Kredit foto: mediacbs , star2.com , esplanade.com & metrowealthpictures.wordpress.com

Program realiti televisyen terbaru terbitan Astro iaitu AF Megastar bakal menghimpunkan 24 peserta daripada 13 musim program berkenaan.

Menurut sumber, hanya lapan bekas juara yang akan menyertai persaingan tersebut iaitu Zahid (AF2), Faizal (AF4), Mila (AF5), Shahir (AF8), Faizul (AF2013), Firman (AF2014), Sufie (AF2015) dan Amir (AF2016).

Mereka bakal dicabar dengan enam belas lagi bekas pelajar lain yang terdiri daripada Rosma (AF1), Anding (AF2), Adam (AF2), Bob (AF2), Amylea (AF3), Idayu (AF3), Marsha (AF3), Nubhan (AF6), Aril (AF7), Adira (AF8), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF2013), Indah (AF2013), Ewal (AF2014), Syamel (AF2015) dan Ara (AF2016).

Menyentuh mengenai konsep pertandingan, sumber mendedahkan kepada portal Berita Harian Online tentang beberapa peringkat yang perlu dilalui peserta.

Semua peserta berkenaan akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu 12 orang bagi konsert minggu pertama, manakala bakinya bakal menjayakan persembahan pada konsert minggu kedua. Persembahan ala prelude ini diberi nama Konsert AF Homecoming. Pada penghujung konsert minggu kedua nanti, 12 peserta yang layak untuk mara ke minggu ketiga akan diumumkan. Bermula pada minggu ketiga, setiap peserta terpilih akan berentap hinggalah ke minggu kelapan sebelum seorang daripada mereka diumumkan sebagai juara dan menggalas gelaran AF Megastar. 
Sumber: BH Online

Pengarah muzik Datuk Ramli MS dan guru vokal Syafinaz Selamat diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai juri profesional, bersama seorang lagi juri jemputan setiap minggu.

Konsert Prelude bakal diadili secara keseluruhan oleh juri profesional, manakala pemarkahan konsert mingguan adalah berdasarkan gabungan 60 peratus markah juri profesional dan 40 peratus lagi daripada undian sms bersama undian atas talian oleh penonton.

Tiada tenaga pengajar dengan alasan para peserta adalah daripada kalangan penyanyi profesional. Lagu tugasan pula berdasarkan tema mingguan yang akan ditetapkan seperti konsep pertandingan nyanyian Gegar Vaganza




Hakcipta iluminasi.com (2017)