Muzik mempunyai satu keistimewaan yang unik - karya yang terhasil mampu melekat dalam kepala kita, walaupun ada kalanya lirik yang terkandung di dalamnya tak masuk akal. 

Begitulah nasib beberapa buah lagu popular yang terus kekal segar dalam ingatan kita, mampu diulang-ulang walaupun kita sedar atau tak sedar - teks yang terkandung di dalamnya serta dinyanyikan hanya ayat-ayat karut yang tak mempunyai makna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda tentang beberapa buah lagu popular yang mempunyai lirik ntahapaapa ini? Berikut adalah lima lagu popular yang digarap tanpa banyak usaha diberikan dalam penulisan liriknya.

1. Ob-La-Di, Ob-La-Da

the beatles obla di obla

Sebuah lagu yang cukup popular, 'Ob-La-Di, Ob-La-Da' menjadi salah satu slogan yang sinonim dengan suasana gembira.

Walau bagaimanapun ungkapan tersebut sebenarnya hanyalah satu istilah yang sering disebutkan salah seorang kenalan Paul McCartney dari Nigeria, pemuzik bernama Jimmy Anonmuogharan Scott Emuakpor. 

Jimmy gemar menyebut 'Ob-La-Di, Ob-La-Da, life goes on, bra!' setiap kali mendengar sesuatu berita yang menyedihkan dan ini menarik minat McCartney. Beliau meminjam rangkap itu untuk dijadikan lagu yang akhirnya dirakamkan kumpulan beliau The Beatles.

Nada dalam lagu tersebut sangat ceria, namun proses rakamannya sukar. Dua anggota utama Beatles, iaitu McCartney dan John Lennon bertelagah berkenaan lagu tersebut menyebabkan proses rakamannya menjadi sangat tegang.

Bagaimanapun karya yang terhasil kekal segar, menjadi salah satu lagu yang kerap dinyanyikan beramai-ramai ekoran iramanya yang mudah serta lirik yang tidak mempunyai banyak makna di sebaliknya.

2. Sweet Child O'Mine

guns n roses sweet child o mine

Lagu klasik ini menjadi lagu pertama di Youtube, berjaya mencapai jumlah tontonan 1 billion (!!) kali untuk sebuah lagu dari dekad 1980-an - membuktikan kesan mendalam yang dipahat lagu ini. 

Bagaimanapun bagi peminat setia kumpulan rock Guns n' Roses, mereka pasti tahu lagu ini dicipta secara tidak sengaja, ekoran melodi yang terhasil semasa pemain gitar utama kumpulan itu, Slash melakukan senaman jari. Penghasilan lagu itu juga dikatakan berlaku kurang daripada satu jam, untuk diciptakan melodinya.

Liriknya? Ungkapan ikonik 'where do we go? Where do we go now?' yang dinyanyikan berulang kali pada penghujung lagu tersebut pula sebenarnya dialog yang disebut kugiran itu - tatkala mereka tidak ada idea bagaimana untuk menamatkan lagu tersebut.

Selama ini pasti ramai yang menyebutnya seolah-olah ungkapan itu penuh makna.

Realitinya, Guns' n Roses tak tahu penamat yang sesuai untuk lagu tersebut, jadi mereka saling bertanya antara satu sama lain 'hah, sekarang macam mana?' kalau di bahasa Melayu-kan dialog mereka.

3. The Lion Sleeps Tonight

the tokens lion sleeps tonight

Lagu yang sangat popular ini bukan setakat mempunyai lirik yang karut, tetapi sebenarnya jauh tersasar berbanding versi asalnya. 

Versi asal lagu ini merupakan sebuah lagu berbahasa Zulu berjudul 'Mbube' atau singa dendangan penyanyi Afrika Selatan bernama Solomon Linda, sempena jeritan yang dibuat komuniti beliau ketika menghalau singa yang mengganggu ternakan.

Selepas versi sebenar lagu ini meletup dalam dekad 1930-an di negara asalnya, usaha untuk menterjemahkan lagu tersebut ke bahasa Inggeris dijalankan mengubah istilah 'uyimbube' ('wahai singa') yang disebut berulang kali kepada 'wimeoweh' yang langsung tidak ada makna.

Lagu itu terus dikorupkan lagi oleh pengkarya barat, semasa rakaman semula dijalankan kumpulan The Tokens yang memperkenalkan istilah baru (yang direka-reka) 'wimoweh'. The Tokens juga menggarap kembali lagu tersebut untuk menceritakan tentang 'singa yang akan tidur malam.' 

Jauh lari dari konteks pencipta asal lagu itu. 

Dengan judul baru 'The Lion Sleeps Tonight', lagu itu dilancarkan dan menjuarai takhta carta tahun 1961-1962. Versi yang popular sekarang dan sering dimainkan adalah versi ini, yang mengandungi lirik menyimpang jauh penuh ungkapan direka pengkarya kulit putih untuk meniru dialek asal masyarakat Afrika Selatan.

4. Blue (Da Ba Dee) 

eiffel 65 blue lagu lirik sampah

Keseluruhan lagu ini memang tak masuk akal kan liriknya? Kami sendiri kurang pasti bagaimana lagu ini boleh jadi sangat-sangat popular. Era penghujung 1990-an memang satu zaman yang agak aneh untuk industri muzik dunia dan 'Blue (Da Ba Dee)' merupakan antara lagu paling popular ketika itu.

Dinyanyikan oleh sebuah kumpulan bernama Eiffel 65, lagu ini menguasai carta di banyak negara walaupun dari segi aspek seninya, 'Blue' layak dikatakan tidak mempunyai nilai karya. 

Menceritakan berkenaan seorang lelaki yang hidup dalam dunia berwarna biru yang mana kesemua barangan di dunia tersebut turut berwarna biru, korus lagu itu memang sangat menyakitkan hati. 

Ungkapan 'I'm blue Da ba dee da ba di' yang diulang berkali-kali tanpa mempunyai sebarang makna walaupun sangat menjengkelkan, akhirnya akan menjadi sesuatu yang sukar dibuang kotak fikiran kita.

5. Fake Plastic Trees

radiohead fake plastic trees

Disanjung sebagai antara karya paling indah terhasil daripada kugiran legenda Radiohead, 'Fake Plastic' memang mampu memukau pendengarnya. 

Melodi yang ringkas serta suara yang bergema, menyanyikan baris-baris bait yang dikatakan mempunyai makna yang sangat tersirat - peminat kumpulan ini memang banyak menghabiskan masa cuba menelaah apakah makna di sebalik lagu klasik ini.

Dikatakan menceritakan berkenaan perihal duniawi serta sifat manusia yang semakin mementingkan perkara materialisme, sehingga sanggup melupakan sesuatu yang asli dan nyata dalam hidup; terdapat pelbagai teori dikeluarkan peminat mereka.

Walaupun demikian, Thom Yorke vokalis dan pencipta lagu tersebut secara ikhlas mengakui lirik yang terhasil mengiringi melodi lagu tersebut, adalah perkara-perkara spontan yang dia fikirkan tatkala memainkan setiap nada lagu itu.  




Hakcipta iluminasi.com (2017)