Oleh pada 05 Oct 2021 kategori

Dalam kebanyakan filem, penonton bukan sahaja terkesan dengan watak hero dan heroine sahaja tetapi juga pada watak jahat. Watak jahat yang dibawakan dengan baik akan meninggalkan kesan benci dan marah pada penonton.

Namun, bagaimana pengarah filem mendapat idea untuk mencipta watak-watak yang begitu jahat, dibenci dan ditakuti ini. Sebenarnya, ada sebahagian watak jahat yang diinspirasikan daripada watak sebenar di dunia nyata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima watak jahat yang diinspirasikan daripada watak sebenar.

1. Kevin Wendell Crumb (Split)

Diilhamkan daripada : Billy Milligan

kevin wendell crumb dan billy milligan

Watak Kevin Wendell Crumb (kiri) dan Billy Milligan

Dalan filem Split, pelakon James McAvoy memainkan watak Kevin Wendell Crumb iaitu seorang lelaki yang mengalami Dissociative Identity Disorder (DID) atau kecelaruan identiti.

Kevin Wendell Crumb mempunyai 24 personaliti berbeza di dalam tubuhnya dan setiap daripadanya mempunyai watak yang berbeza. Dalam filem itu, Crumb telah menculik tiga remaja wanita dan mengurung mereka di suatu tempat.

Sebenarnya, ramai orang yang mengalami masalah DID ini dalam kehidupan nyata. Namun, seorang lelaki bernama Billy Milligan telah memberi ilham kepada pengarah untuk menghasilkan watak Crumb.

Sama seperti Crumb, Milligan juga mempunyai 24 personaliti berbeza di mana 10 daripadanya baik dan 13 lagi jahat. Milligan pernah ditahan pada tahun 1975 kerana kesalahan merogol dan merompak.

Dia sekali lagi ditahan pada 1977 kerana merogol tiga orang wanita. Perbicaraannya menimbulkan kontroversi dan Milligan tidak dihantar ke penjara sebaliknya ke pusat mental. Milligan kemudian dibebaskan pada tahun 1988.

2. General Ludendorff (Wonder Woman) 

Diilhamkan daripada : Erich Ludendorff

general ludendorff

Pengarah filem Wonder Woman menjadikan Perang Dunia Pertama sebagai latar belakang filem itu. Watak musuh ketat kepada Wonder Woman iaitu General Lundendorff dimainkan oleh pelakon Danny Huston.

General Lundendorff adalah seorang yang kejam, tidak berhati perut dan sentiasa obses untuk menang. Dia mahu memenangi perang itu untuk Jerman dan sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menggunakan senjata kimia.

Sebenarnya, watak itu diinspirasikan oleh watak sebenar iaitu seorang jeneral Jerman ketika Perang Dunia Pertama bernama Erich Ludendorff. Lundendorff merupakan panglima perang Jerman dari 1916 hingga 1918.

Dalam dunia nyata, Lundendorff memenangi banyak pertempuran dan obses untuk menang. Pada tahun 1918, dia digantikan dengan panglima lain setelah gagal dalam satu misi. Dalam filem pula, Ludendorff mati dibunuh oleh Wonder Woman.

3. Leatherface (The Texas Chainsaw Massacre) 

leatherface dan ed gein

Leatherface (kiri) dan Ed Gein

Diilhamkan daripada : Ed Gein

Filem The Texas Chainsaw Massacre yang diterbitkan pada tahun 1974 ini telah dilabelkan sebagai salah salah satu filem horror terbaik. Ia mengisahkan tentang seorang pembunuh bernama Leatherface yang membunuh mangsanya menggunakan tukul, pisau dan gegaji besi.

Leatherface memakai topeng yang diperbuat daripada kulit manusia dan sering menjadikan remaja sebagai mangsanya. Leatherface dan keluarganya merupakan kanibal yang menjadikan mangsa sebagai makanan.

Sebenarnya, watak Leatherface ini diinspirasikan daripada pembunuh bersiri bernama Ed Gein. Pembunuh itu berleluasa melakukan jenayahnya antara 1954-1957. Ed Gein akan memakai sut yang diperbuat daripada kulit mangsa wanitanya.

Ketika dibicarakan, Ed Gein mengaku tidak bersalah kerana tidak waras. Dia sebaliknya ditahan di hospital mental untuk penjenayah. Sedekad kemudian, dia mengaku bersalah ketika dibicarakan sekali lagi. Ed Gein akhirnya meninggal dunia pada 1984. 

4. Hannibal Lecter (The Silence of the Lambs) 

hannibal lecter alfredo trevino

Dr. Hannibal Lecter (kiri) dan Alfredo Trevino

Diilhamkan daripada : Alfredo Trevino

Watak Dr. Hannibal Lecter kali pertama diperkenalkan di layar perak ialah pada tahun 1991 dalam filem The Silence of the Lambs. Watak itu adalah adaptasi daripada novel yang ditulis oleh Thomas Harris pada tahun 1998.

Dalam filem itu, Dr. Hannibal Lecter adalah seorang pembunuh bersiri. Dia merupakan seorang psikopat yang membunuh dan memakan mangsanya. Dia menggelarkan dirinya sebagai "Hannibal the Cannibal".

Penulis Thomas Harris mendedahkan bahawa watak Hannibal Lecter diinspirasikan daripada pembunuh bersiri sebenar iaitu seorang doktor perubatan bernama Alfredo Balli Trevino yang turut dikenali sebagai Dr. Salazar.

Harris pernah menemuramah Trevino di penjara. Bahkan, doktor itu turut merawat banduan lain ketika sedang menjalani hukuman. Trevino didapati bersalah kerana membunuh teman wanitanya dan beberapa orang lagi sekitar lewat 1950-an hingga awal 60-an.

Setelah dibebaskan pada tahun 1980, Trevino menyambung semula kerjayanya sebagai seorang doktor sebelum meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 81 tahun.

5. Pennywise the Clown (IT)

pennywise the clown john wayne gacy

Pennywise the Clown (kiri) dan John Wayne Gacy

Diilhamkan daripada : John Wayne Gacy

Filem seram IT adalah adaptasi daripada novel yang ditulis oleh Stephen King pada tahun 1986 yang juga berjudul "IT". Novel ini dinobatkan sebagai novel tulisannya paling seram.

Dalam filem IT, watak yang bernama Pennywise the Clown ini akan muncul setiap 27 tahun dan menghantui bandar Derry di Maine, AS. Modus operandi Pennywise the Clown ini adalah dengan mengumpan kanak-kanak untuk bermain atau membantunya sebelum membunuh mereka.

Sebenarnya, watak Pennywise the Clown ini diinspirasikan oleh watak seorang pembunuh bersiri sebenar bernama John Wayne Gacy. Lelaki ini bekerja sampingan sebagai seorang badut dan banyak membuat persembahan di hospital, tapak pesta dan majlis persendirian.

Pada tahun 1970-an, John Wayne Gacy telah menggemparkan seluruh negara apabila dia didapati membunuh lebih daripada 33 orang kanak-kanak dan remaja lelaki. Dia sering mengumpan kanak-kanak ke rumahnya untuk menunjukkan silap mata sebelum membunuh mereka. Dia diberi gelaran sebagai "Killer Clown".




Hakcipta iluminasi.com (2017)