Oleh pada 17 Aug 2022 kategori

Terdapat banyak hidangan popular yang disajikan kepada setiap hari. Bagi pengguna yang peka, pasti mereka peduli tentang apa yang akan mereka makan.

Namun, bagi sebahagian besar antara kita masih ramai tidak menyedari ada sesetengah kategori makanan yang kita ambil, sebenarnya bukanlah sama dengan namanya.

Wujud beberapa jenis makanan popular yang kita sangkakan benar, tetapi realitinya hanyalah produk campuran tidak organik yang menyamar sebagai bahan asalnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima jenis makanan yang 'menipu' kita, tetapi kekal popular di kalangan ahli masyarakat kita.

1. Wasabi

wasabi palsu

Tahukah anda pokok wasabi sebenar atau lobak kuda wasabi merupakan antara tanaman yang cukup sukar dijaga tumbesarannya? Mempunyai nama saintifik wasabia japonica - tumbuhan ini memerlukan persekitaran yang sangat khusus untuk membesar.

Oleh sebab itulah harga wasabi sebenar sekitar RM1000-1500 untuk setiap satu kilogram! Jadi kenapa 'wasabi' mudah didapati di restoran-restoran sushi?

Apa yang anda makan itu sebenarnya bukanlah wasabi sebenar. Sebaliknya diperbuat daripada sejenis pokok lobak spesis lain, yang berbeza dari segi kualiti dan rasa.

'Wasabi' tiruan yang mudah didapati memerlukan tambahan perisa dan juga pewarna , untuk mendapatkan warna hijau yang dapat anda lihat. Satu lagi perbezaan, 'wasabi' palsu diperbuat daripada akar pokok lobak pedas sementara wasabi sebenar pula dibuat daripada batang pokok wasabi.

2. Keju

keju keping palsu

Keju merupakan antara produk yang paling sukar untuk dikenalpasti keasliannya, kerana 'keju-keju tiruan' sudah lama digelarkan sebagai keju - sehinggakan orang ramai sendiri tidak lagi ambil peduli apa keju, apa bukan keju.

Semua itu diburukkan trend sesetengah peniaga kita yang gemar 'mengkejukan' semua menu mereka - pisang goreng cheese, ayam goreng cheese, nasi goreng cheese...semuanya cheese belaka tanpa ada cheese sebenar pun.

Kepingan-kepingan 'keju' yang dijual di pasaraya? Itu bukan semestinya keju.

Dikenali dengan nama sebenar 'pasteurized process cheese spread' atau kepingan keju diproses berpasteur, kandungan keju kepingan sebenarnya hanya sekitar 50 ke 60% keju asli. Selebihnya? Ada pengeluar mengadunkan minyak kelapa sawit dan ada juga sekadar mengisi air, bergantung kepada kualiti.

Keju-keju parmesan yang ada dijual dalam pek? Sesetengahnya mengadungi habuk-habuk kayu yang diadunkan ke dalam ramuan untuk mengelakkannya beku. Kita ingat kita makan keju, tetapi realitinya kita termakan habuk kayu yang diproses.

3. Crab stick/filamen ketam

crab filamen ketam krab stick

Cukup digemari kanak-kanak serta dijual sebagai ramuan resipi yong tau foo, inti sushi, bihun atau mi kari dan bermacam lagi jamuan - filamen ketam memang popular.

Walaupun popular - rasanya bukan dapat diterima semua individu. Yang tidak menggemarinya, pasti merasakan lidah kita sedang memakan sesuatu yang aneh. Ini kerana lidah kita tidak mampu menipu, apa yang dinamakan sebagai filamen ketam bukanlah ketam sebaliknya hanyalah imitasi kepada daging ketam.

Dihasilkan oleh orang Jepun sebagai pilihan kepada penggemar ketam yang kurang berkemampuan, filamen ketam atau crab stick dihasilkan menggunakan bahan tepung berkanji yang diadunkan dengan daging ikan yang lumat, dinamakan di Jepun sebagai surimi.

