Lobak merah mempunyai warna jingga yang sangat terang, disebabkan oleh kandungan beta-carotene yang memberikannya warna unik itu. Walaupun begitu, lobak sebenarnya datang dalam pelbagai warna seperti warna ungu, putih dan kuning.

Bagaimanapun, lobak merah berwarna jingga menjadi de facto standard rupa asal lobak sehingga kini. Kenapa lobak kini lebih banyak yang berwarna jingga?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kisah ini adalah sebuah kisah panjang yang menggabungkan tiga elemen penting iaitu buah oren, lobak merah dan juga salasilah keluarga di-raja Belanda. Nampak macam tak logik kan? Ini kisahnya.

Kisah asal-usul nama buah oren

asal usul nama buah oren

Sebelum menerangkan kenapa lobak merah berwarna jingga, kita perlu mengetahui asal-usul nama buah oren. Berdasarkan penyelidikan sejarah, mereka mendapati majoriti buah-buahan sitrus seperti oren dan limau berasal daripada kawasan selatan China.

Buah-buahan itu kemudiannya sampai ke kawasan sekitar tanah India sekarang, dan buah oren dikenali oleh penduduk tempatan dengan nama 'naranga' yang diambil daripada perkataan dalam bahasa sanskrit. Perkataan 'naranga' berpunca daripada perkataan 'nar' yang bermaksud 'bau' atau 'aroma', menggambarkan bau unik yang ada pada buah oren tersebut.

Bermula dari China dan seterusnya ke India, buah oren akhirnya sampai ke kawasan sekitar Parsi dengan gelaran 'narang.' Daripada Parsi, buah tersebut akhirnya tiba ke kawasan di sekitar Perancis. Penduduk tempatan mula menggelarkannya 'un aranj' - serupa dengan nama 'narang' namun telah di asimilasikan dengan slanga tempatan.

Berikutan percampuran budaya serta asimilasi masyarakat luar, akhirnya buah 'un aranj' digelarkan sebagai 'orange' serta dijadikan istilah rasmi dalam bahasa Inggeris.

Kenapa kisah ini perlu diceritakan? Susur galur istilah 'orange' ini menunjukkan kepada kita istilah itu yang kini digunakan untuk mewakili buah pada awalnya, pada akhirnya turut sama akan digunakan bagi mewakili warna jingga yang mirip dengan masyarakat Belanda.

Peperangan membebaskan orang Belanda

8o year war perancis belanda

Sekitar tahun 35BC, muncul sebuah pekan kecil di selatan Perancis bernama 'Aurenja' dengan aktiviti utama penduduk di situ adalah bercucuk tanam. Lobak putih, ungu serta kuning menjadi tanaman utama mereka.

Berikutan penjajahan serta perubahan dialek, lama-kelamaan pekan Aurenja akhirnya ditukar ejaannya kepada 'Orange' secara rasmi sekitar tahun 400M. Beratus tahun lamanya pekan Orange duduk dalam jajahan pihak lain sebelum William the Silent, seorang putera bandar Orange memulakan pemberontakan yang dikenali sebagai 'Perang 80 Tahun', bermula pada 1568 melawan penjajahan Sepanyol.

Pemberontakan yang mengambil masa yang panjang akhirnya berjaya membebaskan pekan tersebut daripada dijajah dengan pembentukan Republik Belanda pada tahun 1581. Bagaimanapun, Perang 80 Tahun hanya tamat secara rasmi pada tahun 1648 selepas Republik Belanda diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah negara bebas oleh penjajah mereka.

Jadi, kenapa lobak merah kini berwarna oren?

house of orange nassau

Kejayaan pembentukan Republik Belanda yang dimulakan oleh William the Silent atau turut dikenali dengan nama William of Orange menjadi titik tolak kemerdekaan orang Orange. 17 wilayah bergabung bersama-sama beliau menerusi kerjasama diplomasi, bersatu menuntut kemerdekaan daripada Sepanyol

Malangnya, William meninggal dunia pada tahun 1584 sebelum perang benar-benar tamat. Bagaimanapun, ketokohannya memimpin serta memulakan gerakan pemberontakan mahu membebaskan orang Belanda daripada penjajahan tidak dilupakan masyarakat beliau.

