Suami anda suka merokok dalam kereta dan anda tak tahan dengan bau asap yang tinggal? Ataupun anda merupakan seorang perokok dan isteri selalu berleter kereta bau busuk? Anda dah letak pewangi dan semburair freshener tapi lagi pening jadinya sebab bau bercampur-campur. Ini disebabkan asap telah diserap ke dalam kerusi fabrik dan kulit yang membuatkan bau rokok tu susah nak hilang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kalau ashtray dah jadi macam ni mungkin anda perlu tukar kereta baru

Kadang-kadang perokok sendiri pun tak tahan dengan bau kereta, apatah lagi orang lain yang menjadi penumpang. Cuba 7 tips penyahbau DIY ini untuk menghilangkan bau 'kepam' asap rokok dalam kereta. Namun perlu diingatkan, ada kereta yang dah bau serupa azab yang amat, jadi cara-cara ini mungkin akan memakan sedikit masa ya.

Sebelum kita mulakan, pastikan anda buang terlebih dahulu dan bersihkan segala puntung rokok yang ada dalam kereta.

serbuk kopi hilangkan bau asap rokok dalam kereta

1. Serbuk kopi

Letakkan semangkuk serbuk kopi di dalam kereta. Biarkan semalaman dengan tingkap bertutup dan serbuk kopi ini akan menyerap bau asap rokok. Anda akan bau wangi aroma kopi semasa dalam perjalanan nak ke pejabat berbanding bau kepam asap rokok. Ulang dan gantikan serbuk kopi ini beberapa kali sehingga bau betul-betul hilang.

cuka hilangkan bau asap rokok dalam kereta

2. Cuka

Ini petua tradisional yang memang sering digunakan oleh orang tua-tua. Tuangkan cuka ke dalam sebuah gelas atau mangkuk dan letakkan di bahagian di tengah-tengah kereta. Biarkan semalaman dan cuka akan menghilangkan bau asap rokok dalam kereta anda. Kalau nak dapatkan bau yang lebih segar, boleh perahkan sedikit lemon ke dalam larutan.

rebus kulit kayu manis untuk hilangkan bau asap rokok dalam kereta

3. Kayu Manis

Sekiranya anda nak menggantikan bau busuk asap itu dengan bau yang lebih manis, cubalah gunakan kulit kayu manis. Rebus 2 - 3 batang kulit kayu manis dan tuangkan air rebusan ke dalam satu cawan. Letakkan cawan berisi air rebusan itu di dalam kereta dengan tingkap bertutup sehingga suhu airnya menurun kepada suhu bilik.

kulit buah sitrus seperti lemon dan oren boleh hilangkan bau asap rokok dalam kereta

4. Kulit buah-buahan sitrus

Kalau anda penggemar bau sitrus, anda boleh kitar semula kulit buah-buahan tersebut. Kupas kulit buah oren, lemon, limau nipis atau apa sahaja buah sitrus kegemaran anda dan kumpulkan kulit ini dalam sebuah cawan. Tinggalkan cawan berisi kulit sitrus ini di dalam kereta untuk menyerap segala bau-bauan kurang enak. Pada masa yang sama, kereta pun akan jadi bau wangi.

letak arang dalam kereta hilangkan bau asap rokok dalam kereta

5. Arang

Ada sesetengah orang tak suka menambah bau wangi untuk menutupi bau busuk. Sekiranya anda mahukan bau yang neutral, gunakan ketulan arang. Simpan satu beg kecil berisi arang di bahagian belakang tempat letak kaki. Arang memang terkenal sebagai ejen penyerap bau. Jangan buang pula arang tu lepas digunakan, anda boleh sambung buat BBQ pula pada malam hari.

renyukkan beberapa keping surat khabar dan tinggalkan dalam kereta hilangkan bau asap rokok dalam kereta

6. Surat khabar

Kadang-kadang tu anda tak merokok pun. Anda tumpangkan seorang kawan, tiba-tiba dia nyalakan api. Nak tegur, takut sentap sampai putus hubungan silaturahim. Walaupun dia dah turunkan tingkap kereta, namun anda tak tahan dengan bau asap peninggalan kawan anda tu. Rileks, merokok sekali dua taklah membuatkan kereta anda bau kepam teruk sangat. Anda cuma perlu renyukkan beberapa keping surat khabar dan biarkan semalaman di dalam kereta untuk menyerap bau itu.

jangan curi kucing anda punya nanti dia marah ambil pasir baru untuk hilangkan bau asap rokok dalam kereta

7. Pasir kumbahan kucing

Anda ada membela kucing? Pasir kumbahan kucing sebenarnya baik untuk menyerap bau. Ambil sedikit pasir (yang belum digunakan) dan letak ke dalam sebuah mangkuk. Biarkan mangkuk itu di dalam kereta sehingga bau asap meresap ke dalam pasir kumbahan. Sebagai bonus, pasir kumbahan ini akan mengelakkan tingkap kereta anda menjadi berkabus pada waktu pagi atau selepas hujan! Lepas bau kereta dah hilang, anda masih boleh gunakan semula pasir ini untuk rakan felin comel anda.

berhentilah merokok dalam kereta

Anda tak perlu berhabis duit beli produk-produk mahal atau hantar cuci sampai kena tanggalkan sarung kusyen kereta. Gunakanlah segala sumber dan bahan semula jadi yang ada di rumah untuk menyingkirkan bau kurang enak dalam kereta anda. Lagipun, anda juga menjadi seorang pencinta alam yang "hijau" dengan menggunakan semula bahan-bahan terbuang seperti kulit sitrus dan surat khabar.

Apa-apapun, sebenarnya paling afdal sekiranya anda boleh menghormati orang lain (terutamanya keluarga) dan tidak merokok dalam kereta. Kalau nak merokok sangat, buatlah di tempat lain. Isteri anda gembira, keluarga pun bahagia. Kan itu lebih baik?




Hakcipta iluminasi.com (2017)