Pernahkah anda menonton video pertunjukan fesyen antarabangsa dan tertanya-tanya, "Ada orang nak beli ke baju ni?" Mengapakah kebanyakan baju yang dipertontonkan nampak seperti sukar dipakai, tidak selesa dan kelihatan begitu mengarut?

fesyen neelofa yang dianggap pelik

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain daripada Neelofa, siapa yang sanggup berbusana sebegini?

Busana-busana 'pelik' ini sering dihasilkan oleh pereka busana mewah dan kreatif namun jarang dilihat dalam pertunjukan fesyen pakaian harian dan kasual seperti H&M, Zara, Nike dan pelbagai jenama pasaran besar yang lain. 

Sudah pasti setiap pereka dan jenama ingin menjual produk untuk mendapatkan keuntungan. Tidak ada mana-mana perniagaan boleh kekal lama jika mereka hanya menghasilkan pakaian yang tidak boleh dipakai, terutama sekali jika mengambil kira bajet dan usaha bagi menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen.

pacman fesyen

Walau bagaimanapun, sebenarnya pakaian-pakaian 'pelik dan mengarut' yang dilihat di atas pentas itu tidak akan dijual di butik mahupun gedung membeli-belah. Jadi, mengapakah pereka dan jenama tersebut sanggup menghabiskan wang dan tenaga untuk menayangkan sesuatu yang tidak menguntungkan? 

Perbezaan pereka pakaian kasual dengan haute couture

Kebanyakan pereka fesyen busana mewah ini sebenarnya tidak menganjurkan sendiri acara pertunjukan fesyen kerana kos yang tinggi. Majoriti daripada mereka menggunakan sebaik-baiknya slot yang dibuka pada Minggu Fesyen seperti Minggu Fesyen New York, Minggu Fesyen Paris dan sebagainya.

fesyen pelik bagi lelaki 244

Pereka fesyen yang mengelolakan sendiri pertunjukan pentas biasanya memperagakan 100% pakaian Prêt-à-Porter iaitu pakaian sedia pakai yang boleh didapati di kedai dan butik. Contoh mudah adalah seperti jenama Calvin Klein, Tom Ford dan Michael Kors. Sesiapa yang menyaksikan pertunjukan fesyen mereka atau membaca artikel laporan berkenaannya boleh mengetahui koleksi bagaimanakah yang bakal dijual di kedai dan mereka boleh memilih terus apa yang ingin dibeli.

Pertunjukan fesyen jenama di 'peringkat' ini mudah dicari, jarang sekali direka terlalu gila-gila dan fesyen yang ditawarkan bersesuaian dengan sasaran pensegmenan pasaran yang lebih besar. Namun, ia berbeza dengan pereka 'high fashion' yang biasanya hanya mengadakan pertunjukan fesyen melalui keempat-empat Minggu Fesyen berprestij yang diadakan di Paris, Milan, London dan New York.

rekaan kasut yang tidak mampu dipakai orang biasa 641

Apa tujuan pereka fesyen busana mewah menghasilkan rekaan yang pelik?

Setiap pereka mungkin mempunyai sebab tersendiri dalam menghasilkan sesuatu koleksi namun terdapat dua sebab utama yang menjadi punca kewujudan pakaian yang seolah-olah datang dari planet makhluk asing ini.

Bagi seorang pereka, fesyen bukanlah sekadar memakai baju untuk kelihatan cantik. Ia sebenarnya adalah salah satu cabang seni. Ramai pereka fesyen kreatif ingin membina 'seni arca' yang tersendiri melalui fesyen. Jadi, jalan terbaik untuk mempamerkan kreativiti dan hasil tangan mereka hanyalah melalui pertunjukan fesyen.