Masyarakat Belanda yang pada ketika itu merupakan pengeksport terbesar lobak dunia, mula melakukan eksperimen mengkacukkan lobak kuning yang mereka tanam dengan warna yang lebih gelap dalam kuantiti yang banyak sehingga terhasillah lobak berwarna merah atau oren - sebagai satu penghormatan mereka kepada William the Silent.

Mereka memberhentikan tanaman lobak warna lain, menyebabkan bekalan lobak merah menjadi banyak sehinggakan lobak lain kurang mendapat perhatian. Atas sebab itulah sehingga kini lobak merah jauh lebih mudah didapati dalam pasaran.

Walau bagaimanapun, ada pihak menyanggah pendapat ini mengatakan lobak merah sebenarnya sudah wujud sebelum perubahan ini berlaku. Pendapat ini, kita anggap sajalah tergantung tanpa ada kesimpulan ya?

Buah oren, lobak merah dan dinasti keluarga di-raja Orange

susur galur keturunan keluarga diraja belanda

Kedudukan keluarga Orange sebagai keluarga di-raja sebelum pemberontakan dimulakan. membolehkan banyak lukisan-lukisan potret mereka dihasilkan.

Ada satu persamaan di antara banyak potret keluarga mereka yang dihasilkan; ahli kerabat keluarga Orange gemar memegang buah oren sebagai satu simbol identiti keluarga mereka dalam lukisan ataupun berpakaian jingga. Keluarga Orange juga dikenali sangat suka menjadikan hadiah jem oren dan gula-gula oren kepada tetamu dan orang ramai.

Cucu kepada William the Silent seramai empat orang juga membina istana mereka dengan dindingnya dicat warna jingga, serta menanam pokok buah oren di sekeliling istana mereka. Nama rasmi istana mereka pula adalah Oranjewoud, Oranienstein, Oranienburg, and Oranienbaum.

Semuanya berkait dengan warna jingga dan buah oren.

Warna 'oranje' sebagai simbol penghormatan

raja willem alexandre

Buah oren diangkat sebagai simbol keluarga tersebut. Bagaimanapun, berikutan harganya yang mahal, orang ramai mula menjadikan lobak merah sebagai satu penghormatan bagi keluarga Orange kerana warnanya yang menyerupai buah oren. Itulah sebabnya orang Belanda sehingga kini menjadikan warna jingga sebagai warna rasmi mereka dalam banyak perkara.

Dinasti Orange mengalami turun naik akibat politik selepas kematian William of Orange. Desakan terhadap keluarga monarki oleh kerajaan Belanda sendiri pernah menyebabkan aktiviti penjualan dan penanaman lobak merah dilihat sebagai satu bentuk pemberontakan kepada kerajaan.

Ketika era ini, keluarga di-raja Orange mengalami kejatuhan teruk sehingga pewarisnya terpaksa lari ke negara lain, bagi mendapatkan perlindungan. Bagaimanapun, dinasti Orange berjaya dipulihkan sekitar abad ke 19 dan kembali memegang kuasa dengan bantuan United Kingdom. Bagaimanapun, keluarga Orange ketika itu menolak untuk dijadikan raja monarki mutlak, menyerahkan kuasa pentadbiran kepada kerajaan sedia ada dan meletakkan mereka hanya sebagai 'penjaga' kepada negara.

Pergolakan politik menyebabkan banyak jajahan Dinasti Orange bertukar tangan dan salah satunya adalah pekan Orange sendiri, yang kini menjadi salah satu daerah rasmi di Perancis.

Dinasti Orange kekal menjadi salah satu elemen penting dalam pentadbiran Belanda. Raja Willem-Alexander yang memegang kuasa ketika ini, menjadi Raja lelaki pertama Belanda selepas hampir 150 tahun takhta Belanda dipegang oleh Permaisuri, berikutan ketiadaan waris lelaki yang sah.

Rujukan

World Carrot Museum

Tested




Hakcipta iluminasi.com (2017)