Oleh pada 27 Sep 2021 kategori

Anda mungkin pernah mendengar kes pembunuhan di mana penjenayah adalah di kalangan ahli keluarga atau rakan terdekat mangsa. Biasanya, ahli keluarga dan rakan terdekat adalah orang terawal yang akan disoal siasat.

Jika pembunuh itu daripada kalangan orang terdekat, mereka akan sedaya upaya untuk membuktikan dirinya tidak bersalah. Malah, ada pembunuh yang sanggup menghadiri majlis pengebumian mangsanya sendiri dan bersedih bersama ahli keluarga yang lain.

Berikut adalah kisah penjenayah yang menghadiri majlis pengebumian mangsanya.

1. Pembunuh veteran perang

ken hanford

Pada September 2015, Jonathan Cooper dan Adam Williamson telah memecah masuk ke dalam rumah seorang veteran perang bernama Ken Hanford. Sebelum melakukan jenayah itu, Williamson menipu Cooper bahawa Hanford adalah seorang pedofilia.

Cooper sendiri yang pernah menjadi mangsa pedofilia sewaktu kecil dan sedang khayal dengan syabu ketika itu telah bertindak kejam dengan menikam Hanford sebanyak lebih 12 kali. Hanford meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Tidak cukup dengan penipuan dan jenayahnya, Williamson turut menghadiri majlis pengebumian Hanford yang dikenali ramai di kejiranannya. Williamson malah mengucapkan takziah kepada salah seorang cucu Hanford.

Akhirnya, pihak berkuasa mempunyai cukup bukti untuk menangkap Williamson dan Cooper. Williamson dijatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun manakala Cooper pula selama 24 tahun.

2. Pembawa keranda guru

scullin dan melinda

Scullin dan Melinda

Melinda Pleskovic adalah seorang guru di Sekolah Menengah Strongsville, Ohio. Kematian guru yang disayangi ramai itu menjadi kejutan kepada ramai orang yang mengenalinya.

Mayat Melinda dijumpai oleh suaminya, Bruce Pleskovic, yang baru pulang ke rumah bersama bakal menantunya iaitu Jeffrey W. Scullin Jr. Guru itu meninggal dunia akibat ditembak sebanyak tiga kali dan ditikam lebih daripada 30 kali.

Ketika pengebumian Melinda, bakal menantunya Scullin bertindak menjadi salah seorang pembawa keranda. Siasatan polis kemudian mendapati bahawa Scullin adalah pembunuh Melinda.

Scullin tidak mendedahkan mengapa dia membunuh bakal ibu mertuanya beberapa hari sebelum majlis perkahwinannya. Scullin akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 33 tahun.  

3. Paderi pembunuh

Pasangan Michael dan Angela Hockensmith adalah pemilik bersama sebuah kedai pajak gadai di Kentucky. Pasangan itu telah ditemui mati bersama-sama seorang pelanggan mereka bernama Daniel Smith pada September 2013.

Majlis pengebumian pasangan Hockensmith turut dihadiri oleh Kenneth A. Keith yang merupakan seorang paderi dari sebuah gereja di Burnside, Kentucky. Rupa-rupanya, Kenneth adalah pembunuh mereka bertiga.

Kenneth yang merupakan bekas rakan niaga pasangan Hockensmith marah setelah dipinggirkan dalam satu urusniaga berkaitan bongkah emas. Pasangan Hockensmith memilih untuk menjualnya kepada Smith.

Menurut abang Michael, ia merupakan penghinaan terbesar apabila Kenneth menghadiri majlis pengebumian adiknya dan cuba menenangkan ahli keluarga mereka. Kenneth akhirnya dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

4. Pembunuh bersiri Taco Bell

henry louis wallace

Selama dua tahun pada era 90-an, bandar Charlotte, North Carolina menjadi tidak tenteram apabila 10 wanita Afrika-Amerika telah dirogol dan dicekik sehingga mati. Pembunuh bersiri yang melakukan jenayah itu ialah Henry Louis Wallace.

Dia diberi gelaran Pembunuh Bersiri Taco Bell kerana mengenali kebanyakan mangsanya di salah sebuah cawangan makanan segera itu. Wallace bukan sahaja pandai menutup jejaknya tetapi turut menghadiri majlis pengebumian mangsa-mangsa yang dikenalinya.

Ketika teman wanitanya bernama Carolina Love hilang, Wallace bersama rakan-rakan Love pergi ke balai polis untuk membuat laporan sedangkan dia sendiri membunuh wanita itu.

Kegiatan Wallace akhirnya terbongkar apabila dia dirakam memakai subang yang sama ketika mengeluarkan wang daripada ATM menggunakan kad mangsa terbarunya.

Menurut pihak polis, Wallace merupakan pembunuh bersiri Afrika-Amerika yang pertama dan dia adalah satu-satunya pembunuh bersiri yang mengenali semua mangsanya. Wallace akhirnya dijatuhkan hukuman mati.

5. Pembunuh rakan karib

karen dan missy avila

Karen (kiri) dan Missy Avila

Pada 1985, seorang gadis bernama Michelle "Missy" Avila yang berusia 17 tahun telah ditemui mati. Rakan karibnya sejak kecil, Karen Severson menghadiri majlis pengebumian Missy untuk menenangkan ibu Missy.

Bagi mengelak daripada disyaki, Karen malah meminta untuk berpindah ke rumah Irene. Selama tiga bulan tinggal di situ, Karen dan Irene sering menghabiskan masa berbual dan berkongsi ingatan mengenai mendiang Missy.  

Tiga tahun kemudian, Irene Avila dikejutkan dengan penangkapan Karen Severson dan Laura Doyle atas pembunuhan Missy Avila. Jenayah mereka dilaporkan oleh seorang lagi rakan yang mengetahui rancangan itu.

Sebelum dibunuh, hubungan Missy dan Karen semakin renggang apabila Karen mengandung dan terpaksa berhenti sekolah. Missy menjadi semakin jauh apabila mempunyai teman lelaki baru.

Karen telah berpakat dengan Laura Doyle yang merupakan bekas kekasih teman lelaki Missy. Pada mulanya, mereka hanya ingin membuli Missy tetapi keadaan menjadi tidak terkawal sehingga menyebabkan kematian gadis itu. Karen dan Laura dihukum dipenjara lebih daripada 20 tahun.

6. Pembunuh majikan

kim jones dan randolph sanders

Kim Jones (kiri) dan Randolph Sanders

Pada Januari 2015, seorang wanita bernama Kim Jones telah ditembak di belakang kepalanya ketika sedang menunggu bas. Jones adalah pengasas dan pengurus kepada NGO bernama Turning Points for Children.

Sehari sebelum dibunuh, Jones telah berhadapan dengan seorang pekerjanya, Randolph Sanders, yang disyaki menyeleweng wang sebanyak USD 42,000.

Takut dipecat dan reputasinya rosak, Sanders telah menembak Jones dan menyembunyikan mayat wanita itu. Selepas pembunuhan itu, Sanders berpura-pura menelefon Jones dan meninggalkan pesanan ringkas seolah-olah risau dengan kehilangan majikannya.

Sanders yang juga ditemuramah wartawan stesen TV menzahirkan rasa terkejut dengan kematian majikannya. Dia turut menghadiri majlis pengebumian dan menenangkan anak Jones.

Dua minggu kemudian, Sanders menyerah diri kepada pihak polis kerana tidak tahan menanggung rasa bersalah. Dia didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.




Hakcipta iluminasi.com (2017)