Gambar di atas memaparkan sekumpulan pekerja ladang tanpa baju yang berlatarbelakangkan hutan lebat Amazon di Brazil. Kelihatan di belakang mereka sebuah pondok usang yang menjadi tempat tinggal mereka.

Gambar tersebut telah dirakamkan pada tahun 1934 dan mereka sebenarnya merupakan sekumpulan pekerja Henry Ford. Bagi yang tidak tahu. Ford Henry merupakan pengasas kepada syarikat Ford Motor Company, syarikat yang mengeluarkan kereta jenama Ford yang begitu popular di Amerika Syarikat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di Amerika Syarikat, beliau disanjung sebagai seorang individu yang merevolusi industri pengangkutan dan pembuatan kenderaan. Hasil usaha syarikatnya, kenderaan yang dihasilkan oleh syarikat Ford mampu dihasilkan pada harga yang lebih rendah dan mampu dimiliki oleh golongan pertengahan pada ketika itu.

Usaha melawan kekangan daripada pengimport getah Asia

nurseri pokok getah fordlandia 344

6 tahun sebelum gambar tersebut diambil, Ford Henry telah mencetuskan idea gila untuk melancarkan operasi besar-besaran bagi menangani kekangan sumber getah dari Asia yang dikenakan terhadapnya dan syarikatnya.

Bagi mengatasi masalah ini, beliau ingin mengurangkan kebergantungan terhadap sumber getah dari Asia dengan menghasilkan sendiri getah daripada ladang pokok getah yang diwujudkannnya. Bagi merealisasikan hasratnya ini, sebuah kawasan luas di tebing Sungai Tapajos yang terletak di hutan Amazon telah dipilih.

Walau bagaimanapun, cita-citanya lebih besar daripada itu. Bukan setakat sebuah ladang penanaman pokok getah tetapi beliau juga ingin mewujudkan sebuah penempatan moden. Dengan kekayaannya ketika itu, ideanya ini dianggap sebagai sebuah eksperimen bagi mewujudkan sebuah tamadun moden di kawasan ini yang diharap dapat memajukan lagi perniagaannya.

Maka, bermulahlah pembinaan kawasan penempatan baru ini yang dikenali sebagai Fordlandia sempena mengambil namanya. Malangnya, beliau hanyalah seorang ahli perniagaan yang hanya tahu menguruskan duit. Tanpa bantuan pakar, cita-citanya ini hanyalah angan-angan yang tidak mungkin menjadi realiti.

Pengamalan gaya hidup orang Amerika

kehidupan fordlandia

Sebagai seorang rakyat tipikal Amerika Syarikat, beliau mahukan setiap penduduk di Fordlandia juga mengamalkan gaya hidup seperti seorang rakyat Amerika Syarikat. Ini termasuklah makan seperti orang Amerika, berpakaian seperti orang Amerika, rekabentuk bangunan seperti rumah-rumah di Amerika dan mengamalkan gaya hidup seperti orang Amerika.

Secara perlahan-lahan, beliau cuba mewajibkan gaya hidup Amerika ini kepada para pekerja yang bekerja dan tinggal di Fordlandia termasuklah perkara-perkara yang tidak menjadi kebiasaan bagi mereka. Ini termasuklah pengharaman minuman beralkohol, tembakau, melanggan pelacur dan membina keluarga yang sudah menjadi kebiasaan bagi para pekerja di situ.

Akibat dinafikan hak-hak ini, penduduk Fordlandia terpaksa menyusup keluar ke kawasan penempatan lain yang berdekatan yang mempunyai pelbagai "kemudahan" yang dingingkan oleh mereka seperti kelab malam, bar dan tempat pelacuran.

Sikap angkuh Ford Henry

fordlandia 896

Mewajibkan pengamalan gaya hidup Amerika Syarikat merupakan antara sebab kecil mengapa Forlandia mengalami kegagalan. Walau bagaimanapun, sejarawan berpendapat sikap angkuh Ford Henry itu sendiri menjadi penyebab utama Fordlandia menemui kegagalan.

Ford Henry dikatakan tidak mahu mendapatkan sebarang khidmat pakar dalam pelan perancangan kawasan penempatan Forlandia. Beliau percaya dengan segala kuasa dan kekayaannya, segalanya akan menjadi seperti yang diimpikannya.

Pokok-pokok yang ditanam tumbuh layu dan diserang dengan pelbagai penyakit. Akibatnya, kawasan penanaman getah ini tidak dapat menghasilkan sumber getah seperti yang diharap-harapkan. Pemberontakan oleh para pekerja mengeruhkan lagi keadaan sehingga Ford terpaksa mendapatkan bantuan tentera Brazil untuk menangani pemberontakan ini pada tahun 1930.

Fordlandia pada hari ini

fordlandia pada hari ini

Forlandia masih wujud pada hari ini namun bukanlah seperti yang diharapkan. Yang tinggal hanyalah kesan-kesan binaan yang bukan sahaja membazirkan sumber dan tenaga manusia, tetapi juga sumber alam semulajadi dan kewangan.

Kegagalan Fordlandia terpaksa ditanggung cucu Ford Henry, Ford Henry Ford II, yang terpaksa menanggung jumlah kerugian sebanyak 20 juta dolar pada tahun 1945 apabila kawasan ini dijual kembali kepada kerajaan Brazil.

Sewaktu ingin mewujudkan Fordlandia, Ford Henry mempunyai visi besar menjadikan kawasan ini kekal selama-lamanya. Oleh itu, segala kemudahan dan kelengkapan yang diperlukan oleh seorang rakyat Amerika moden telah dibina disini termasuklah padan golf, hospital, hotel dan sistem janakuasa.

Para pelancong yang datang kesini boleh melihat jelas dengan kesan-kesan binaan ini yang menjadi bukti kegagalan Fordlandia. Ramai pelancong yang datang kesini semata-mata untuk bergambar sambil berlatarbelakangkan kesan-kesan peninggalan ini yang dianggap unik.

Walaupun usahanya ini yang pada awalnya bagi menangani kekangan sumber getah dari Asia telah gagal, Ford bernasib baik apabila penghasilan getah sintetik telah wujud sekitar tahun 1945 yang menyebabkannya beralih arah kepada bahan tersebut.

Seperkara pelik mengenai Fordlandia adalah, Ford Henry sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan yang dinamakan sempena namanya ini. Selain itu, tidak sedikitpun hasil getah yang diperolehi di Fordlandia pernah digunakan dalam menghasilkan tayar yang digunakan oleh syarikat Ford.

Kredit:

  1. The Henry Ford
  2. Wikipedia
  3. The Guardian
  4. The New York Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)