Leftenan Kolonel Otto Skorzeny merupakan seorang tentera yang luar biasa dan handal dalam pertempuran gerila dan serangan gaya komando semasa Perang Dunia Kedua. Dia telah menjayakan pelbagai operasi yang melibatkan misi menyelamat, menculik, pembunuhan atau pertahanan.

Disebabkan kejayaannya itu, dia menjadi salah seorang pegawai yang digemari oleh Adolf Hitler dan diberi gelaran sebagai "lelaki paling bahaya di Eropah" oleh tentera Kuasa Paksi. Skorzeny yang mempunyai ketinggian 6 kaki 4 inci dan parut yang besar pada pipi sebelah kirinya menambahkan lagi reputasinya yang menggerunkan itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kerjaya sebagai tentera

Skorzeny dilahirkan pada tahun 1908 di dalam keluarga yang sederhana di Austria. Dia telah menyertai Nazi pada tahun 1931 apabila menyertai cawangan tentera ini di Austria. Namun, apabila perang dunia kedua meletus, karier tentera Skorzeny sedikit terganggu apabila dia gagal diterima masuk Luftwaffe iaitu tentera udara Nazi Jerman dengan alasan dia terlalu tinggi dan terlalu tua pada usia 31 tahun ketika itu.

hitler dan pegawai ss

Dia kemudiannya telah menyertai kumpulan SS dan menjadi pegawai kadet di dalam pasukan Leibstandarte, iaitu regimen pengawal peribadi Hitler. Dari tahun 1940 sehingga 1942, dia telah menyertai beberapa pertempuran di Belanda, Perancis dan juga Medan Timur berhadapan dengan pakatan Tentera Kuasa Paksi.

Pada Disember 1942, Skorzeny hampir kehilangan nyawanya ketika berperang di Medan Timur apabila serpihan peluru terkena tepat di kepalanya namun dia tetap meneruskan pertempurannya sehinggalah dia pengsan dan dimasukkan ke hospital. Disebabkan tindakan beraninya itu, dia dianugerahkan pingat Iron Cross darjah pertama.

Ketika sedang mengalami pemulihan di Berlin, dia menjadi berminat dengan operasi komando dan banyak membaca tentang strategi perperangan dan tektik gerila. Skorzeny akhirnya telah mencipta formula pertempuran komandonya sendiri dan telah menarik perhatian Walter Schellenberg iaitu ketua pasukan SD (perkhidmatan perisik luar SS).

Schellenberg telah menjadikan Skorzeny sebagai ketua pasukan Waffen Sondervanband z.b.V. Friedenthal yang baru ditubuhkan. Kini, dengan sekumpulan komando di bawah seliaannya, Skorzeny mula menguji ideanya tentang pertempuran baru yang tidak lazim digunakan. Misi pertamanya iaitu Operasi Francois tidak berhasil seperti yang diharapkan namun misi seterusnya akan menjadi salah satu kejayaan terbesarnya.

Misi pertama sebagai ketua komando

otto dan mussolini

Pada Julai 1943, kerajaan Itali telah menggulingkan Benito Mussolini dan ianya membuatkan Hitler menjadi berang. Hitler telah berjanji akan menyelamatkan Mussolini dengan melancarkan Operasi Eiche dengan mengumpulkan penglima terhebat Jerman termasuklah Skorzeny. Mereka berdua tidak pernah bertemu sebelum ini namun setelah itu Hitler merasakan Skorzeny adalah orang paling layak untuk tugasan itu.

Pertama sekali Skorzeny perlulah mencari Mussolini terlebih dahulu kerana pihak Itali sering memindahkannya dari satu tempat ke tempat yang lain. Setelah beberapa minggu mencari, Skorzeny akhirnya berjaya menjejaki Mussolini di Hotel Campo Imperatore yang terletak pada ketinggian 6,500 kaki di atas gunung Gran Sasso di daerah Abruzzo, Itali.

Hotel itu hanya boleh diakses menggunakan kereta kabel. Pada 12 September 1943, Skorzeny telah mengetuai satu misi udara yang berani bagi mendekati hotel berkenaan. Dengan menggunakan pesawat peluncur, Skorzeny berharap kawasan berumput di hadapan hotel itu akan menjadi tempat pendaratannya.

Namun, apabila dia mendekati kawasan tersebut, barulah dia sedar bahawa kawasan berumput yang dilihat melalui gambar pengintipan itu bukanlah kawasan berumput tetapi adalah kawasan berbatu yang curam.

Ketika itu arahan telah diberikan agar misi tersebut dibatalkan namun Skorzeny ingkar dan mengarahkan juruterbangnya untuk teruskan mendarat. Mereka bernasib baik dan berjaya mendarat 30 kaki dari hotel itu. Dalam masa beberapa minit sahaja Skorzeny berjaya menjumpai Mussolini dan tiada seorangpun yang terbunuh dalam misi menyelamat itu.

otto skorzeny ketua pasukan ss

Dengan menggunakan pesawat peluncur Fieseler Scorch yang hanya direka untuk memuatkan dua penumpang sahaja, Skorzeny, juruterbangnya dan Mussolini menaiki juga pesawat itu bertiga dan bernasib baik apabila dapat terbang dan sampai ke destinasi yang dituju.

