Oleh pada 30 Mar 2024 kategori

Jika anda telah lama mengikuti perkongsian artikel dengan kami tentang bahasa, anda pasti sudah ada idea bagaimana peminjaman daripada pelbagai jenis bahasa berbeza; membentuk dan mengubah bahasa Inggeris sehingga menjadi agak caca merba.

Salah satu istilah Inggeris yang menarik sejarahnya khas untuk artikel ini, adalah istilah 'party' atau dalam bahasa Melayunya, parti. Secara amnya kita tahu 'parti' merujuk kepada perhimpunan ramai individu untuk berehat, berhibur dan juga meraikan sesuatu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Selain itu juga badan-badan politik turut sama dilabelkan sebagai sebuah parti. Apakah kaitan di antara kedua-dua istilah ini dan bagaimanakah kedua-duanya saling berkait antara satu sama lain? Ini penerangannya.

Yang mana muncul dulu?

kenapa kita gelar parti politik sebagai parti

Sekiranya anda bertanya di antara kedua-dua istilah parti di atas yang mana muncul terlebih dahulu, kedua-duanya sebenarnya bukanlah istilah asal.

'Parti' pada asalnya berasasl daripada istilah bahasa proto Hindu-Eropah pars. Pars merujuk kepada kaedah pembahagian atau pengasingan sesuatu.

Istilah ini kemudiannya dipinjam ke bahasa Latin, ditulis sebagai partire yang membawa makna hampir serupa dengan istilah asalnya.

Hanya selepas dipinjam ke dalam istilah Perancis lama, masyarakat Perancis memperkembangkan maknanya supaya tidak hanya merangkumi sesuatu yang membahagi atau mengasingkan, sebaliknya turut merujuk kepada barang fizikal seperti yang digunakan untuk mengasingkan bahagian buku atau dokumen.

Ditulis sebagai 'partie' dalam bahasa Perancis lama, istilah ini pada awalnya seringkali disalahanggap sama dengan istilah part. Berdasarkan rekod, kedua-duanya tidak berkait kerana asal-usulnya berbeza.

Part berasal daripada istilah pere dalam bahasa proto HIndu Eropah, yang merujuk kepada menghadiah atau memberikan sesuatu.

Parti sebagai sebuah badan atau organisasi

parti politik asal usul

Hanya selepas itulah penggunaan istilah parti berkembang dan pada awalnya, diguna bagi merujuk kepada kumpulan atau himpunan individu yang bersatu suara, memperjuangkan apa saja isu yang bangkit berkait dengan polisi dan dasar.

Penggunaan ini yang bermula sekitar abad ke 13 mula popular, sehinggakan bukan saja diguna sebagai label atau istilah rujukan kepada kumpulan individu bahkan turut diguna bagi mewakili kategori sosial dalam masyarakat.

Pada ketika ini, tidak ada mana-mana penutur yang merujuk majlis-majlis keraian atau bersuka-suka sebagai parti.

Sebaliknya istilah ini hanya merujuk kepada himpunan orang ramai yang bersatu suara berkongsi matlamat, dalam memperjuangkan sesuatu.

Istilah ini kemudiannya berevolusi sekitar abad ke 17, apabila parti mula digunakan bagi merujuk kepada seseorang individu - yang menghasilkan frasa yang sangat popular kita amalkan zaman sekarang.

Pasti anda pernah mendengar istilah 'first party' dan 'third party' yang merujuk kepada pihak pertama dan pihak ketiga? Dari sinilah asal-usulnya. Sedar tak, kita masih belum menemui bagaimana parti keraian digelarkan parti kan?

Ini kerana penggunaannya bermula paling lewat.

Parti mula dirujuk sebagai perjumpaan untuk berhibur

parti hari jadi

Selepas melalui banyak perubahan, masyarakat Perancis akhirnya mula merujuk istilah 'partie' bukan hanya terhad kepada perhimpunan orang ramai untuk memperjuangkan sesuatu, bahkan mula diguna sebagai label perhimpunan keramaian.

Dan orang Inggeris sekali lagi mencedok perubahan yang dibuat masyarakat Perancis, mula melabelkan majlis-majlis hiburan ini sebagai party yang akhirnya kekal digunapakai.

Pinjaman makna ini dibuat orang Inggeris sekitar abad ke 18, mempopularkan istilah ini ke seluruh dunia, yang akhirnya membentuk frasa yang kita turut gunakan seperti parti hari jadi, parti masuk rumah baru, parti sosial, parti sambut anak dan sebagainya.

Jadi jangan lupa. Walaupun ramai orang suka berparti sekarang ini, parti politik telah muncul lebih awal. Tidak ada gerakan politik, tidak ada parti tau!




Hakcipta iluminasi.com (2017)