Oleh pada 16 Aug 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Astro Gempak

Pereka fesyen gaun Baby Shima pada konsert minggu kedua Big Stage, Azhar Zainal, menepis dakwaan kononnya busana itu menjadi punca penyanyi berkenaan jatuh pengsan di pentas.

Beliau menjelaskan, bahagian gaun itu sudahpun terlebih dahulu dilonggarkan bagi memberi keselesaan untuk Shima beraksi.

"Bahagian atas baju itu menggunakan material net jadi tidak ketat pun sebenarnya.

"Nampak fit sebab potongan dan jenis fabrik gaun itu melekap pada badan.

"Untuk memudahkan Baby Shima bernafas pada malam kejadian selepas dia pengsan, saya sendiri yang menyuruh paramedik memotong gaun itu sebab zip sukar dibuka.

"Tambah-tambah dengan keadaan panik di belakang pentas," ujar Azhar kepada Astro Gempak.

Terdahulu, konsert program realiti, Big Stage kecoh apabila Shima pitam selepas berakhirnya persembahan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Mendendangkan lagu Ku Tak Akan Bersuara nyanyian asal Nike Ardilla, Shima yang tidak sedarkan diri akhirnya diangkat petugas produksi menuju ke belakang pentas, sebelum dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk rawatan susulan.

Difahamkan, kekurangan waktu rehat dengan jadual kerjaya yang padat kerana terpaksa berulang alik ke Indonesia menjadi penyebab peserta Big Stage itu tidak mampu bertahan sehingga ke penghujung segmen persembahannya.

Dalam pada itu, Azhar berkata, beliau sanggup mengenepikan soal untung rugi kerana apa yang lebih penting baginya adalah kesihatan Shima.

gaun merah punca baby shima pengsan ini penjelasan pereka fesyen 2

Kredit foto: Astro Gempak

"Keadaan Baby Shima lebih penting berbanding gaun saya jadi saya tidak kisah pun ketika gaun itu digunting.

"Doktor pun sudah mengesahkan Baby Shima pengsan bukan sebab sesak nafas akibat gaun itu.

"Dia dalam kondisi kepenatan dan sudah memberikan sehabis baik pada konsert itu," katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)