Oleh pada 26 Mar 2018 kategori

Pada 7 September 1981, London Stock Exchange (LSE) dikejutkan dengan pengambil alihan syarikat perladangan milik British iaitu Guthrie oleh kerajaan Malaysia. Menariknya, syarikat berkenaan berpindah hak milik ke tangan kerajaan Malaysia dalam masa hanya 4 jam. Ketika peristiwa ini berlaku, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru sahaja beberapa bulan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapa Malaysia Mahu Merampas Guthrie Daripada British?

kejayaan serangan dawn raid malaysia ke atas guthrie dan british 443

Isu tentang Guthrie timbul apabila syarikat milik British berkenaan kerap kali menolak cadangan kerajaan Malaysia untuk menanam semula pokok getah, bagi membantu petani dan penoreh getah Melayu meningkatkan hasil pendapatan mereka. Syarikat British itu juga kerap kali menangguhkan mesyuarat dengan wakil kerajaan Malaysia dalam usaha untuk bekerjasama menyelesaikan masalah ini. 

Walaubagaimanapun, atas desakan yang dikenakan ke atas Guthrie oleh Bank Negara Malaysia (BNM), pegawai tertinggi Guthrie akhirnya menubuhkan Guthrie-Ropel, sebuah anak syarikat Guthrie. Guthrie-Ropel mempunyai 17% saham tanah di Malaysia daripada kesemua tanah yang dimiliki oleh Guthrie.

Hasilnya, rakyat tempatan dibenarkan membeli sedikit tanah yang dimiliki oleh Guthrie melalui Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE). Guthrie sebenarnya sangat licik kerana tanah-tanah yang dijual kepada rakyat negara ini sebenarnya tidak sesuai untuk aktiviti pertanian/perladangan dan kebanyakan daripadanya terletak di kawasan bukit. 

mahathir serangan dawn raid baru menjadi perdana menteri

Apabila Tun Dr. Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 1981, beliau dilihat sebagai seorang yang sangat berbeza berbanding Perdana Menteri - Perdana Menteri sebelumnya. Untuk permulaan, beliau tidak merokok mahupun bermain golf, sebuah sukan yang dilihat sebagai mewah oleh kebanyakan rakyat Malaysia. Beliau tidak berdarah diraja, mahupun belajar di university British.

Selain itu, beliau juga tidak mempunyai ramai kawan British, dan berdasarkan artikel yang ditulis beliau, beliau bukanlah pro-British. Hal ini juga dibuktikan melalui polisi beliau iaitu 'Buy British Last' dan dasar Pandang Ke Timur. 

Beberapa ketika sebelum peristiwa Dawn Raid (Serbuan Subuh) berlaku, kerajaan British bukan sahaja menghentikan subsidi bagi pendidikan pelajar Malaysia di United Kingdom, malah mereka turut menaikkan yuran pengajian kepada pelajar asing. Undang-undang baru ini hanya terhad kepada pelajar daripada beberapa buah negara sahaja, antaranya adalah Malaysia. Pelajar daripada negara Eropah lain tidak terkesan. 

pelajar malaysia di uk 1980an yang terkesan akibat penarikan subsidi pendidikan

Tindakan ini mengejutkan hampir 17,000 rakyat Malaysia yang sedang belajar di UK yang kini dibebani dengan yuran yang sangat tinggi, dan dalam sesetengah kes peningkatan adalah 3 kali ganda berbanding sebelumnya. Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, termasuklah Tun Mahathir, tindakan ini tidak wajar kerana Malaysia menghantar ramai rakyatnya untuk belajar di negara berkenaan. 

Malaysia juga tidak mampu untuk mendidik kebanyakan para pelajar di Malaysia kerana tidak mempunyai institut pendidikan yang mencukupi pada ketika itu. Pada ketika tindakan berkenaan diambil, Tun Mahathir yang merupakan Menteri Kewangan memberi amaran bahawa tindakan tersebut bakal merugikan British dalam jangka masa panjang. Namun, amaran beliau tidak diendahkan. 

