Sejarah negeri Kelantan, negeri yang bergelar 'serambi Mekah' di negara kita tidak banyak yang kita ketahui, walaupun negeri tersebut mempunyai sejarah yang sangat panjang. Dilaporkan oleh WA Graham dalam bukunya 'Kelantan - A State in Malay Peninsula', majoriti sejarah awal Kelantan tidak diketahui kini adalah disebabkan situasi masa lalu di kalangan penduduk setempat - kerap berperang antara satu sama lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Atas sebab demikian, usaha untuk melakukan catatan sejarah Kelantan jarang menjadi perhatian masyarakat dan lebih memburukkan keadaan, sebarang rekod yang sudah dibuat sebelum itu - dimusnahkan oleh pihak yang berjaya memenangi peperangan.

Walau demikian, beberapa pendapat secara jelas menyebut dan percaya bahawa Kelantan merupakan negeri paling awal di kalangan negeri Tanah Melayu yang menerima kedatangan Islam, dianggarkan sekitar abad ke 10 lagi, lebih tepat pada tahun 977M dengan kemunculan kerajaan Islam Kelantan telah berlaku pada abad ke 11.

Bagaimana Islam datang ke Kelantan

masjid kampung laut nilampuri kelantan malaysia 483

Dalam menceritakan bagaimana Islam hadir ke Kelantan, kita tidak boleh lari daripada perlu bergantung dengan beberapa teori yang ada. Kami sudah menulis berkenaan salah satu teori yang menyebutkan bagaimana pengaruh kerajaan Champa yang menerima Islam, membawa ajaran tersebut selepas pedagang dari kerajaan itu perlu melalui perairan Kelantan untuk sampai ke kerajaan Majapahit di Indonesia (kini).

Selain itu, satu teori lain menyebut kedatangan Islam ke negeri tersebut berlaku disebabkan oleh kedatangan orang-orang dari wilayah Pattani yang mempelajari agama tersebut, seterusnya menyebarkan Islam di kalangan masyarakat Kelantan.

Ada juga teori menyebut tentang kedatangan pedagang-pedagang Arab ke negeri tersebut yang berlaku secara langsung, memperkenalkan Islam kepada penduduk tempatan. Walau bagaimanapun, teori yang paling kukuh tetap mengambil kira pengaruh yang datang dari kerajaan Champa.

Sekiranya telahan ini benar - ini bermakna kerajaan serta masyarakat Kelantan sebenarnya telah pun menerima Islam jauh lebih awal berbanding dengan pendapat popular sejarah kita, yang menyebutkan bagaimana Islam hanya mula tersebar semasa zaman kesultanan Melayu Melaka di bahagian pantai barat, sekitar abad ke 14.

Sistem kerajaan Islam abad ke 18

kelantan peasants orang

Sekitar abad ke 17, pada tahun 1650 kerajaan Kelantan mula mengguna dan melaksanakan undang-undang berlandaskan keperluan Islam. Perlantikan mufti berstatus ulama' pertama kali dilakukan secara rasmi ketika era Sultan Muhammad ke II semasa pertengahan abad ke 19. Bagaiamanapun, tiada rekod rasmi berjaya mencatatkan nama mufti pertama Kelantan.

Zaman kegemilangan pentadbiran Islam di Kelantan dipercayai bermula pada awal abad ke 19, semasa pentadbiran Sultan Mansur (1891-1900). Asas agama Islam yang telah bertapak beratus tahun lamanya diperkembangkan dengan pengenalan undang-undang menurut syariat agama.

Pada zaman ini jugalah individu yang dilantik sebagai mufti mula direkodkan nama mereka, dengan Haji Nik Wan Daud bertugas sebagai mufti kepada Sultan Mansur sehinggalah tahun 1907.

Langkah awal mengelak campur tangan penjajah British

sultan kelantan dan pembesar 1909 a6620

Pengganti Sultan Mansur, Sultan Muhammad ke IV meneruskan perjuangannya dengan memperbanyakkan lagi pembinaan masjid dan pondok pengajian di seluruh jajahan Kelantan. Pada ketika ini jugalah, kerajaan Kelantan menubuhkan badan penting dalam melindungi kedudukan Islam dalam masyarakat mereka iaitu Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Perjanjian yang diwujudkan di antara kerajaan Siam dengan penjajah British pada tahun 1909, menyebabkan kerajaan Kelantan mula mengorak langkah memodenkan pentadbiran agama Islam bagi melindungi kedudukan agama tersebut yang pada waktu itu, sudah hampir 10 abad lamanya bertapak.

Atas saranan beberapa orang ulama' khasnya Tok Kenali yang sangat disegani, kerajaan Kelantan menubuhkan Majlis Agama Islam Kelantan sebagai usaha mengelakkan British mampu campur tangan dalam urusan berkaitan pentabiran yang berlandaskan Islam. MAIK ditubuhkan pada 24 Disember 1915, menjadi institusi pertama di negara kita yang dibangunkan khas untuk menjadi institusi bercorakkan agama.

Rujukan

PERKEMBANGAN PENDIDIKAN ISLAM DIKELANTAN

Perkembangan Islam di Kelantan




Hakcipta iluminasi.com (2017)