Oleh pada 19 Apr 2017 kategori

Kalau tengah sedap layan tidur, lepas tu tiba-tiba dengar bunyi nyaring benda terbang tepi telinga, kulit badan pula tiba-tiba gatal sana, gatal sini, mesti rasa nak marah kan? Kacau daun betul. Bila balik kampung lagi lah, kalau tak pasang ubat nyamuk, tak sah.

jangan biar diri anda dikerumuni nyamuk

Lagipun sekarang ini makin macam-macam penyakit yang dibawa nyamuk. Demam denggi, demam zika, malaria, Japanese encephalitis, macam-macamlah! Jadi, sebelum anda atau ahli keluarga dijangkiti penyakit-penyakit yang boleh membawa maut ini, amalkan 5 tips berikut untuk mengelakkan diri daripada gigitan nyamuk:

#1 Gunakan kelambu

Pada kurun ke-18, kain kelambu digunakan oleh ratu Mesir terkemuka, Cleopatra untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Ketika itu, hanya keturunan diraja dan saudagar kaya sahaja mampu untuk memasang kelambu di katil.

Masa kita kecil-kecil pun atok dan nenek selalu menggunakan kelambu bila kita balik kampung kan? Rasa macam renyah nak pasang, tapi ini adalah salah satu cara paling efektif untuk mengelakkan diri daripada digigit nyamuk. Lagipun sekarang dah banyak jenis kelambu ada dijual. Tak susah sangat dah.

Sumber: Being The Doctor

kelambu moden yang dijual sangat mudah dipasang

#2 Semburan nyamuk

Nyamuk paling aktif dan berleluasa pada waktu subuh dan senja. Agak-agak dah dekat nak waktu Maghrib tu, anda semburlah seluruh kawasan rumah menggunakan apa-apa semburan aerosol nyamuk yang ada di rumah. Sembur menghala ke siling, fokus pada tempat yang gelap seperti bawah tangga ataupun bahagian belakang sofa yang berwarna hitam kemudian tutup semua pintu dan tingkap.

sembur ridsect shieldtox baygon dalam rumah

Jangan sembur ke tempat-tempat yang selalu dipegang seperti meja atau kabinet dapur dan pastikan semua makanan ditutup sebelum menyembur ya.

Sumber : Mosquito Max

#3 Gunakan ubat nyamuk

Sebelum anda masuk tidur, bolehlah memasang ubat nyamuk. Pelbagai jenis ubat nyamuk ada dijual di pasaran. Kalau anda rasa ubat nyamuk jenis lingkaran itu berbahaya, bolehlah beli yang jenis elektrik.

Bagi yang mempunyai anak kecil, disarankan guna yang elektrik ya. Pasang di tempat tinggi sedikit. 

macam macam jenis ubat halau nyamuk ada dijual

#4 Losen anti nyamuk

Kalau anda rajin dan ada bajet, bolehlah membeli losen penghalau nyamuk yang mengandungi DEET (diethyltoluamide). Walaupun losen ini sangat berkesan, namun masih ramai pengguna berasa khuatir dan ragu-ragu dengan keselamatannya kerana mengandungi bahan kimia berbahaya.

Sebagai pengguna bijak, anda boleh semak label terlebih dahulu sebelum membeli. Sekiranya kandungan DEET melebihi 30%, elakkan membeli kerana ini boleh memudaratkan.

sebelah tangan disapu losen anti nyamuk sebelah lagi dibiarkan kosong

Selain itu, menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2015, saintis mendapati bahan lebih organik seperti picadirin dan lemon eucalyptus lebih efektif daripada losen DEET. Cari produk yang mengandungi 20% picadirin ataupun 30% minyak lemon eucalyptus.

Sumber : TIME

#5 Pastikan kawasan sekeliling rumah tiada air bertakung

Sedikit sahaja takungan air pun sudah boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk secara besar-besaran. Tahukah anda, seekor nyamuk Aedes boleh menghasilkan lebih kurang 100 telur pada satu-satu masa? Jadi, cara paling berkesan untuk membasmi pembiakan nyamuk adalah dengan memastikan tiada tempat air bertakung di rumah anda.

bersihkan kawasan persekitaran rumah

Periksa kawasan luar rumah seperti pasu, sinki dan longkang. Sekiranya nampak takungan air, bersihkan dengan kadar segera. Buang semua sampah-sarap seperti tin dan plastik yang boleh menadah air hujan tanpa anda sedari.

Sekiranya anda menggunakan kolah atau besen tadahan air, pastikan ia bertutup atau boleh juga dimasukkan ubat bagi mengelakkan nyamuk membiak.

#6 Petua orang terdahulu (extra)

Gunakan Limau nipis dan bunga cengkih seperti didalam gambar dibawah. Petua ini bergantung kepada jenis nyamuk juga. Diceritakan bahawa nyamuk hutan tidak akan mengendahkan petua ini mungkin kerana mereka lebih "sado" berbanding nyamuk bandar yang berkeliaran di rumah-rumah orang.

17626305 2159163494185343 36005625040612314 n

Rujukan : National Environment Agency, Singapore

Nyamuk boleh membunuh. Marilah bersama-sama lindungi keluarga daripada nyamuk dan wabak penyakit yang dibawanya.


tags : , , , , , , , , , ,











Hakcipta iluminasi.com (2017)