Oleh pada 13 Sep 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Datuk Aliff Syukri

Pengasas kosmetik Datuk Aliff Syukri tidak berpuas hati dengan keputusan AF Megastar yang diumumkan pada penghujung Konsert Homecoming Ahad lalu.

Sejurus selepas program berakhir, Aliff memuat naik sebuah video di laman Instagramnya yang memaparkan ketidakpuasan hatinya terhadap juri profesional.

Dalam video itu, pengasas produk kecantikan D’ Herbs yang juga merupakan penaja program itu tampil berhadapan dengan juri tetap AF Megastar, Datuk Ramli MS. Juga kelihatan dalam video adalah pengarah popular Michael Ang.

Aliff yang nampak "panas" mempersoalkan secara empat mata kepada Ramli, "Saya tak puas hatilah, kenapa penyanyi kegemaran saya, Mila tersingkir? Saya rasa Datuk tak reti pilih ni.”

Ramli yang pada awalnya terkejut dengan terjahan spontan Aliff, namun sebaik sahaja diajukan pertanyaan itu hanya bersifat tenang.

Ternyata pengarah muzik itu mempunyai jawapan kukuh yang akhirnya membuatkan Aliff terdiam.

“Esok buka TV sendiri, boleh pilih siapa yang nak pilih. Duit banyak,” balas Ramli yang cukup "win"!

Video itu sehingga kini ditonton lebih 180 ribu kali dan rata-rata netizen terhibur dengan jawapan balas Ramli kepada Aliff.

Difahamkan, Aliff tidak gembira melihat beberapa calon yang dirasakannya layak ke AF Megastar tetapi tidak mendapat tempat di hati juri. Selain Mila, Aliff turut menyuarakan sokongan kepada Juara Akademi Fantasia 4, Faizal dan bekas pelajar Akademi Fantasia 1, Rosma.

Terdahulu, 12 bekas pelajar Akademi Fantasia disingkirkan daripada penyertaan ke konsert mingguan. Mereka adalah Zahid, Adam, Firman, Ara, Amylea, Faizul, Anding, Nubhan, Rosma, Aril, termasuk Faizal dan Mila.

Manakala 12 peserta yang disenarai pendek ke peringkat seterusnya adalah Syamel, Adira, Ewal, Indah, Bob, Idayu, Marsha, Amir Jahari, Shahir, Sufi, Azhar dan Amir.

Selain Ramli, guru vokal Syafinaz Selamat dipilih sebagai juri tetap bersama penyanyi Ziana Zain sebagai juri undangan untuk dua konsert pertama.

AF Megastar disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria, setiap hari Ahad, jam 9 malam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)