Bila berbicara tentang homoseksualiti, akan wujud banyak pandangan yang dilontarkan setiap individu - dengan setiap pandangan pula sudah pastilah berbeza-beza mengikut fahaman dan pegangan agama individu tersebut.

Homoseksualiti haruslah diakui sebagai satu isu yang sangat sensitif, namun malangnya bagi kita rakyat Malaysia - topik homoseksualiti seolah-olah tidak dapat lari daripada terus membelenggu politik kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Banyak pihak mempersoalkan wajarkah kita meletakkan homoseksualiti sebagai isu besar, dalam memilih seorang pemimpin. Menurut Islam wajar kerana pemimpin yang diketahui homoseksual tidak mempunyai akhlak yang layak untuk diletakkan sebagai seorang pemimpin masyarakat. Persoalannya pula - bagaimana pandangan agama lain tentang homoseksualiti selain agama Islam?

Kristian

gambaran kitab bible

Ajaran Kristian walaupun mempunyai larangan yang jelas, tidak dapat lari daripada diseleweng fahamannya terhadap LGBT.

Wujud beberapa individu pakar bidang teologi Kristian dan kumpulan gerakan Kristian yang secara terbuka menyokong homoseksualiti, pada tahap berbeza-beza dan pandangan mereka pula diterima ramai dalam era moden - walaupun Bible menyebut sebaliknya.

Jika dirujuk pada ajaran asal Kristian yang terkandung dalam kitab Bible, ada banyak larangan perbuatan homoseksualiti yang jelas. Kisah Nabi Lut dan kaum Sodom yang mirip dengan kisah yang terkandung seperti ajaran Islam, diceritakan dalam Genesis 19 - menceritakan akibat yang boleh berlaku seandainya tabiat homoseksualiti dijadikan norma.

Peringatan tentang larangan mendatangi lelaki sama seperti mendatangi isteri disebutkan dan diulang beberapa kali seperti dalam bahagian Leviticus 18-20, 1 Corinthians 6 :9-10 serta beberapa bahagian lain. Dalam beberapa bahagian Bible, lelaki yang menyetubuhi lelaki lain digelarkan dengan satu gelaran khas yang disebut sebagai 'arsenokoitai.'

Hindu

ardhanarishvara dewa dewi hindu

Dalam ajaran Hindu menerusi kitab Vedic, manusia boleh dikatakan dibahagi kepada tiga kelompok utama. Yang pertama digelarkan sebagai pums-prakriti iaitu lelaki normal, stri-prakriti yang mewakili wanita normal dan yang terakhir adalah tritiya-prakriti yang digelarkan sebagai kelompok ketiga.

Tritiya-prakriti pula boleh dipecahkan lagi kepada beberapa kumpulan kecil yang berbeza berdasarkan kepada kriteria kecenderungan masing-masing. Wujud kelompok napumsaka (lelaki homoseksual), sandha (individu trans jantina), kliba (individu aseksual), svarini (wanita homoseksual) dan kami/kamini (individu biseksual).

Dewa dan dewi orang Hindu juga mempunyai banyak bentuk yang tidak semestinya kekal dalam satu jantina, dengan gambarannya turut sama berubah-ubah. Salah satu Dewa/Dewi yang mempunyai bentuk sedemikian rupa adalah Ardhanarishvara, kanan tubuhnya lelaki sementara kiri tubuhnya wanita.

Apa yang kami cuba sampaikan di sini, agama Hindu agak longgar penerangannya tentang homoseksualiti kerana asas agama Hindu tentang jantina juga agak terbuka. Hanya ada satu saja larangan tentang homoseksualiti yang tidak jelas maknanya disebutkan, dalam kitab Manusmrti (Undang-undang Manu) yang menggambarkan hubungan lelaki dengan lelaki lain, sebagai sesuatu yang tidak semulajadi.

Buddha

dalai lama homoseksualiti

Untuk menjelaskan pegangan Buddha dalam isu ini, kita imbas kembali berkenaan satu peristiwa sebuah pertemuan bersejarah pada tahun 1997 di antara Dalai Lama dengan sekumpulan aktivis gay dan lesbian, yang mahu mendengar sendiri penjelasan berkenaan perspektif ajaran Buddha terhadap individu seperti mereka selepas karya tulisan Dalai Lama mengkritik homoseksualiti.

Jawapan yang mereka terima sangat mengecewakan. Ini kerana Dalai Lama menegaskan bahawa berdasarkan prinsip ajaran Buddha, harus wujud perbezaan yang jelas di antara penganut Buddha dengan bukan penganut Buddha dalam hal itu. Ajaran Buddha jelas sekali melarang sebarang bentuk hubungan sejenis, sama ada melibatkan lelaki dan lelaki atau wanita dengan wanita.

Menambah jawapan, Dalai Lama juga menjelaskan selain daripada hubungan homoseksual - sebarang bentuk seks oral, seks melalui dubur dan juga tabiat onani adalah dilarang; walaupun dengan isteri sendiri. Bagaimanapun, Dalai Lama juga memberitahu sekiranya masyarakat dunia merasakan homoseksualiti itu patut dijadikan norma, terpulanglah pada mereka tetapi tetap mengatakan penganut Buddha tidak sama sekali mengiktiraf hubungan sejenis.

Sejak dulu sehinggalah ke hari ini, mana-mana individu yang dilantik sebagai Dalai Lama akan berdepan tekanan aktivis LGBT dalam usaha mereka untuk mendapatkan sokongan Dalai Lama, sehinggakan apa saja ayat beliau yang seakan menyokong homoseksual akan dijadikan hujah utama.

Sejak dulu lagi Dalai Lama menegaskan hanya hubungan zakar dan faraj saja diterima bagi penganut agama Buddha. Bagaimanapun, kes-kes homoseksualiti melibatkan sami Buddha saban tahun semakin meningkat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)