Tidur merupakan satu keperluan hidup dan kita perlu tidur setiap hari bagi memastikan tubuh badan kita dapat berehat dan pulih semula agar boleh berfungsi dengan baik. Keperluan tidur bagi setiap manusia juga berbeza mengikut umur, jantina, saiz tubuh badan, fisiologi dan pelbagai faktor lain.

Apa yang pasti, setiap manusia perlu mendapatkan waktu tidur yang mencukupi. Kurang atau terlebih waktu tidur juga tidak bagus kerana boleh mengganggu fungsi tubuh badan. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu ketika dahulu, kami pernah berkongsi satu kisah misteri "Sleep Hollow" yang terjadi di sebuah kampung di Kazakhstan bernama Kalachi dimana  ratusan penduduknya mengalami penyakit misteri yang menyebabkan mereka akan tidur selama satu hingga dua hari berserta beberapa simpton.

Setelah dikaji, kejadian tersebut berlaku kerana kawasan tersebut secara semulajadinya mempunyai kadar karbon monoksida dan hidrokarbon pada paras luar biasa. Akibatnya, terdapat pengurangan peratusan oksigen di kawasan itu yang menyebabkan penduduk mengantuk, lemah tubuh badan, pening dan sebagainya.

Di India, terdapat seorang individu lelaki dewasa yang menarik minat pihak media antarabangsa memandangkan lelaki ini dikatakan mempunyai tabiat tidur luar biasa. Jika dihitungkan keseluruhan masa tidurnya dalam sehari, individu ini akan tidur selama 300 daripada 365 hari dalam setahun. 

HPA Axis Hypersomnia

penyakit tidur

Media India baru-baru ini melaporkan kes pelik individu dikenali sebagai Purkharam, seorang penduduk berumur 42 tahun dari sebuah kampung Bhadwa di Rajasthan yang diduga menderita "HPA Axis Hypersomnia", keadaan yang jarang berlaku yang menyebabkan dia tidur untuk jangka masa yang panjang sehingga boleh bertahan hingga 25 hari.

23 tahun yang lalu, ketika Purkharam pertama kali didiagnosis dengan keadaan yang jarang terjadi ini, dia boleh tidur selama kira-kira 15 jam pada satu-satu masa. Namun, gejalanya secara beransur-ansur bertambah teruk dan sejak tahun 2015 keluarganya mula menghitung jadual tidurnya dalam kiraan hari dan bukan lagi kiraan jam.

Purkharam yang juga seorang pemilik kedai kecil akan tidur lebih dari 7 atau 8 hari pada satu masa tetapi keadaannya bertambah buruk dan dia kini dapat tidur hingga 25 hari. Oleh itu, jika dihimpunkan jumlah hari dia menghabiskan sekitar 300 hari tidur daripada jumlah 365 hari dalam setahun.

     

Sudah tentulah ini merupakan satu keadaan yang cukup menyedihkan dan membimbangkan, lagi-lagi buat ahli keluarganya. Lebih kasihan adalah isteri dan anaknya yang terpaksa bergantung padanya sebagai seorang ketua keluarga.

Axis Hypersomnia boleh digambarkan sebagai gangguan tidur neurologi kronik yang menyebabkan mengantuk pada waktu siang dan / atau waktu tidur yang panjang (lebih dari 9-10 jam dalam 24 jam). Dalam kes Purkharam ini, ianya sudah menjadi berhari-hari sehingga isterinya terpaksa menguruskan makan minumnya.

Menurut kajian yang diterbitkan di National Center for Biotechnology Information  (NCBI), hipersomnia adalah masalah tidur pada waktu siang yang berlebihan, mempengaruhi empat hingga enam peratus penduduk dengan kesan pada kehidupan seharian pesakit.

Terpaksa diuruskan ahli keluarga

tidur melampau

Purkharam mempunyai sebuah kedai di kampung tetapi kerana keadaannya ini, dia sekarang dapat membukanya hanya selama 5 hari sebulan. Kadang-kadang dia tertidur semasa dia bekerja dan apabil keadaan itu berlaku, dia tidak dapat bangun dan dikejutkan sehinggalah beberapa hari kemudian apabila terjaga dengan sendirinya.  

Jadi, apa yang boleh dilakukan ahli keluarganya adalah membawanya pulang dan memberi makan dan memandikannya ketika dia tidur. Ya, Purkharam  masih perlu makan untuk terus hidup dan oleh itu dia terpaksa diberikan makan walaupun dalam keadaan tidak seddarkan diri.

Kerana jadual tidurnya yang pelik ini, lelaki berusia 42 tahun itu digelar Kumbhakaran oleh penduduk Bhadwa sempena adik Ravan di Ramayana yang biasa tidur selama enam bulan pada satu masa.

Isteri Purkharam, Lichmi Devi, memberitahu wartawan bahawa Purkharam pernah bangun pada hari Ahad setelah tidur selama 12 hari berturut-turut dan perkara pertama yang dia lakukan adalah membuka kedainya. Malangnya, tidak ada yang tahu berapa lama dia akan dapat mengoperasikannya sebelum dia kembali menderita hipersomnia.

Masa depan yang tidak menentu

penyakit hipersomnia

Buat masa ini, keluarga Purkharam sendiri tidak tahu apa yang boleh dilakukan mereka untuk mengubati penyakit yang dianggap pelik ini. Walau bagaimanapun, mereka percaya dan yakin bahawa satu hari nanti Purkharam akan pulih seperti sediakala dan dapat menjalani kehidupan seperti manusia normal yang lain. 

Mereka dikatakan telah berikhtiar mengubati dengan pelbagai cara namun tidak ada yang benar-benar berkesan. Lebih teruk lagi, segelintir daripadanya mempunyai kesan sampingan seperti sakit kepala dan lesu tubuh badan. 

Masalah tidur melampau atau hipersomnia ini pernah direkodkan sebelum ini dalam beberapa kes. Di Indonesia juga, seorang remaja wanita berusia 17 turut mengalami masalah sama dan pernah mendapat perhatian media antarabangsa pada tahun 2017.

Remaja perempuan tersebut yang dikenali sebagai Echa dan berasal dari Banjarmasin mendapat perhatian apabila dikatakan mampu tidur sehingga 9 hari. Ibu bapanya yang risau akan keadaan itu telah membawanya ke hospital namun doktor mengesahkannya sihat dan tidak mempunyai masalah kesihatan. 

Kredit:

  1. The Indian Express
  2. India Times
  3. Republic World



Hakcipta iluminasi.com (2017)