Oleh pada 09 Feb 2018 kategori

Sumber foto: Bernama

Seorang peniaga pembekal rempah ratus mengalami kecederaan pada belakang badan dan lengan kiri setelah terkena satu das tembakan yang dilepaskan salah seorang lelaki menunggang sebuah motosikal di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu semalam.

Menerusi insiden pada jam 1.40 petang itu, mangsa yang berumur 45 tahun dan berasal dari Ipoh, Perak diserang kedua-dua suspek yang berumur antara 20 hingga 30 tahun setelah mangsa tidak mahu memberi kunci kereta model Toyota Hilux yang dimilikinya.

Menurut Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad,  tujuan insiden itu dipercayai bagi membawa lari kereta mangsa.

Jelasnya, mangsa masih tidak mahu mengalah memberikan kunci kenderaan hingga menyebabkan salah seorang suspek membawa keluar sepucuk pistol dan menembak pada belakang tubuh mangsa.

"Tembakan yang dilepaskan dari jarak dekat telah menembusi badan mangsa dan terkena lengan kirinya. Suspek yang gagal melarikan kenderaan tersebut terus melarikan diri selepas kejadian.

"Selepas ditembak, mangsa terus berlari untuk mendapatkan pertolongan daripada orang ramai dan dihantar seorang peniaga kedai makan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) ," ujarnya sewaktu ditemui di tempat insiden semalam.

Beliau memberitahu, mangsa sedang berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan lanjut.

Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan disebabkan cubaan membunuh.

Sumber berita: Kosmo Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)