Selain isu pendidikan, kerajaan British juga turut menolak cadangan Malaysia untuk mendapatkan hak pendaratan tambahan di lapangan terbang Heathrow bagi syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines (MAS). Namun, dalam tempoh tidak lama selepas itu, kapal supersonik British iaitu Concorde telah menceroboh ruang udara antarabangsa Malaysia di Subang ketika dalam perjalanan ke SIngapura. 

Malaysia Tidak Berpuas Hati Dengan Guthrie

serangan dawn raid malaysia ke atas guthrie 1981 322

Tun Mahathir bukanlah satu-satunya individu di Malaysia yang sangat terasa dengan tindakan British ini. Abang ipar beliau iaitu Datuk Ismail Ali yang juga merupakan Gabenor Bank Negara pada ketika itu juga berkongsi pandangan yang sama dengan Tun. Beliaulah yang bertanggungjawab mendesak Guthrie untuk menubuhkan Guthrie-Ropel. 

Selepas dilantik menjadi Gabenor, Datuk Ismail mempamerkan sikap tidak mesra kepada British. Mark Gent, Pengerusi Guthrie pada ketika itu berkata beliau dan Pengarah Guthrie, Eric Griffith-Jones terpaksa menunggu di luar pejabat beliau hampir setengah jam setiap kali sebelum mesyuarat diadakan. 

Sebagai Gabenor, beliau juga mengeluarkan arahan agar wang negara yang dimasukkan ke dalam bank milik British seperti HSBC dan Chartered dipindahkan ke bank tempatan. Bank asing, terutamanya bank British, tidak lagi diberi peluang untuk membuka cawangan di Malaysia.

Pada tahun 1981, kebanyakan aset Guthrie dijual kepada MPH, sebuah syarikat milik jutawan rakyat Malaysia. Keputusan tersebut diambil tanpa rundingan atau pengetahuan agensi kerajaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang memegang 25% saham di dalam Guthrie. Atas sebab-sebab inilah, Tun Mahathir dan Datuk Ismail membuat keputusan untuk mengambil alih Guthrie daripada tangan British. 

Pelan Awal Untuk Mengambil Alih Guthrie Tanpa Pengetahuan British

individu penting di sebalik serangan dawn raid ke atas guthrie

Setahun sebelum Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau bersama Tengku Razaleigh Hamzah yang pada ketika itu masing-masing merupakan Menteri Perdagangan dan Menteri Kewangan dimaklumkan oleh Datuk Ismail tentang perancangan beliau untuk mengambil alih Guthrie daripada British secara mengejut melalui pembelian saham daripada syarikat-syarikat besar milik mereka. 

4 bulan sebelum peristiwa Dawn Raid, sebuah agensi kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh seorang pengurus pelaburan yang bernama Khalid Ibrahim (kini Tan Sri) telah diberikan tugas untuk mengkaji dan membuat strategi bagi memastikan segalanya berjalan dengan lancar ketika operasi dijalankan. 

TS Khalid yang sebelum ini pernah bekerja di Barings (London), yang merupakan salah sebuah syarikat penasihat kewangan kepada Guthrie bersama pakar-pakar pelabur Malaysia serta penasihat-penasihat daripada bank NM Rothschild & Sons Ltd. telah diminta untuk mengkaji sama ada Guthrie boleh diambil alih. Sekiranya ia tidak mustahil, mereka harus memfomulasikan strategi terperinci bagi melaksanakannya. 

Perancangan Strategi Serangan Dawn Raid Ke Atas Guthrie Dan British

khalid ibrahim merancang strategi serangan dawn raid ke atas guthrie

Melalui kajian intensif, pasukan berkenaan menemui kecacatan pada London Stock Exchange Act yang boleh dieksploitasikan. Kelemahan ini memungkinkan pengambil alihan Guthrie. Syaratnya, ia perlu dilakukan sepantas mungkin dan secara rahsia bagi mengelakkan dikesan oleh British.