Dengan kejayaan misinya itu, Skorzeny telah menambat hati Hitler dan dianugerahkan dengan pingat Knights Cross. Malah, Winston Churchill yang merupakan Perdana Menteri United Kingdom juga berasa kagum dengan kehebatan Skorzeny dan di sinilah bermula legenda mengenainya.

Operasi Long Jump

Beberapa bulan kemudian, Hitler telah meminta agar Skorzeny merancang dan menjalankan satu lagi misi yang lebih penting iaitu membunuh musuh besarnya di dalam operasi yang digelar sebagai Operation Long Jump. Skorzeny dan para komandonya dirahkan untuk menceroboh masuk ke dalam Persidangan Tehran dan membunuh "Big Three" iaitu Franklin Roosevelt, Winston Churchill dan Joseph Stalin.

big three operation long jump

Namun, perancangan operasi Long Jump ini telah diketahui oleh seorang perisik legenda Soviet iaitu Nikolai Kuznetsov apabila beliau menceroboh ke dalam kem tentera Jerman di Ukraine dan mengumpan seorang ketua SS dengan memberikannya minuman keras sehingga mabuk.

Dengan maklumat yang diperolehi, pihak Soviet berjaya merungkai rancangan pihak Jerman. Sepasukan operator radio Jerman terlebih dahulu telah pergi ke Tehran untuk mempersiapkan kedatangan para komando Jerman. Di sana, pihak perisik Soviet telah memintas mesej Jerman yang mendakwa Skorzeny dan para komandonya akan mendarat di Iran menggunakan payung terjun beberapa minggu sebelum bermulanya persidangan itu.

Pihak Soviet kini mempunyai bukti kukuh mengenai rancangan pembunuhan itu dan telah menangkap pasukan operator radio Jerman di Iran bagi menggagalkan rancangan itu. Akhirnya Skorzeny dan pasukannya tidak jadi untuk datang ke Iran bagi meneruskan operasi itu.

Kejayaan Skorzeny yang seterusnya bukanlah melalui operasi akan tetapi kerana berjaya mengagalkan salah satu bentuk ancaman kepada pemimpin tertinggi Nazi Jerman itu sendiri.

Mengagalkan Operasi Valkyrie

operation valkyrie

Di dalam biografinya, Skornezy mendakwa beliau memainkan peranan penting dalam usaha memulihkan ketenteraman di Berlin selepas percubaan membunuh Hitler pada 20 Julai 1944 dalam misi yang dinamakan Operasi Valkyrie. Para konspirasi telah mengubah kod tentera "Valkyrie" yang biasanya digunakan untuk mengawal pemberontakan tentera sebaliknya menyemarakkan lagi api pemberontakan.

Sementara Majer Otto Remer mengetuai serangan terhadap para konspirasi, Skorzeny pula telah menyelinap masuk ke dalam pangkalan di mana operasi Valkryrie dijalankan dan membatalkan arahan pemberontakan. Skorzeny kemudian telah memulihkan sistem komunikasi ke Ibu Pejabat Fuhrer dan menghalang terjadinya perang saudara sesama tentera Jerman itu sendiri.

Ketika itu Skorzeny telah mengambil alih pentadbiran tentera Jerman buat sementara waktu sehinggalah keadaan kembali normal dan dia menyerahkan semula kepada pihak yang berwajib. Disebabkan itu, Hitler menjadi meletakkan sepenuh kepercayaannya terhadap Skorzeny.

Pada Oktober 1944, Hitler telah mengarahkan Skorzeny untuk menculik anak lelaki kepada ketua tentera Hungary iaitu Admiral Horthy. Misi itu berjaya dan ia menyebabkan Hungary kekal berada di pihak Jerman dalam perperangan. 

Misi paling terkenal Skorzeny

otto skorzeny berjumpa dengan hitler

Namun, misi paling terkenal yang pernah dilakukan Skorzeny adalah Operasi Greif (Griffin), iaitu misi di mana Hitler cuba untuk mengubah  keadaan pada pihak tentera Bersekutu. Objektif utama misi ini adalah menawan jambatan utama di Sungai Meuse semasa Battle of the Bulge.

Skorzeny dan pasukannya ketika itu menyamar dengan memakai pakaian tentera British dan Amerika yang ditawan, kemudian menaiki beberapa kereta perisai tentera musuh yang dirampas dan pergi ke bahagian belakang tentera Kuasa Paksi untuk menimbulkan kekecohan dan kekeliruan.

Akan tetapi, mereka mempunyai masalah kerana tidak ramai tentera Jerman yang fasih berbahasa Inggeris bahkan mereka juga tidak mempunyai pakaian seragam tentera Amerika yang cukup dan menjadikan penyamaran ini sedikit bahaya.

