Oleh pada 07 Jun 2023 kategori

Pembangunan sesebuah negara biasanya dibuat dengan bermatlamatkan projek urbanisasi sesebuah kawasan. Kawasan yang dulunya kampung, dianggap naik taraf apabila sudah layak bergelar sebuah bandar, akibat menepati tahap populasi, fasiliti dan prasarana yang perlu ada dalam melayakkan sesebuah kawasan dianggap kawasan perbandaran.

Ini adalah prinsip dan hala tuju yang telah Malaysia pegang selama ini dalam membangunkan negara kita, kerana kita diberitahu hanya dengan menjadi bandar kualiti hidup kita akan semakin meningkat. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Realitinya, benarkah tanggapan ini atau kita sebenarnya hanya sedang menunggu masa untuk merasai sendiri kesan buruk perbandaran yang dijalankan, kadangkala secara membabi buta?

1. Jalan makin sesak

jalan sesak di malaysia kenderaan

Lebuhraya bertingkat sudah dibina. Laluan dengan 3 ke 4 lorong sudah dibuka. PIntasan ke sini ke sana, semuanya sudah tersedia. Mana lokasi yang dulu jauh, kini menjadi destinasi yang taklah sejauh biasa.

Tetapi malangnya, macam mana pun perancangan yang telah dilaksanakan kesesakan jalan raya sudah menjadi sesuatu yang akan berlaku.

Tidak tahulah sebab puncanya, adakah disebabkan kelemahan perancangan bandar, jumlah kenderaan yang terlalu tinggi, ketiadaan sistem pengangkutan awam lebih baik atau orang Malaysia memang suka berkereta ke mana saja.

Apa yang malang di banyak kawasan bandar, ada laluan-laluan dalam taman perumahan yang akhirnya 'terpilih' menjadi jalan utama orang lalu lalang, menyebabkan kualiti hidup penduduk taman terjejas.

Buka pintu pagar rumah, dah penuh kereta semuanya kerana pemandu terpaksa lari dari kesesakan-kesesakan luar biasa.

2. Sekolah makin penuh

kelas sekolah padat pertambahan pelajar

Jika anda ada anak yang bersekolah di kawasan bandar, anda pasti dah tahu situasi sekolah sebegitu.

Sekolah mesti berjalan dua sesi, kelas untuk setiap darjah atau tingkatan boleh mencecah 10 ke 12 kelas. Jumlah pelajar pula mencecah angka ribuan. Nak hantar anak ke sekolah yang tidak berapa padat, kedudukannya pula agak jauh berbanding kediaman kita.

Setiap hari kenderaan bersusun-susun di depan sekolah dalam proses penghantaran dan pengambilan pelajar. 

Semuanya kita redah setiap hari tanpa ada jalan keluar. Penduduk taman nak memohon sekolah baru dibuka, kenalah menunggu lama untuk mendapatkan kelulusannya. Itupun kalau bajet kerajaan ada.

3. Hospital makin sempit

hospital sesak dengan pesakit

Bukalah berapa banyak hospital di kawasan sekalipun, hospital itu akhirnya akan menjadi antara lokasi paling sesak sehingga barisan kereta panjang beratur di parkir sepanjang jalan menghala ke hospital itu.

Jumlah pesakit pun kadangkala senantiasa ada di tahap maksima, menyebabkan ada kes-kes pesakit gagal untuk ditempatkan di dalam wad bagi mendapatkan rawatan sepatutnya. 

Bila situasi sebegitu berulang hari ke hari, selain pesakit banyak pihak lain turut terkesan sebenarnya. Doktor dan jururawat jarang berpeluang mendapat rehat secukupnya.

Kualiti rawatan juga boleh terjejas disebabkan oleh tekanan yang dirasai setiap pihak yang bertugas ataupun sedang dirawat di sana.

4. Rumah makin kecil

rumah kampung tanah luas

Di kalangan netizen, perdebatan berkenaan kebaikan menjadi penyewa rumah atau pemilik rumah sering berlaku. Kita biarkan saja mereka berdebat. Ini bukan masanya.

Apa yang jelas sedang berlaku, harga rumah walaupun sering diperdebatkan tinggi sehingga di luar kemampuan majoriti pembeli tidak pernah turun ke tahap yang diharapkan malahan semakin meningkat.

Walaupun naik, jumlah pembelinya juga tampak baik sekiranya lokasi perumahan itu berada di kawasan yang dianggap bernilai tinggi.

Namun kuasa membeli kita walaupun tampak meningkat, hanya memberikan kita rumah yang lebih kecil saiznya. Jika 10 ke 20 tahun dulu, kita mampu mendapatkan rumah berkembar pada harga bawah RM500 ribu, kini paling besar pun rumah teres 2 tingkat. 

Silap-silap hanya dapat apartment atau unit kondominium sahaja, sekiranya lokasi yang kita pilih benar-benar tinggi permintaannya.

5. Kita makin tertekan

rakyat malaysia masalah stress

Gaya hidup moden menjadi rutin yang ingin dikecapi banyak pihak. Kita ingin menjalani apa yang dikenali sebagai corak hidup masyarakat urban, memastikan jadual kita terisi dengan aktiviti yang mencerminkan pilihan kita.

Tetapi pilihan kita itu juga menyebabkan banyak faktor tekanan wujud kepada diri kita, terutamanya dalam mencari jalan ke atas kos dan keperluan kewangan yang ada.

Cuba bayangkan dalam kepala anda, apa perbezaan utama corak hidup orang bandar dengan orang kampung? Ramai pasti akan menjawab duduk di bandar ni semuanya kena segera dengan prasarana sudah lengkap tersedia.

Duduk di kampung pula terpaksa berhadapan dengan kekangan prasarana, ketiadaan pilihan yang dimiliki masyarakat bandar tetapi hidup mereka tenang-tenang saja.

Walaupun begitu, duduk di kampung jalan raya jarang sesak kecuali tiba musim raya, sekolah pula tak cukup jumlah muridnya, klinik dan hospital tidaklah sesak setiap masa dibuka dan rumah pula luas sehingga kita yang tak larat membelanya.

Persoalannya, kenapa kita di Malaysia sama terikut menjadikan urbanisasi dan perbandaran masih sebagai falsafah utama membangunkan negara?




Hakcipta iluminasi.com (2017)