Dengan persetujuan Tun Mahathir, modal sebanyak £282 juta telah diambil daripada 3 sumber berbeza iaitu Petronas, Pernas dan Amanah Saham Nasional (ASN). Bagi mengelakkan British daripada menyedari pelan mereka, TS Khalid telah dinasihatkan oleh Rothschild untuk membuka sebuah bank di Switzerland bagi memproses pembayaran pembelian saham.

Guthrie menjadi target berbanding syarikat-syarikat milik British yang lain kerana terdapat hubungan baik antara pemegang saham Guthrie (bukan British) dengan pegawai-pegawai di agensi kerajaan yang terlibat dengan perancangan ini. Antara syarikat yang mempunyai saham di Guthrie adalah Genting, Bank Simpanan Nasional (BSN), Kuwait Investment Group (KIG) dan bank OCBC. 

Dengan pegangan saham sedia ada sekitar 25%, kerajaan hanya perlu mendapatkan saham sebanyak 15% bagi menjadi pemegang saham utama di Guthrie. Rothschild dilantik bagi pembelian saham Guthrie daripada pelabur besar di luar negara manakala Rowe & Pittman dilantik sebagai broker bagi membeli saham Guthrie daripada pelabur-pelabur kecil. 

Idea bagi pengambil alihan Guthrie hanya boleh tercapai dengan pembelian saham Guthrie di Malaysia dan luar negara secara serentak sebelum LSE dibuka, dan ia perlu dilakukan tanpa pengetahuan dan kesedaran pengurusan Guthrie sendiri.

Bagi memastikan kejayaan serangan rahsia ini, hanya sekumpulan kecil perancang yang terlibat secara langsung sahaja yang diberi taklimat secara terperinci. Malah, CEO (Mohammad Desa Pachi) sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk serangan Dawn Raid tersebut juga tidak dimaklumkan tentang bagaimana operasi tersebut akan dijalankan. 

Hari Serangan Dawn Raid - 7 September 1981, 9am Waktu London (4pm Waktu Malaysia)

Menurut perancangan, semua yang terlibat akan mendapatkan kelulusan pembeli-pembeli saham sebelum LSE dibuka. Apabila dibuka, kerajaan akan mengumumkan tentang berita mengejutkan ini kepada dunia dan menguruskan hal-hal dokumentasi sahaja, sebagai kejutan kepada Guthrie dan pemegang saham lain. 

Komplikasi pelan tersebut adalah dalam memastikan pembeliannya dijalankan secara rahsia. Sekiranya serangan tersebut didedahkan terlalu awal, harga stok akan menaik dan pengurusan Guthrie akan sempat untuk memberi respon. 

Di Malaysia, TS Khalid yang diberi tugas untuk menguruskan pembelian saham tempatan berasa optimistik bahawa Genting, BSN dan KIG akan menerima tawaran kerajaan kerana ketiga-tiganya mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan. 

Dalam masa yang sama, Dato Ismail bergerak ke Singapura bagi bertemu dengan pengerusi OCBC. Pelannya adalah untuk meyakinkan OCBC untuk menerima tawaran pembelian saham mereka dalam Guthrie pada jam 3.30pm, dan kemudiannya menghantar notis pembelian pada 3.45pm. Mereka berbincang ketika makan tengahari. Perbincangan berkenaan mengambil masa yang lama dan berakhir dengan berita yang menyedihkan, OCBC menolak tawaran tersebut. 

Beliau telah menelefon TS Khalid bagi memaklumkan berita buruk berkenaan kepada semua. Walaubagaimanapun, memandangkan TS Khalid telah berjaya membeli saham daripada kesemua Genting, BSN dan KIG, mereka terpaksa meneruskan serangan tersebut. 

