Oleh pada 23 Aug 2017 kategori

Sukan sudah menjadi satu bidang yang diberikan penekanan tinggi oleh kebanyakan negara, atas potensinya membuka peluang kepada atlit-atlit mencipta nama, mengharumkan nama negara dan juga mempunyai pendapatan tetap sebagai seorang yang berkarier dalam sukan.

Lihat saja atlit-atlit yang sejak mula berkecimpung menjadikan sukan sebagai kerjaya, kebanyakannya mampu membawa nama Malaysia di mata dunia, seperti Lee Chong Wei, Nicol David, Adik-beradik Sidek dan ramai lagi. Jadi seharusnya berlaku perubahan minda terhadap penerimaan ibu bapa kita terhadap sukan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun begitu, apakah jalan yang boleh diambil jika seseorang itu minat menceburi kerjaya dalam sukan, bukan sekadar sebagai atlit, malah mungkin juga berminat untuk menjadi pakar dalam latihan, mencipta kaedah baru menerusi sains sukan atau memperkenalkan sistem baru dalam area kejurulatihan?

iluminasi sains sukan malaysia6

Untuk mana-mana pelajar yang berminat menjadi atlit secara serius, mereka akan dikenalpasti bakatnya menerusi proses Kenal Pasti Bakat. Proses ini merangkumi 3 peringkat iaitu Talent Search, Talent Identification dan Talent Scouting, boleh bermula semenjak pelajar berusia 10 tahun bagi melayakkan diri memasuki Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

Tidak ada permohonan dibuka untuk kemasukan ke dalam SSM. Kesemua pelajar SSM adalah mereka yang telah dikenalpasti bakatnya menerusi proses Kenal Pasti Bakat yang telah dikendalikan oleh Unit Sukan JPN, program scouting semasa mana-mana kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia atau mana-mana calon yang dicadangkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan sebagai berpotensi menjadi atlit elit.

Bagi mereka yang gagal masuk pada peringkat sekolah, pelajar boleh mencuba lagi nasib pada peringkat pra-universiti dengan memenuhi beberapa syarat khas dari aspek akademik dan juga aspek sukan.

iluminasi sains sukan malaysia3

Bukan semua sukan layak dalam kemasukan ke SSM. Sukan yang terpilih adalah acara akuatik, bola keranjang, bola sepak, bola jaring, bola tampar, badminton, tenpin, berbasikal, ekuestrian, golf, gimnastik, hoki, kriket, lawan pedang, memanah, menembak, seni mempertahankan diri, olahraga, skuasy, sepak takraw dan tenis.

Sehingga kini, terdapat 5 buah SSM di seluruh negara iaitu Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), SSM Pahang, SSM Sabah dan SSM Terengganu,

Jika ada di antara anda yang berminat mempunyai karier dalam bidang sukan, kini Malaysia sudah mempunyai jalan yang lebih jelas dalam pembentukan karier seseorang jika dia berminat dengan bidang sukan. Kini semakin banyak institusi yang menawarkan pendidikan berteraskan sukan.

iluminasi sains sukan malaysia5

Prospek kerjaya dalam bidang sukan juga semakin meluas. Dengan pendidikan dalam bidang sukan, seseorang boleh menceburkan diri dalam karier sebagai jurulatih sukan, jurulatih kecergasan, guru, pegawai sukan, pakar perubatan, pakar fisioterapi dan pelbagai lagi karier lain.

Antara Universiti yang menawarkan kursus berkaitan sukan daripada peringkat diploma hinggalah ke peringkat doktor falsafah adalah Universiti Malaya, Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Selangor.

Kebanyakan kursus-kursus yang ditawarkan merangkumi bidang pengurusan sukan, pendidikan sukan, pembangunan sukan dan sains sukan.

Memang diakui penggabungan pendidikan, sains dan sukan di negara kita masih lagi muda serta masih banyak yang perlu dipelajari. Walaupun begitu, petanda-petanda positif sudah dapat dilihat apabila 22 daripada 32 atlit yang layak menyertai sukan Olimpik Rio tempohari adalah bekas-bekas pelajar yang menyertai Sekolah Sukan Malaysia.

Selain itu, faktor usaha kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memperkenalkan program 1 Murid 1 Sukan juga terbukti mampu membuka minat pelajar untuk menyertai sebarang acara sukan yang mereka minati sebagai platform paling awal dalam mengenalpasti bakat sukan pelajar.

Ada yang berminat nak menjadikan sukan sebagai satu karier anda?




Hakcipta iluminasi.com (2017)