Politik kerajaan dan masyarakat mempunyai kitaran tersendiri.

Sesebuah tamadun bermula sebagai sebuah penempatan kecil yang mampu berkembang sehingga menjadi sebuah empayar gergasi. Bukti sejarah juga telah menunjukkan banyak tamadun dan empayar boleh berakhir mengakibatkan kepupusan empayar itu, atas seribu satu punca.

Bagi setiap kerajaan atau empayar, pembukaan pusat pemerintahan sebagai titik pentadbiran, ekonomi dan kemasyarakatan merupakan satu amalan biasa. Ada pusat kerajaan yang kekal gah beribu tahun lamanya, ada juga penempatan yang dulunya dijulang sebagai pusat pentadbiran akhirnya terbiar ditinggalkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima lokasi pusat kerajaan lama yang masih wujud dan berdiri, tetapi jauh daif berbanding era kegemilangannya.

1. Ayutthaya

ayutthaya tapak kerajaan lama thailand

Satu ketika dahulu, kerajaan Ayutthaya merupakan antara kerajaan paling kuat di rantau kita serta mampu berdiri setanding dengan kerajaan di tanah besar China dan India.

Muncul pada tahun 1351, kerajaan Ayutthaya bermula sebagai sebuah kerajaan tempatan kecil berstatus mandala di Lembah Chao Praya.

Pengaruh kerajaan itu pesat berkembang, sehinggalah konflik mula tercetus di antara kerajaan Ayutthaya dengan kerajaan Toungoo yang berpusat di Burma (Myanmar sekarang), mengakibatkan kejatuhan pertama Ayutthaya.

Bagaimanapun Raja Naresuan, raja ke 18 dalam dinasti Ayutthaya berjaya memulihkan kuasanya serta merampas kembali jajahannya.

Naresuan juga mampu menyatukan pemerintahannya dengan Empayar Sukhotai, menjadi asas kepada pembentukan negara Thailand kini.

Ayutthaya berkembang lebih gah sebagai sebuah bandar pelabuhan penting menjadi titik masuk ekonomi serantau, sebelum Burma kembali menceroboh pada abad ke 18 - memaksa Ayutthaya ditinggalkan.

Kini bandar yang satu ketika dulu gah di kalangan masyarakat antarabangsa tetap dipelihara ditingalkan dalam keadaan asal, tanpa ada banyak pihak gatal tangan mahu membangunkan tanah-tanah kosong di sana.

2. Nara

heijo palace nara jepun

Sebelum Tokyo, Kyoto adalah pusat pentadbiran Jepun. Sebelum Kyoto? Nara adalah lokasinya.

Nara terpilih sebagai pusat kerajaan semasa pemerintahan Maharani Genmei, pemerintah ke 43 dalam sistem monarki Jepun, dinamakan Heiji-Kyo.

Kini digelarkan Nara, Heijo-Kyo berfungsi sebagai pusat pentadbiran selama hampir satu abad bermula pada tahun 710 dan berakhir pada tahun 784, selepas pemerintah Jepun memindahkan kedudukan mereka ke Kyoto.

Dalam era kemuncaknya, Nara merupakan sebuah bandar terancang besar dibangunkan berdasarkan kepada pelan pembangunan bandar Chang'an di China.

Menggunakan rekaan grid, setiap satu grid Heijo-Kyo dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat kedudukan bandar itu sebagai pusat ekonomi serantau.

Selepas perpindahan kerajaan, Heijo-Kyo mula diabaikan sehinggakan banyak kerosakan berlaku kepada struktur binaan-binaan yang pernah didirikan. 

Kini istana Heiji-Kyo telah dibina semula namun bandar hebat itu tinggal kenang-kenangan.

3. Karakorum

karakuram bandar mongol lama

Juga dikenali dengan nama Qaraqorum, pusat pemerintahan empayar Mongol yang satu ketika dulu pernah bergelar empayar paling digeruni dunia kini dikenali sebagai Harhorin.

Pembukaan bandar ini merupakan satu kisah sejarah yang unik.

Kehidupan masyarakat Mongol ketika era tersebut yang mengamalkan cara nomad, membuatkan pemimpin mereka ketiadaan satu pusat pentadbiran tetap yang boleh menyatukan semua urusan mereka.

Ekoran sebab serupa, struktur kepimpinan Mongol juga memerintah secara berasingan sehinggakan mereka tiada kaedah tetap dalam menguruskan dana pentadbiran yang diperlukan serta semua harta rampasan perang yang diperolehi.

Untuk menyelesaikan masalah ini, pemimpin kerajaan Mongol memilih satu tapak perkhemahan yang sering digunakan Mongol semasa era Gengis Khan sebagai pusat kerajaan mereka.