Namun, pada 16 Disember 1944, Operasi Greif ini tetap dijalankan. Pasukan Skorzeny telah merosakkan alat perhubungan, mengeluarkan arahan palsu dan juga menukar papan tanda jalan. Hal ini menyebabkan timbulnya perasaan curiga di kalangan tentera Amerika apabila mendapat tahu ada tentera Jerman yang menyamar di kalangan mereka.

Disebabkan kekacauan ini, ramai tentera Amerika telah menembak sesama mereka hanya untuk mencari dalang tentera Jerman di kalangan mereka. Pada ketika ini ramai tentera Amerika bahkan jeneral tentera Bersekutu ditahan di pusat pemeriksaan apabila gagal menjawab soalan yang diberikan.

gambar berwarna otto skorzeny

Salah satu contoh ialah seorang Field Marshall iaitu Bernard Montgomery yang enggan menunjukkan kad pengenalan dirinya sehingga menyebabkan tayar kenderaannya ditembak sehingga pecah. Dia kemudian diheret ke sebuah bangsal dan ditahan di situ sehingga identiti sebenarnya disahkan.

Kekeliruan yang terbesar datangnya dari Skorzeny sendiri apabila dia menyebarkan khabar angin bahawa sasaran sebenar penyamaran tentera Jerman itu adalah untuk membunuh Presiden Amerika iaitu Eisenhower yang sedang berada di Paris ketika itu. Hal ini menyebabkan Eisenhower terpaksa bersembunyi dan digantikan dengan "pelakon" yang merupakan pelanduk dua serupa untuk menjalankan tugas hariannya.

Akhirnya, ramai tentera Jerman yang gagal menyamar sebagai tentera Amerika dengan baik ditahan dan ditembak mati sebagai hukuman. Namun, Skorzeny terselamat sehingga perang berakhir dan dianurgerahkan dengan pingat Daun Oak pada Iron Cross yang merupakan pingat tertinggi diberikan oleh tentera Nazi.

Pelarian yang dirayu Mossad

otto skorzeny memegang pistol

Pada tahun 1950, dia telah berpindah ke Sepanyol di mana pelarian Nazi menerima perlindungan suaka di sana. Dia dan isterinya hidup dalam kehidupan normal dengan menjalankan perniagaan kejuruteraan kecil-kecilan dan dikatakan telah membantu ramai tentera Nazi yang lain untuk lari ke Sepanyol dan beberapa negara Latin Amerika.

Pada suatu malam tahun 1962, dua orang agen Mossad telah menyamar sebagai sebuah pasangan telah mendekati Skorzeny dan isterinya yang pada ketika itu berada di sebuah bar dan beramah mesra dengan mereka dengan alasan ingin mencari kenalan.

Skorzeny yang tidak mudah ditipu telah mengajak pasangan itu untuk ke rumahnya. Setibanya di rumah, Skorzeny telah mengeluarkan pistolnya dan mengacukan kepada pasangan terbabit. Dia memberitahu bahawa dia sudah tahu mereka berdua adalah agen Mossad dan datang untuk membunuhnya.

Namun, pasangan agen itu bersetuju bahawa Skorzeny adalah separuh betul. Mereka mengaku mereka adalah agen Mossad namun kedatangan mereka bukanlah untuk membunuh, sebaliknya ingin meminta bantuan Skorzeny. Pihak Israel ingin menghentikan program peluru berpandu Mesir dan mereka merasakan Skorzeny adalah orang yang paling layak untuk tugasan itu.

otto skorzeny di pejabatnya

Skorzeny hanya akan bersetuju sekiranya Mossad membuang namanya yang berada dalam senarai orang yang dikehendaki mati oleh negara Israel. Mossad selepas itu cuba untuk meyakinkan Simon Wiesenthal iaitu seorang pemburu bekas tentera Nazi untuk membuang nama Skorzeny namun ditolak.

Akhirnya Mossad terpaksa menyerahkan surat palsu kepada Skorzeny yang mengatakan namanya telah dibuang oleh Wiesenthal agar dia bersetuju untuk membantu Israel dalam pertelingkahan dengan Mesir itu.

Selepas menjalani sesi latihan di pangkalan Mossad di Israel, Skorzeny dilaporkan terlibat dalam pengintipan dan perancangan untuk membunuh saintis roket Jerman yang bekerja untuk kerajaan Mesir iaitu Heinz Krug. Kumpulannya juga didakwa bertanggungjawab mengirim bom ke Factory 333 iaitu sebuah tapak kajian roket tentera Mesir yang menyebabkan 5 warga Mesir terbunuh.

Skorzeny juga didakwa telah membekalkan nama-nama dan alamat saintis Jerman yang lain yang bekerja untuk Mesir dan nama syarikat terkemuka Eropah yang menjadi pembekal perkakasan ketenteraan kepada Mesir. Selebihnya penglibatan beliau sebagai agen Mossad adalah masih samar dan banyak lagi yang dirahsiakan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)