Oleh pada 03 Sep 2019 kategori

Kredit foto: Instagram Syahmi Sazli

      

Peminat bintang YouTube, Mohd Asyiff Suhaimi atau Asif boleh menghela nafas lega selepas remaja autisme itu disahkan kembali beraksi dalam slot Drama Spontan di saluran YouTube, Syahmi Sazli.

Kakak kepada Asif iaitu Siti Nurul Atina Suhaimi, 30, berkata, bapanya, Suhaimi, 56, sudahpun bersua muka dengan Syahmi bagi menyelesaikan kemelut yang timbul membabitkan isu bayaran gaji dan kebajikan remaja istimewa itu.

"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai setelah saya bawa abah berjumpa dengan Syahmi dan isterinya, Anissa Faizul untuk berbincang mengenai apa yang berlaku.

"Abah pun dah mengaku segala salah faham yang berlaku berpunca daripadanya dan dia sudah memohon maaf kepada pihak Syahmi," katanya kepada Mstar.

Begitupun, Tina berkata, kemunculan semula Asif dalam produksi milik Syahmi kini didatangkan dengan satu syarat di mana kepentingan adiknya akan dijaga menerusi satu perjanjian bertulis.

    

biodata syahmi sazli

Kredit foto: Instagram Syahmi Sazli

      

"Walaupun dah bermaafan, abah pada mulanya tak benarkan lagi Asif terlibat berlakon dengan Syahmi dan mahu Asif kembali jalani kehidupan seperti sebelum dia dikenali. Tapi selepas dipujuk, Alhamdulillah abah berubah fikiran.

"Syaratnya, abah mahu saya uruskan semua perkara berkaitan Asif. Abah pun dah janji tak nak masuk campur dalam kerjaya Asif.

"Selain itu kami kena buat perjanjian bertulis atau kontrak dengan Syahmi agar isu bayaran untuk Asif lebih jelas dan tidak timbul salah faham," katanya.

Terdahulu, Tina yang juga merupakan kakak sebapa kepada Asif mendedahkan konflik yang timbul apabila Syahmi didakwanya telah mengabaikan soal bayaran dan kebajikan remaja itu.

Bagaimanapun, beliau dalam sebuah lagi kenyataan mengakui ia hanyalah salah faham dalam kalangan keluarga.

     

Sumber berita: Asif, Syahmi Kembali Bergabung! Tapi Ada Syarat... Keluarga Minta Kontrak, Mesti Ada 'Hitam Putih' Bayaran Gaji

   




Hakcipta iluminasi.com (2017)