Analogi mudah adalah ibarat barangan seni yang dipamerkan di muzium atau galeri seni. Selain lukisan, kebanyakan bahan pameran ini bukanlah boleh dijual beli atau diletakkan sebagai hiasan di ruang tamu rumah seseorang. Ada yang bersaiz terlalu besar, ada yang terlalu rapuh dan ada juga yang terlalu tinggi nilainya. Begitu jugalah dengan pakaian 'berseni' pereka-pereka ini.

ciptaan fesyen pelik sebenarnya arca seni

Hasil rekaan Rei Kawakubo ini diinspirasikan daripada arca Greek yang paling terkenal

Rekaan di atas, umpamanya, yang diambil daripada koleksi musim luruh/sejuk Comme Des Garçons 2017 merupakan satu contoh yang baik. Hasil ciptaan pereka Rei Kawakubo ini bukan bertujuan untuk memperlihatkan sehelai pakaian yang serba ringkas. Rekaan ini adalah sebuah seni arca yang menggunakan tubuh model sebagai salah satu material dan bukan sekadar gaun pelik yang tidak mempunyai ruang lengan. Ia sebenarnya merupakan versi moden "Venus de Milo" (Aphrodite of Milos) iaitu salah satu seni arca Greek yang paling terkenal. Rekaan Kawakubo menjadi suatu interpretasi dan parodi arca tersebut yang dizahirkan dalam bentuk seorang wanita.

Dalam erti kata lain, sebuah pertunjukan fesyen yang mempamerkan pakaian unik dan pelik ini seharusnya cuba dilihat dari perspektif yang berbeza. Inilah yang dikatakan 'avant garde' dalam berfesyen.

fesyen beruang kepala dua

Sekadar 'teaser' bagi koleksi sebenar

Sebab kedua yang agak kurang jelas namun paling mustahak ialah pakaian-pakaian ini bukan direka untuk dijual secara individu. Ia hanya memberikan orang awam 'rasa', tema, mood, suasana dan latar belakang artistik koleksi yang bakal dijual. Disebabkan itulah ia digelar sebuah "pertunjukan" dan bukan hanya produk biasa yang dipasang pada boneka pakaian di pusat membeli-belah.

Analogi bagi "pertunjukan" ini adalah sama seperti sebuah persembahan tarian yang diteliti segala perinciannya seperti lokasi, muzik serta dekorasi. Pakaian yang dikenakan adalah ibarat kostum penari. Para hadirin perlu menterjemah setiap gerakan dan kostum untuk memahami jalan cerita di sebalik persembahan.

Koleksi yang dipertontonkan semasa pertunjukan fesyen hanya menjadi 'papan mood' yang menerangkan tentang fabrik, teknik dan material produk akhir yang bakal dijual di butik. Kebanyakan pakaian yang dilihat aneh itu akan diubah menjadi sesuatu yang lebih sesuai dipakai.

iris van herpen high fashion mengapa pertunjukan fesyen banyak peraga baju yang gila gila

Koleksi rekaan Iris van Herpen

Selain itu, fesyen berlebih-lebihan yang ditonjolkan di atas pentas itu menggambarkan inspirasi sebenar pereka di sebalik koleksi rekaannya.

Selepas pertunjukan, sekiranya sambutan orang awam menggalakkan, para pereka boleh menggunakan idea tersebut untuk dijadikan koleksi pada masa akan datang. Ia juga akan digunakan sebagai sumber inspirasi bagi para artis dan pereka dari jenama lain serta menentukan asas rekaan bagi trend pakaian kasual sehingga lima tahun berikutnya.

koleksi rekaan viktor rolf spring summer 2017

Paling utama sekali, sebuah pertunjukan fesyen merupakan laluan terbaik untuk mendapatkan liputan meluas daripada wartawan atau untuk meningkatkan kesedaran tentang sesuatu jenama.

Jadi, memperagakan pakaian-pakaian melampau ini dilihat sebagai cara yang sangat sempurna untuk membina imej tersendiri dan menjadikan jenama itu popular serta dikenali ramai.




Hakcipta iluminasi.com (2017)