlah kerana taksub terhadap kejayaan Einstein atau mahu menyimpannya sebagai sebahagian daripada tinggalan sejarah yang penting. Dr. Harvey melakukannya agar berharap dia dapat mengkaji dan memahami bagaimana otak seorang genius seperti Einstein berbeza daripada otak orang lain.

dr thomas harvey

Dr. Thomas Harvey bersama otak Albert Einstein yang dicurinya

Namun, Gutfreund menolak alasan yang diberikan oleh Dr. Harvey untuk mengkaji otak Einstein. Gutfreund mengatakan otak manusia sememangnya berbeza antara satu sama lain. Tidak ada otak manusia yang serupa.

Untuk tempoh beberapa dekad lamanya, Dr. Harvey yang dilucutkan kelayakan perubatannya telah menyimpan otak seberat hampir 3 paun itu di dalam beberapa bekas seperti balang, kotak penyejuk dan juga sebuah Tupperware. Sebuah kumpulan heavy metal daripada Britain iaitu Attic of Love pernah mencipta lagu berdasarkan kejadian itu dengan tajuk "Stealing Einstein's Brain".

Walaupun penyelidikan Dr. Harvey itu tidak berjaya sepenuhnya namun pada tahun 2013 beberapa orang saintis telah membuktikan bahawa otak Albert Einstein sememangnya berbeza daripada orang lain.

Kajian yang dijalankan mendapati bahawa hubungan antara hemisfer kiri dan kanan otak Einstein tidak menonjol dan mempunyai perhubungan yang lebih baik antara kedua-dua bahagian ini. Sifat otak yang dimiliki oleh Einstein ini seakan serupa dengan otak seorang pemuzik atau juggler.

Jadi, apakah yang sebenarnya berlaku kepada otak Einstein? Persoalan ini membuatkan seorang wartawan muda dari majalah Esquire dan GQ iaitu Michael Paternini mencari jawapannya. Pada akhir tahun 1990-an, dia berjaya menjejaki Dr. Harvey di kediamannya di New Jersey.

Paternini percaya bahawa sudah tiba masanya ahli patologi yang sudah bersara itu memulangkan semula otak ahli fizik terkemuka itu yang berusia lebih daripada 120 tahun itu kepada pemiliknya yang sah di California, iaitu Evelyn Einstein, cucu kepada Albert Einstein.

otak einstein yang dipotong kecil

Otak Albert Einstein kini dipotong kecil dalam bentuk slaid mikroskopik

Kemudian, Paternini bersama-sama dengan Dr. Harvey menaiki sebuah kereta, sambil membawa bersama bekas Tupperware yang mengandungi otak Albert Einstein di tempat duduk belakang menuju ke California untuk menemui Evelyn. Paternini mengganggap perjalanan itu sebagai salah satu pengembaraan paling pelik dalam hidupnya.

Dr. Harvey telah meninggal dunia pada tahun 2007 ketika berusia 94 tahun. Ramai ahli sejarawan berharap dapat melihat otak Albert Einstein dengan lebih dekat lagi. Kini, otak Einstein yang dipotong menjadi cebisan kecil dan diletakkan dalam cermin mikroskopik menjadi sebahagian bahan pameran tetap di Muzium Mutter di Philadelphia.

Bagi Gutfreund dari Universiti Hebrew pula, dia tidak perlu pergi jauh untuk menghargai Albert Einstein. Dia berkata bahawa populariti Einstein tidak akan hilang begitu sahaja daripada sejarah. Bahkan, populariti ahli fizik itu semakin lama semakin bertambah.

Gutfreund yang baru sahaja menerbitkan buku mengenai teori terkenal Einstein iaitu "The Road to Relativity", kini sedang sibuk menjelajah ke seluruh dunia bagi mempromosikan bukunya itu sempena ulang tahun ke-100 sejak teori itu dibentangkan oleh Einstein. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)