Oleh pada 15 Aug 2020 kategori

Zaman sekarang, penggunaan telefon pintar sebagai pengisi masa lapang (serta penyebab kerja tak siap) memang semakin tinggi penggunaannya.

Tak kiralah melibatkan generasi muda, dewasa atau tua. Ramai orang khusyuk menatap apa yang disajikan di skrin termasuklah kanak-kanak, yang tampak lebih riang dapat menghadap telefon berbanding main di luar rumah. Sayang bukan sekiranya situasi tersebut dibiarkan berlarutan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apatah lagi sehinggakan mereka tidak lagi mengenali dan meminati tradisi permainan tradisional masyarakat kita satu masa dahulu, yang patut diteruskan. Berikut adalah lima permainan tradisional orang kita yang harus diwariskan kepada generasi masa depan.

1. Permainan gasing

budak budak main gasing

Sakit hati sebenarnya melihat kanak-kanak zaman sekarang berasa bangga mereka 'juara Beyblade,' kerana permainan itu langsung tidak memerlukan kemahiran apa-apa.

Jauh berbeza dengan gasing yang bukan saja memerlukan kemahiran tinggi, malahan turut sama memerlukan kesabaran tahap maksima bagi memainkannya. Memang stres rasanya bila dah lilit gasing cantik-cantik, tapi bila kita baling - putarannya sendu sahaja.

Tetapi sekali berpusing, kita punya gembira tu tak ingat dunia dia punya ketawa; sebelum kawan pangkah gasing kita sampai terbelah dua. Agak aneh melihat gasing tradisional zaman sekarang diperbuat daripada plastik walaupun bentuknya masih sama dengan rupa gasing yang asal, kan?

2. Bermain guli

main guli

Terasa marah jugalah tengok guli sekarang dijual pada harga tak masuk akal. Satu plastik ada 5 biji di dalamnya mampu mencecah RM2 sebungkus. Kualitinya juga agak 'lembut' berbanding guli yang penulis main dulu (ke penulis yang dah semakin kuat?)

Main guli memang seronok, apatah lagi bila geng kita ramai. Bila tiba musim main guli, semua orang akan ada guli kegemaran dia atau 'king' yang digeruni dek kekerasannya memecahkan guli.

3. Bermain tutup botol / ceper / tudung menet

lawan ceper tradisi kanak kanak

Main tutup botol ni ibarat main PUBG zaman dahulu. Siapa hebat, setiap jentikannya akan mengena walau sekompleks mana sekalipun susunannya. Apatah lagi bila kena buat jentikan melompat yang cukup 'tricky' untuk disempurnakan.

Selain belajar menjentik, main ceper ni turut sama melatih kita mengingat markah yang diperolehi. Ada kalanya markah yang diperolehi berubah-ubah secara tak tentu pasal hanya kerana nak mengaku dia juara ceper hari itu.

4. Permainan batu seremban

batu seremban

Batu seremban adalah sejenis permainan yang penulis gagal mainkan sejak penulis kecil. Susah betul nak lambung batu dan 'sapu' batu lain yang ada atas lantai.

Penulis memang 'fail' bab tu jadi biasanya penulis akan selalu tutup kelemahan sendiri, dengan mengejek dan mengkritik permainan batu seremban sebagai permainan budak perempuan.

Tetapi kini bila dah dewasa, penulis rasa selesalah nak mengaku penulis tak reti main benda alah ni. Memang batu seremban dimainkan majoritinya oleh golongan wanita.

Bila anda duduk dan tengok seorang yang cekap main permainan ni, memang anda akan kagum dengan koordinasi mata dan tangan dia. Susah! Lagi susah daripada main 'Fruit Ninja.'

5. Permainan congkak

kanaj kanak congkak

Satu lagi permainan yang penulis tak pandai main. Congkak ni pun majoritinya diminati kanak-kanak perempuan. Penulis marah betul bila guli penulis diambil kakak untuk dia main congkak. 'King' kot. Ada ke dia buat main congkak je?

Di antara semua permainan, congkaklah yang memerlukan peralatan yang agak mahal tetapi bagi yang tak mampu dulu - kami korek lubang kat tanah untuk main. Agak kotor lah tapi masa kecil ni bukan fikir apa pun.

Siapa cekap main congkak, otak dia mesti ligat buat kira-kira kerana congkak ni melatih kemahiran aritmetik seseorang dengan sangat berkesan.

6. Bermain layang-layang

bermain layang layang

Era sekarang, jarang penulis nampak kanak-kanak main layang-layang walaupun layang-layang ada dijual di kedai RM2 dengan harga RM2.10.

Adakah kanak-kanak sekarang tidak lagi mampu sabar untuk menjalani proses menaikkan layang-layang? Adakah mereka tidak lagi mampu nampak tujuan main layang-layang?

"Itu saja? Dia terbang kemudian nak buat apa lagi?" Agaknya itulah yang bermain difikiran kanak-kanak sekiranya mereka diberikan pilihan telefon atau layang-layang.

Main layang-layang ini memang melatih kesabaran seseorang. Daripada mula kita buat layang-layang sendiri, cuba menerbangkannya sebelum berjaya selepas beberapa percubaan. Dah naik tinggi, tali putus dan layang-layang kita tadi pun sangkut di atas pokok atau rumah.

Kita pun balik dengan wajah sedih buat lagi satu untuk keesokannya. Perasaan tenang dapat melihat layang-layang buatan kita sendiri berada berpuluh kaki atas udara dengan stabil, sukar untuk digambarkan nikmatnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)