HIV dan AIDS merupakan singkatan yang kerap disebut serta sangat ditakuti di seluruh dunia, berikutan kesannya pada manusia.

Berita baik berkenaan kajian yang dijalankan telah berjaya merawat jangkitan HIV yang dilaporkan pada 4 Mac 2019, memberikan tanda-tanda positif bagi bidang perubatan dalam melawan penyakit tersebut - namun realitinya proses menemui penawar pada penyakit ini masih panjang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Statistik pesakit yang meninggal dunia kerana AIDS di seluruh dunia menurun, namun masalahnya pula jumlah mereka yang dijangkiti semakin meningkat. Ini selari dengan apa yang berlaku di negara kita juga namun sekiranya dilihat lebih fokus, bagaimanakah realiti sebenar masalah AIDS dan HIV di Malaysia?

Apa beza AIDS dengan HIV?

gay homoseksual malaysia

Amat mudah untuk kita mencampur adukkan kedua-dua terma popular ini. Harus diingatkan, kedua-duanya sebenarnya menggambarkan situasi yang berbeza.

HIV adalah virus yang menyebabkan penyakit AIDS, merupakan singkatan pada human immunodeficiency viruses. Hanya selepas seseorang itu dijangkiti virus tersebut, virus itu mampu menyebabkan penyakit 'acquired immunodeficiency syndrome' atau singkatannya AIDS berlaku.

Jangkitan HIV berlaku dalam 3 peringkat, dengan AIDS adalah peringkat ke 3 dan terakhir. Peringkat pertama, seseorang yang dijangkiti akan mengalami demam berpanjangan, ruam, rasa gatal-gatal, sakit otot dan beberapa simptom lain. Badan pesakit ketika ini akan melawan jangkitan dengan antibodi sendiri sehingga mampu membuatkan seseorang rasa dia sudah pulih dan sihat seperti biasa.

Peringkat kedua pula berlaku secara senyap, bila mana tubuh badan pesakit yang dijangkiti tetap mengandungi virus yang aktif, membiak dengan pantas. Ketika inilah virus-virus ini boleh berpindah melalui pertukaran cecair badan dua individu atau melalui jarum suntikan.

Peringkat ketiga pula adalah peringkat di mana semua sistem pertahanan badan sudah mula gagal berfungsi melawan serangan virus HIV, sehinggakan badan tidak lagi mampu menghasilkan antibodi untuk melawan penyakit-penyakit biasa seperti demam. Hanya selepas seseorang itu dikenalpasti mempunyai tanda atau simptom kerosakan sistem tubuh yang melampau disebabkan jangkitan virus HIV, barulah pesakit itu akan diisytiharkan menghidap AIDS.

Negeri mana paling ramai pengidap HIV dan pesakit AIDS?

hiv ujian darah

Oleh kerana perbezaan di antara HIV dan AIDS, setiap statstik berkenaan isu ini perlu mempunyai dua statistik berbeza - jumlah penghidap virus HIV dan jumlah pesakit AIDS.

Bagi tahun 2017, jumlah penghidap virus HIV di negara kita yang teramai berada di negeri Johor dengan 347 kes, Sarawak 226 kes, Pulau Pinang 193 kes, Kedah 187 kes dan yang kelima Perak dengan 154 kes.

Manakala untuk jumlah pesakit AIDS pula membawa kisah yang sedikit berbeza. Johor menempatkan jumlah pesakit AIDS paling tinggi dengan 178 kes, Sarawak 167 kes, Kelantan 144 kes, Sabah 116 kes dan Melaka 112 kes pesakit AIDS.

Jumlah kes HIV yang menakutkan

kondom lindungi hiv

Selain daripada statistik mengikut negeri, ada beberapa lagi informasi yang kami rasa wajar kami kongsikan. Bagi tempoh sejak tahun 1986 sehinggalah tahun 2016, sebanyak 111,916 kes jangkitan HIV berjaya direkodkan dengan 93,089 daripada masih lagi hidup. Pada tahun 1986, Malaysia hanya merekodkan empat orang saja penghidap HIV.

Bagi tahun 2017, sebanyak 3,347 kes individu penghidap HIV berjaya dikesan. Apabila diselidiki dengan lebih mendalam kajian yang telah dijalankan - didapati lebih separuh daripada jumlah individu dijangkiti HIV mengamalkan tabiat seks songsang mewakili 1,697 kes.

Jumlah ini membimbangkan berikutan berlakunya pola peningkatan yang konsisten melibatkan kelompok ini sejak tahun 2000, yang hanya merekodkan 63 kes jangkitan HIV melibatkan golongan homoseksual berbanding 1,553 dan 1,697 bagi 2017 dan 2017.

Kajian juga telah menunjukkan majoriti kes HIV dan AIDS kebiasaannya melibatkan golongan lelaki lebih ramai berbanding wanita, secara konsisten sejak tahun 2000. Jumlah kes golongan wanita juga kebiasaannya hanyalah pada kadar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kes direkodkan.

Secara purata, jumlah penghidap HIV dan AIDS di negara meningkat tahun ke tahun, dengan purata 17 kes baru direkodkan setiap hari pada tahun 2007. Takut kami nak kira purata yang terbaru sekarang.

Rujukan

Malaysia Youth Data Bank System




Hakcipta iluminasi.com (2017)