Oleh pada 15 Jun 2022 kategori

Selepas mencipta nama sebagai jurulatih legenda di Perancis, Jepun dan England, Arsene Wenger bekas pengurus kelab Arsenal menukar haluan karier - kini bertugas sebagai Pengarah Pembangunan Bola Sepak Antarabangsa bersama badan pengendali FIFA.

Lantikan beliau mendapat sambutan positif di kalangan peminat sukan, disebabkan reputasi beliau sebagai seorang 'Profesor' yang mempunyai sentuhan magis memoden dan mengglobalisasikan sukan; diharap dapat menaikkan semula status kejohanan bola sepak antarabangsa ke tahap lebih tinggi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tugas Wenger sukar. Kini kejohanan bertaraf kelab dan negara Eropah seringkali dilihat kemuncak utama sukan bola sepak antarabangsa, berbeza dengan kejohanan Piala Dunia yang sering disifatkan pertandingan lebih rendah kualiti permainannya.

Bagi memodenkan sukan ini dalam dunia yang semakin global, berikut adalah lima idea cuba diketengahkan beliau, yang diharap akan mengekalkan bola sepak kekal sebagai sukan paling popular nombor 1 dunia. 

1. Perubahan kecil pada peraturan sepakan percuma dan sudut

perubahan peraturan sepakan sudut fifa corner kick

Kita mulakan dengan dua perubahan kecil yang sedang diusulkan Wenger, bagi memberikan kelebihan kepada corak permainan yang lebih bersifat menyerang. 

Cadangan pertama Wenger mahu memansuhkan peraturan di mana sepakan percuma harus melibatkan dua pemain, di mana ketika ini pemain yang melakukan hantaran sepakan percuma hanya dibenarkan kembali menyentuh bola, selepas bola disentuh pemain sepasukan atau lawan.

Usul Wenger mahu membenarkan pemain terus mengambil sepakan percuma sendiri, sama ada melakukan hantaran ke rakan sepasukan atau terus melakukan gelecekan solo, selepas permainan dihentikan. 

Kedua, Wenger mahu membetulkan satu peraturan basi yang masih digunapakai dalam sukan bola sepak.

Setiap kali sepakan sudut diambil, bola yang melencong ke luar daripada garisan padang akan dianggap keluar dan permainan dihentikan, dengan bola diberikan kepada pasukan lawan.

Bagi Wenger, peraturan itu tidak mengambil kira kemahiran sesetengah pemain yang mempunyai kemahiran melakukan sepakan sudut jenis lencong, di mana bola akan melayang keluar sebelum kembali masuk ke dalam kawasan permainan.

Kemahiran itu pada Wenger sepatutnya dianggap satu aset bernilai bagi pasukan yang memiliki pemain sedemikian.

Cadangan Wenger ini mirip seperti peraturan sukan bola keranjang, di mana bola yang sudah keluar masih dianggap aktif dalam permainan walaupun sudah melepasi garisan - asalkan belum mengenai gelanggang atau tanah.

2. Lontaran ke dalam diganti dengan sepakan ke dalam

sepakan ke dalam ganti lontaran fifa wenger throw in

Satu kelemahan utama dilihat Wenger adalah bagaimana lontaran ke dalam yang diberi selepas bola keluar daripada padang, mampu mengakibatkan risiko besar kepada pasukan yang melakukan balingan.

Menurut Wenger secara statistiknya 8 daripada 10 balingan yang dilakukan berakhir dengan bola dapat ke pasukan lawan, yang akhirnya boleh menggigit kembali pasukan yang melakukan lontaran. Tidak ada faedah kepada pasukan yang melontar untuk mengambil risiko dan lontaran hanya mengganggu ritma perlawanan daripada berlangsung lancar.

Pandangan Wenger, melatih pemain untuk melakukan hantaran menggunakan tangan bertentangan dengan kemahiran asas permainan sukan bola sepak itu sendiri. 

Bagi memperbaiki situasi ini Wenger mencadangkan agar pasukan yang sepatutnya memenangi bola selepas bola keluar, dibenar melakukan sepakan dari luar garisan di lokasi bola keluar - dikatakan lebih selamat berbanding lontaran masuk.

Dengan ini risiko bola berpindah tangan ke pasukan lawan yang mengubah kelebihan menjadi kelemahan dapat dihapuskan, seterusnya menghasilkan permainan taktikal yang lebih rancak dan mengutamakan pasukan yang mendapat bola.

3. Revisi semula peraturan ofsaid atas padang

peraturan ofsaid pindaan fifa arsene wenger

Peraturan ofsaid di atas padang kadang kala memang menyakitkan hati.

Jaringan gol yang cantik boleh dibatalkan hanya kerana ada bahagian tubuh pemain yang menjaringkan gol terlebih sikit daripada barisan pertahanan, ketika hantaran terakhir dibuat. 

Idea Arsene Wenger untuk memperbaiki peraturan ini mendapat reaksi banyak pihak.

Wenger yang sejak dulu terkenal sebagai seorang yang agak progresif dari segi taktikal permainan pasukannya, mencadangkan agar peraturan ofsaid bersifat lebih longgar kepada pemain yang menyerang.

Cadangan Wenger - garisan akhir ofsaid sepatutnya dikira daripada kedudukan bahagian tubuh penyerang yang digunakan bagi menjaringkan gol, tidak lagi mengambil kira mana-mana bahagian tubuh lain.