Terletak dalam Lembah Orkhon, lokasi itu mempunyai sumber air yang banyak tetapi kurang sesuai untuk dijalankan kawasan pertanian. Namun lokasinya cukup strategik dlam aspek ekonomi khasnya melibatkan pengaruh Jalan Sutera.

Di bawah pemerintahan Ogedei Khan, pembinaan bandar yang dikelilingi dinding tinggi yang dinamakan Karakorum, dimulakan pada tahun 1235 menggunakan khidmat tukang dari Parsi dan China.

Karakorum kekal sebagai pusat pentadbiran dan ekonomi orang Mongol yang terkenal, menjadi persinggahan pedagang dari serata tempat sehinggalah kerajaan Mongol berpindah ke Xanadu pada tahun 1263.

4. Rabdentse

rabdentse bandar kerajaan sikkim

Kerajaan Sikkim merupakan kerajaan berpengaruh di sekitar banjaran Himalaya sekitar abad ke 17 dan 18, merangkumi kawasan yang kini terletak di Nepal, Tibet dan Myanmar.

Ditadbir DInasti Chogyal secara mutlak dari pusat pentadbiran mereka di Rebdentse, kerajaan Sikkim bertahan untuk tempoh lebih dua abad sehinggalah mereka dicerobohi orang-orang kerajaan Gorkha.

Gorkha mengambil alih kawasan tersebut selama lebih 40 tahun memulakan migrasi orang dari sekitar Nepal ke Sikkim, sehingga menjejaskan pecahan peduduk di sana.

Lebih teruk, bagi menghapuskan terus pengaruh Dinasti Chogyal, bandar Rabdentse dihapuskan.

Kerajaan Sikkim mula menggunakan pengaruh kuasa asing untuk merampas kembali kawasan taklukan mereka, mendapat bantuan British melalui Syarikat India Timur Inggeris.

Atas bantuan itu, Sikkim kembali berkuasa serta dinobatkan sebagai salah sebuah kerajaan yang dilindungi kuasa British.

Sikkim kekal sebagai sebuah kerajaan bebas yang duduk di bawah naungan India selepas British menyerahkan kuasa kepada India, selepas kemerdekaan negara itu.

Bagaimanapun ekoran insiden perkauman dan agama di Sikkim melibatkan kaum kerabat Chogyal terhadap orang Hindu,  protes yang tercetus mula menggugat kestabilan kuasa autonomi yang ada.

Satu referendum dijalankan bagi menentukan hala tuju negeri itu, dengan majoriti penduduk bersetuju untuk Sikkim masuk menyertai India.

Dinasti Chogyal dihapuskan pada 16 Mei 1975 dan Sikkim diterima sebagai salah sebagai negeri di bawah India.

Rabdentse kini menjadi antara lokasi sejarah lama masyarakat mereka dan tapak istana kerajaan Sikkim masih berjaya dipelihara, memperingatkan orang Sikkim kegemilangan nenek moyang mereka.

5. Yaśodharapura

angkor wat khmer bandar angkor

Sebelum Angkor Wat naik menjadi salah satu lokasi pelancongan terkenal dunia, di tapak yang sama pernah berdiri pusat pentadbiran kerajaan Khmer sejak abad ke 9.

Kerajaan Khmer pada awalnya mentadbir di beberapa lokasi berbeza sebelum memutuskan bahawa lokasi yang kini kita kenali sebagai Angkor di Kemboja, adalah lokasi terbaik mereka berpusat.

Diasaskan pada tahun 802 oleh Raja Jayavarman II, kehebatan Khmer sebagai kuasa besar berkembang meliputi (kini) Thailand, Kemboja, Vietnam dan Laos sehinggakan pada zaman kemuncaknya, Khmer mempunyai keluasan taklukan lebih besar berbanding Empayar Byzantine Rom.

Binaan-binaan hebat yang masih tinggal di Angkor Wat menjadi bukti tamadun mereka cukup menakjubkan.

Kajian NASA menggunakan imbasan satelit membuktikan sekitar abad ke 13 sehingga abad ke 15, Angkor atau nama sebenarnya Yaśodharapura, merupakan bandar pra-industri terbesar di dunia.

Seperti banyak pusat kerajaan lain dalam senarai ini, Yaśodharapura jatuh kepada serangan luar, yang dilakukan kerajaan Ayutthaya diketuai Raja U Thong pada tahun 1352.

Bandar itu berjaya dirampas kembali oleh orang-orang Khmer hampir dua dekad kemudian.

Hanya selepas serangan lebih padu dilakukan Raja Borommarachathirat II, raja kerajaan Ayuthhaya pada abad ke 15 - akhirnya Yaśodharapura atau Angkor dimusnahkan dan ditinggalkan.

Kini kerajaan Kemboja harus dipuji berjaya memulihara saki baki apa yang masih tinggal di sana, untuk dijadikan kenangan sejarah bahawa orang Khmer pernah bergelar masyarakat paling maju di dunia dari segi perbandaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)