Di London, setelah mendapat lampu hijau, 2 syarikat yang dilantik mula melakukan proses pembelian sepantas boleh. Rothschild berjaya memujuk M & G Investment Trust, sebuah syarikat British yang mempunyai 17% saham Guthrie untuk menjual 11% sahamnya kepada Malaysia. Broker di Rowe & Pittman pula berjaya membeli 5% saham daripada pelabur kecil yang terdiri daripada rakyat British. 

Walaupun tanpa saham daripada OCBC, dalam masa 4 jam sahaja, kerajaan Malaysia berjaya membeli 8 juta unit saham, bersamaan dengan 50.41% saham syarikat tanpa pengetahuan atau persetujuan pengurusan Guthrie. Pada petang waktu London, Guthrie akhirnya jatuh ke tangan Malaysia. 

Kejutan Rampasan Guthrie Dan Kesannya Kepada British Dan Malaysia

pm malaysia tun dr mahathir bertemu margaret thatcher pm uk

Pengerusi Guthrie, Mark Gent hanya menyedari berita pemilikan semula syarikat tersebut melalui berita di radio. Pengambil alihan secara tiba-tiba syarikat milik British melalui ekploitasi sistem LSE oleh salah sebuah bekas koloninya memberi tamparan hebat kepada kerajaan British. 

Perdana Menteri Britain iaitu Margaret Thatcher hanya mengetahui tentang berita berkenaan beberapa hari kemudian. Kerajaan British memberi respon pantas dengan mengetatkan undang-undang bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Broker-broker di London memuji Malaysia sebagai licik manakala media British mengutuk serangan ini sebagai 'backdoor nationalization'.

Dalam masa 3 bulan selepas serangan Dawn Raid, kebanyakan saham-saham Guthrie secara beransur menjadi milik kerajaan Malaysia. Pada penghujung 1981, kesemua saham Guthrie menjadi milik kita. 

Dato Ismail akhirnya mengambil alih pengurusan Guthrie dan memindahkan ibu pejabatnya daripada London ke Kuala Lumpur bagi menandakan tamatnya penguasaan British ke atas syarikat berkenaan. Dawn Raid memberi impak yang besar kepada banyak peringkat dalam jangka masa panjang. 

margeret thatcher dan mahathir berdamai selepas dawn raid 210

Pertamanya, syarikat-syarikat British di Malaysia yang sebelum ini tidak memberikan perhatian kepada kerajaan Malaysia mula membuka pintu rundingan bagi terma-terma baharu. Tidak lama selepas pemilikan semula Guthrie, 3 buah syarikat perladangan British yang beroperasi di Malaysia iaitu Highlands & Lowlands, Barlows dan Harrisons & Crosfield (H&C) menjual hak milik mereka kepada kerajaan. 

Memandangkan syarikat seperti H&C mempunyai ladang getah, ladang kelapa sawit dan lain-lain aset di seluruh dunia (seperti di India, New Zealand dan China), kerajaan Malaysia kini menjadi tuan tanah kepada aset bekas milik British. TS Khalid kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa hasil keuntungan yang diperoleh daripada kesemua aset baharu ini melebihi kos bagi membiayai serangan Dawn Raid. Beliau telah dipetik berkata, 'kita sebenarnya memperolehi Guthrie secara percuma'. 

Selepas mesyuarat pada tahun 1983 di London antara Tun Mahathir dan Margaret Thatcher, beberapa resolusi telah dipersetujui. Salah satu daripadanya adalah kerajaan British akan menawarkan beberapa bantuan kewangan sebanyak £160 juta sebagai subsidi pendidikan kepada pelajar Malaysia yang menuntut di UK. Dan juga, MAS kini diberi hak pendaratan di lapangan terbang Heathrow. 

tun mahathir mas mendarat di heathrow dawn raid

Sumber & Bacaan Tambahan:

  1. cambridge.org
  2. kanggatheren-manogaran.blogspot.my
  3. researchgate.net



Hakcipta iluminasi.com (2017)