Jika anda tengok statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi manusia di Malaysia sahaja sudah dianggarkan seramai 31.7 juta pada tahun 2016. Anggaran bagi penduduk di seluruh dunia pula adalah lebih kurang 7.5 bilion dan angka-angka ini akan sentiasa meningkat naik dari tahun ke tahun.

Dengan jumlah 196 buah negara di dunia, bagaimana badan-badan kerajaan dan antarabangsa membuat anggaran populasi ini? Sedangkan setiap hari dan setiap saat ada sahaja bayi yang baru dilahirkan dan ada sahaja orang yang meninggal dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sepanjang 700 tahun yang lalu, kadar populasi di planet Bumi sentiasa menunjukkan kenaikan. Ini menunjukkan peningkatan bilangan manusia walaupun berlakunya kematian pada masa yang sama. Pada Zaman Kebuluran tahun 1315, penduduk bumi dianggarkan seramai 370 juta orang. Sejak itu, kadar pertumbuhan sentiasa naik turun dengan stabil antara 1-2%. Kemuncak kadar pertumbuhan dikesan pada penghujung tahun 1960-an iaitu melebihi 2%.

Pada zaman dahulu, setiap negara mempunyai pelbagai cara untuk mengukur populasi, termasuklah membuat bancian dari rumah ke rumah dan membuat anggaran kasar berdasarkan laporan kelahiran dan kematian.

Apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Suruhanjaya Penduduk (kini dikenali sebagai Suruhanjaya Populasi dan Pembangunan) pada tahun 1946, barulah semua orang mula mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan komprehensif berkaitan bilangan penduduk.

bilangan penduduk terlalu ramai sehingga menyesakkan bumi 183

Jumlah penduduk bumi yang selaras bergantung kepada pelbagai aspek, terutama sekali kebolehpercayaan sesebuah negara untuk melaporkan bilangan populasi masing-masing. Setiap lima tahun, PBB akan mengemaskini data anggaran pertumbuhan setiap negara berdasarkan maklumat yang diberikan oleh kerajaan dan juga anggaran yang diperolehi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNICEF, Kajian Demografi dan Kesihatan (DHS) dan juga Suruhanjaya Pelarian PBB.

Semua data ini akan digabungkan untuk mendapat purata anggaran penduduk Bumi. Sekiranya anda melawat laman "Global Population Counter," anda dapat perhatikan angka yang bertukar beberapa kali dalam sesaat. Angka ini secara umumnya mengikut kadar yang diterbitkan oleh Bahagian Populasi PBB.

cara mengira bilangan penduduk bumi

Walaupun pengumpulan data ini merupakan cara yang paling tepat untuk mengira penduduk Bumi dan sistem sentiasa bertambah baik, namun masih terdapat keraguan bagi setiap anggaran yang dibuat.

Pihak PBB mengakui bahawa terdapat jidar selisih (margin of error) antara 2-3% bagi setiap kes yang boleh diabaikan. Namun anda perlu ingat bahawa amaun 'boleh abai' ini merupakan sebahagian peratusan daripada 7.5 bilion penduduk. Dalam erti kata lain, ia bersamaan dengan 150 - 250 juta orang. Itu dah sama banyak dengan keseluruhan penduduk Brazil -- negara kelima terbesar di dunia!

beza penduduk dulu dan sekarang

Ketidaktepatan data ini sebenarnya tidak boleh dielakkan. Banyak faktor yang mempengaruhi data seperti di mana anda tinggal dan infrastruktur atau usaha berbeza setiap kerajaan yang dijalankan untuk mengira kepadatan penduduk.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat dan United Kingdom misalnya, bancian dijalankan setiap 10 tahun namun ia merupakan bancian yang hampir 100% tepat. Manakala Italy pula membuat bancian terakhir pada tahun 2000. Jerman? Dah tak buat bancian rasmi sejak 1987. Negara lain seperti Australia lebih rajin melakukan bancian iaitu setiap 5 tahun.

pekerja bancian melawat dari rumah ke rumah untuk mengetahui bilangan ahli keluarga

Jadi, daripada contoh ini sahaja anda dah boleh tahu kenapa susah benar nak buat anggaran kepadatan penduduk di Bumi. Ini belum kira kes-kes krisis pelarian yang boleh mengurangkan penduduk sesebuah negara tetapi pada masa yang sama menaikkan bilangan di negara lain. Kes pelarian seperti ini seringkali tidak didokumenkan dan melibatkan jutaan orang. Misalnya seramai 6.3 juta orang melarikan diri dari Afghanistan menuju ke Pakistan dan Iran pada tahun 1979 dan tahun 2011 menyaksikan perpindahan 12 juta rakyat Syria yang berpecah-belah ke Turki, Lebanon, Jordan dan Eropah Barat.

Akhir sekali, masih banyak lagi negara yang tidak mempunyai rekod kelahiran dan kematian yang betul, mengakibatkan anggaran yang tidak tepat. Selain itu, negara-negara ini juga mempunyai kawasan yang sukar dicapai menyebabkan bancian rumah ke rumah sukar dilakukan.

sebab itulah terpaksa buat bangunan tinggi tinggi untuk menampung kepadatan penduduk

Apabila PBB membuat anggaran setiap lima tahun, nombor yang digunakan telah mengambil kira faktor yang boleh mempengaruhi kadar kematian dan kelahiran. Sebagai contoh, WHO mempertimbangkan bilangan pesakit AIDS dan epidemik yang melanda di seluruh Afrika yang mengakibatkan kurangnya kadar kelahiran. (Ramai orang mati = kurang bilangan penduduk = kurang kelahiran = ubah peratusan penduduk)

Antara faktor lain yang diambil kira adalah kadar kesuburan rakyat, ketidakstabilan ekonomi, pembatasan sumber, perubahan iklim, konflik negara, wabak penyakit dan sebagainya.

wabak penyakit menjadi faktor pemboleh ubah bilangan penduduk

Dalam erti kata lain, penganalisis populasi sudah cuba sehabis baik dengan data dan maklumat yang ada, namun untuk memberikan jumlah tepat 100% bilangan penduduk di muka bumi ini adalah sesuatu yang mustahil.

Apa-apapun, planet kita mungkin bakal mempunyai bilangan manusia seramai 8 bilion orang pada tahun 2023. Kalau nak pemahaman yang lebih mudah tentang kepadatan penduduk dunia, boleh tonton video ini:

Video ini dibuat pada tahun 2011 ketika penduduk bumi masih 7 bilion. Anda bayangkanlah, dalam masa 6 tahun sahaja angka ini dah bertambah lagi 0.5 bilion!

Sumber rujukan:

1. United Nations

2. Worldometers

3. Khan Academy




Hakcipta iluminasi.com (2017)