Dua bahan utama ini diadunkan dengan air, putih telur, minyak sayuran, garam, MSG dan perasa (bergantung kepada jenis produk yang dikeluarkan). Warna merah yang menyelaputi lapisan luar filamen yang terhasil adalah pewarna tambahan - mungkin digunakan agar menampakkan filamen itu menyerupai warna seekor ketam.

Dalam sesetengah pasaran yang lebih ketat, wujud keperluan untuk membezakan nama produk ini dengan produk ketam sebenar. Disebabkan itulah di sesetengah negara, mereka menggelarkannya sebagai 'Krab sticks' dan bukan 'Crab sticks' agar pengguna tahu produk itu bukanlah ketam asli.

4. Minyak zaitun

minyak zaitun palsu

Minyak zaitun palsu merupakan sebuah industri besar, sehinggakan anggaran nisbah minyak zaitun asli berbanding yang palsu diletakkan pada kadar 30:70.

Palsunya pula boleh datang dalam pelbagai cara. Sama ada dengan menggunakan label yang tidak tepat dengan produk, menipu negara sumbernya atau paling malang, minyak zaitun yang dijual dibuat menggunakan sebatian minyak tumbuhan murah yang ditambah pewarna dan pewangi, menukarkan rupa dan bau minyak itu.

Lambakan produk-produk palsu ini berpunca daripada sindiket kongsi gelap dari Itali, dilabelkan sebagai 'agromafia' oleh media, memilih untuk memulakan urusan jual beli minyak zaitun yang lebih menguntungkan, berbanding menjual barangan terlarang seperti dadah.

Menggunakan bekalan minyak zaitun dari Afrika utara yang dicampurkan dengan minyak bunga matahari atau minyak kanola, botol-botol minyak ini kemudiannya akan dijual ke pasaran luar sebagai sebuah minyak zaitun keluaran dari Itali.

Cop 'Made in Italy' saja sudah cukup untuk membolehkan harga jualan lebih tinggi dikenakan, memaksimakan keuntungan sindiket yang terbabit.

5. Krim putar

whipped coffee krim putar

Bagi peminat kopi kisar, ramai pasti menggemari rasa krim putar yang selalu diletakkan di atas cawan kopi kisar anda. Bagaimanapun, pernah anda terfikir - apa yang anda makan/minum itu sebenarnya?

Menyebut 'cream' pasti kita membayangkan produk tenusu. Namun dalam pasaran industri makanan - ada dua jenis krim putar yang dijual kepada pengguna.

Satu jenis adalah yang lebih layak dikatakan asli adalah krim putar yang dihasilkan menggunakan sebatian krim pekat, sementara satu lagi jenis ada variasi kepada produk di bawah jenama Cool Whip - yang diadun menggunakan krim cair, susu, gula dan minyak sayuran.

Perbezaan utama yang paling jelas adalah kadar kandungan krimnya - di mana krim putar pekat atau heavy whipping cream biasanya mengadungi 36% minima jumlah krim di dalamnya. Berikutan kandungan susu atau krim yang lebih tinggi, biasanya produk berasaskan krim putar pekat mengandungi jangka hayat yang lebih rendah, lebih cepat basi dan kurang tahan.

Dalam pasaran, krim putar berasaskan variasi Cool Whip biasanya dijual sebagai whipped topping, tidak digelarkan sebagai whipped cream kerana kandungannya yang jauh berbeza.

Bagi sesetengah kedai kopi ternama, mereka mempunyai peralatan khas yang memerlukan pembuat kopi menyediakan sendiri krim putar yang akan digunakan, tanpa perlu bergantung kepada krim putar jenis aerosol yang dijual. Itulah sebabnya sesetengah kafe mempunyai harga lebih tinggi berbanding pesaingnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)