Dalam pelbagai topik yang tular sehingga menjadi popular, satu perkara yang akan mengejutkan anda semua adalah bagaimana wujud kumpulan pembeli khasnya wanita - sanggup membelanjakan ratusan ringgit untuk kain pengelap atau kain buruk.

Pasti agak aneh kan? Beratus-ratus hanya untuk kain pengelap yang boleh kita dapati di kedai RM2 - siap dapat 3 helai lagi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tetapi fenomena kain buruk berharga tinggi atau terma formalnya 'kain pengelap/pembersih kayangan' ini bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya sudah wujud berdekad lamanya. Semuanya bermula dengan seorang lelaki dari Norway bernama Bjorn Nicolaisen.

Penemuan produk secara kebetulan

bjorn nicolaisen pengasas norwex

Bjorn lahir pada tahun 1952, mempunyai karier panjang sebagai peguam dan hakim pelbagai peringkat mahkamah di Norway, yang telah selamat bersara pada tahun 2007.

Pada tahun 1994, Bjorn secara kebetulan bertemu seorang penjual yang memberikannya demonstrasi membersihkan cermin kereta dengan kain mikrofiber, pada waktu itu baru saja diperkenalkan kepada masyarakat umum untuk jualan di Norway.

Melihat bagaimana kain mikrofiber itu mampu membersihkan cermin hanya dengan menggunakan air sahaja tanpa campuran bahan kimia, Bjorn yang sangat takjub mendapat idea untuk memulakan perniagaan kain tersebut bagi pasaran Norway.

Syarikat 'Eidsvoll Miljøprodukter' dibuka oleh beliau menggunakan modal sendiri, dengan tekad mahu menjadikan proses pembersihan mampu dilakukan tanpa penggunaan bahan-bahan kimia berbahaya sebagai matlamat jangka panjang.

Bermula secara kecil-kecilan, produk kain mikrofiber mereka yang dikeluarkan pada awalnya hanya dalam satu warna iaitu warna merah, dipasarkan dengan lantikan konsultan bertujuan untuk meyakinkan orang ramai keberkesanan kain tersebut secara langsung.

bjorn debbie dan isteri pengasas norwex

Perniagaan Bjorn berkembang sebelum Debbie Bolton seorang lulusan pemasaran dengan pengalaman luas (gambar atas, kiri) mahu membantu memasarkan produk Bjorn ke pasaran luar.

Debbie membuka Norwex Enviro Products pada tahun 1999 sebagai entiti perniagaan di bawah syarikat induk Eidsvoll, bertindak sebagai pengedar memasarkan produk mikrofiber mereka ke Kanada dan Amerika Syarikat dengan jenama baru 'Norwex' - singkatan kepada 'Norway Experience.'

Kenapa produk Norwex mahal belaka?

gambar promo norwex

Hasil kajian selama beberapa tahun yang dijalankan membolehkan produk keluaran Norwex pada tahun 2007, mula menggunakan teknologi yang mereka namakan sebagai BacLock atau 'Bacteria Lock.'

BacLock membolehkan kain-kain mikrofiber yang dikeluarkan syarikat tersebut mempunyai sebatian partikel perak halus bersaiz mikro di seluruh permukaan kain tersebut, yang bertujuan untuk membunuh kuman apabila kain itu dijemur.

Idea penggunaan perak sebagai bahan pembunuh kuman ini sudah diketahui berabad-abad lamanya dan dari situlah syarikat mereka mendapat idea penghasilan teknologi baru ini.

Nampak macam temberang kan?

Tujuan kain itu disebatikan dengan perak ada penjelasan saintifiknya. Perak merupakan agen antibakteria yang berkesan, telah diketahui sekian lama mampu membunuh bakteria, kulat serta setengah jenis virus.

Bagaimanapun sehingga kini kita masih belum benar-benar faham bagaimana bakteria mampu dibunuh oleh perak - penjelasannya masih misteri.

Beberapa kajian saintifik mendapati ion perak yang terhasil mampu mengakibatkan bakteria menjadi gila sama seperti makhluk zombi dalam filem, yang akhirnya akan bertindak memakan bakteria lain.

Kajian terbaru pada tahun 2020 mendapati ion perak mampu mempercepatkan tindak balas protein dalam bakteria, menyebabkan jalinan-jalinan DNA bakteria tersebut terpisah lalu melemahkannya.

Sebab itulah 'kain buruk' ini mahal. Ada perak! Kira macam barang kemas jugalah!

Berbaloikah kain buruk berharga mahal ini?

norwex kain pengelap kayangan

Kami tidak pernah mencuba produk ini jadi hendak tak hendak; kita perlulah berpandukan kepada testimoni orang ramai yang pernah menggunakannya.

Ramai pengguna Norwex mengatakan penggunaan produk Norwex akan dirasai pulangannya, selepas satu tempoh panjang; sehingga ada yang melaporkan usia penggunaan kain pengelap sama mampu mencecah lebih satu dekad, tanpa ada perubahan pada kualiti dan kemampuan kain tersebut.

Selain tidak lagi perlu membeli kain pengelap biasa yang perlu diganti, kain pengelap 'special' ini juga boleh digunakan tanpa campuran penggunaan bahan kimia seperti kain lain untuk tujuan pembersihan.

Dalam erti kata lain, anda tidak perlu lagi membeli penyembur pencuci selagi mana anda menggunakan 'kain buruk' berharga ratusan ringgit ini.

Jadi kenapa jenama kain pengelap ini baru tular di Malaysia? Ini kerana Norwex secara rasmi telah masuk ke pasaran negara kita hanya pada tahun 2019.

Semua produk mereka mempunyai jaminan pulangan semula dalam tempoh 60 hari selepas pembelian sekiranya anda rasakan tak puas hati dan waranti selama 2 tahun.

Kain buruk ada money back guarantee dan warranti? Tak masuk akal!

Selepas mempelajari kemampuan mikrofiber dari Norway ini, nak juga penulis cuba sehelai dua kalau ada yang sudi belikan. Boleh emel kami kalau nak bagi sampel percuma. Kami nak warna biru.

Nota - ini bukanlah advertorial berbayar. Kami sebenarnya memang betul-betul nak faham kenapa kain buruk tu harganya mahal. Disalut perak rupanya!




Hakcipta iluminasi.com (2017)