Kalau dia jaring gol pakai kaki kanan, kaki kanan itulah titik ukurannya yang perlu selari dengan pemain pertahanan terakhir - bukan lagi bahu, tangan, peha atau apa saja bahagian tubuh berbeza yang sudah terkedepan semasa cuba mengejar bola.

Seandainya kaki pemain yang menyepak gol tidak ofsaid semasa hantaran dibuat walaupun badannya sudah berada dalam kedudukan ofsaid, gol itu sepatutnya dikira.

Rombakan ini sedang diuji di sebuah liga tempatan di China bagi mengenalpasti keberkesanan dan masalah yang boleh timbul daripadanya.

4. Rombakan semula tarikh kejohanan liga di Eropah

kalendar jadual liga bola sepak selari satu dunia fifa idea wenger

Salah satu pengaruh utama yang mengubah perspektif Arsene Wenger terhadap jadual liga bola sepak tempatan, terbentuk ketika dia mengurus kelab bola sepak Grampus Eight di Jepun sekitar tahun 1995. 

Di Jepun, liga tempatan di jadualkan berlangsung dari bulan Mac dan tamat sekitar bulan November tahun sama, berlangsung selama 7 ke 8 bulan dalam satu tahun kalendar.

Objektif utama idea pertukaran kalendar ini agar liga berlangsung dan berakhir dalam tahun yang sama adalah bagi menyelarikan jadual kebanyakan liga antarabangsa.

Dengan penyelarian ini diramal akan memudahkan semua pengurusan liga di dunia mengaturkan kalendar, agar pemain yang terpilih ermain dengan pasukan kebangsaan dapat beraksi tanpa mengganggu jadualnya bersama kelab seperti yang sering berlaku di Eropah sekarang.

Pengurusan jadual juga lebih mudah di mana tidak wujud lagi situasi 'kelab A menang liga musim 2021/2022' di mana kedua-dua tahun berlangsungnya liga perlu disenaraikan. Dengan mengemaskan kalendar liga ke dalam tahun sama, kita boleh kata 'kelab A menang liga musim 2022' sahaja.

5. Piala Dunia setiap 2 tahun sekali

jadual baru piala dunia dwi tahunan fifa arsene wenger

Perubahan utama yang disebutkan Wenger sehingga mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pemain, pengurusan dan semua individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam sukan bola sepak, adalah apabila beliau menyuarakan cadangan untuk memansuhkan jadual Piala Dunia yang kini berlangsung setiap 4 tahun sekali kepada kejohanan dwi-tahunan.

Antara badan utama yang menyanggah cadangan ini adalah Persatuan Bola Sepak Eropah atau UEFA yang secara terbuka mengkritik cadangan itu. Badan pengendali Liga Perdana Inggeris juga sebulat suara menolak usul tersebut, disokong oleh kesemua 20 kelab terlibat.

Usul tersebut dirangka kerana mengambil kira kesukaran mengatur jadual perlawanan di Eropah, khasnya apabila melibatkan musim sejuk. Wenger dan FIFA mahu kejohanan Piala Dunia dijalankan setiap 2 tahun, di selang-selikan dengan kejohanan antara benua yang juga akan berlangsung setiap 2 tahun.

Ini bermakna dalam setiap tahun, semua pemain pasukan kebangsaan akan beraksi dalam satu pertandingan - sama ada dalam pertandingan serantau seperti Piala Asia, Piala Eropah, Piala CONCACAF atau Piala Afrika. Tahun berikutnya mereka beraksi pula dalam Piala Dunia.

Kitaran ini akan terus dikekalkan, berdasarkan cadangan yang diutarakan Wenger.

Hujah utama Wenger - dengan kekerapan perlawanan pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa, pemain yang bermain dalam liga-liga tempatan boleh bersaing dengan pemain dari luar secara lebih kerap, diharap akan meninggikan lagi kualiti pemain.

Potensi pemain untuk mempunyai peluang beraksi dengan pasukan kebangsaan masing-masing juga lebih tinggi, seterusnya membolehkan pengendali pasukan kebangsaan mempunyai banyak peluang untuk memberikan peluang kepada pemain yang sebelum ini jarang dipanggil - bermain dalam perlawanan yang ada makna.

Generasi pemain pasukan kebangsaan juga mempunyai peluang lebih besar untuk menyertai kejohanan besar dunia.

Berbeza dengan sistem sekarang di mana seorang pemain perlu menunggu 4 tahun, bila tiba musim Piala Dunia misalnya - ada pemain berstatus bintang yang dah dikategorikan berusia serta tidak lagi layak mewakili negaranya, hilang peluang untuk menebus kekecewaan yang dirasainya 4 tahun sebelumnya.

Jika cadangan ini berjaya dilaksana, banyak perlawanan persahabatan yang diatur bagi mengisi jadual perlawanan peringkat kebangsaan tidak lagi perlu dijalankan.

Tak adalah lagi rungutan peminat bola sepak terpaksa mengharungi 2 minggu tiada pertandingan liga -  kena menonton perlawanan-perlawanan persahabatan yang entah apa tujuannya. Main pun nak tak nak saja kerana ramai pemain takut tercedera. 

Rujukan

The Football of Tomorrow - FIFA




Hakcipta iluminasi.com (2017)