Admin adalah salah seorang kanak-kanak yang membesar dalam tahun 80-an jadi rasa hendak melihat nostalgia dihidupkan semula itu agak kuat, terutamanya kartun-kartun yang kami kerap tonton sewaktu kecil dulu.

Kami sudah melihat imaginasi semula Transformers dilakukan melalui kaedah zaman moden, begitu juga siri Thundercats yang dibuat semula seiring dengan permintaan masyarakat dunia sekarang. Bagaimanapun, era 80-an menyimpan terlalu banyak kartun-kartun animasi yang boleh dikatakan perlu dihidupkan semula dalam zaman moden, kerana bagi kami, kartun-kartun ini menyimpan 1001 nostalgia semasa kami membesar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 siri kartun keluaran tahun 80 an yang kami rasakan sesuai untuk diberikan wajah baru oleh mana-mana produksi animasi atau lebih baik lagi, dalam filem aksi yang pasti akan membuatkan jutaan peminat teruja.

1. Saber Rider and the Star Sheriffs

saber rider kartun animasi nostalgia tahun 80 an bagi kanak kanak malaysia yang perlu diberi nafas baru

Siri ini memaparkan 3 orang watak utama, Saber Rider, Fireball Hikari dan Colt Willcox dengan setiap orang mempunyai perwatakan berbeza mengikut personaliti serta negara asal kelahiran mereka.

Saber Rider adalah seorang pemuda British yang mempunyai etika yang tinggi, sopan serta tidak kerap menurut emosi. Fireball Hikari pula adalah seorang pemuda Jepun yang berani serta langsung tidak takut menempuh cabaran ekoran hidupnya dahulu sebagai pelumba kereta handalan sementara Colt pula adalah seorang koboi Amerika yang mempunyai kemahiran menembak yang tinggi namun perangainya agak keras dan tidak suka menurut arahan.

Setiap seorang mempunyai kenderaan masing-masing dan apabila keadaan sudah jadi terlalu mendesak, mereka akan memanggil senjata terkuat mereka- sebuah kapal terbang gergasi yang boleh bertukar menjadi sebuah robot besar bernama Ramrod. Proses transformasi Ramrod, adalah sesuatu yang sangat dinantikan kanak-kanak era tersebut setiap kali episod Saber Rider dimainkan di televisyen.

2. M.A.S.K

mask kartun animasi nostalgia tahun 80 an bagi kanak kanak malaysia yang perlu diberi nafas baru

Sekiranya Transformers memperkenalkan generasi terdahulu kepada robot yang bertukar menjadi kenderaan, siri M.A.S.K pula mempersembahkan idea yang sedikit berlainan. Kebanyakan kenderaan yang ada dalam siri ini mampu bertukar daripada satu bentuk asal kepada satu bentuk lain. Selain itu, rekaan topi keledar yang berlainan untuk setiap watak M.A.S.K juga merupakan salah satu daya penarik paling hebat bagi kami dulu.

Demam M.A.S.K yang melanda negara kita tidak terhenti dikaca televisyen sahaja. Pasaraya yang menjual permainan penuh dengan kanak-kanak yang mendambakan ibu ayah mereka supaya membelikan sekurang-kurangnya satu atau dua permainan M.A.S.K, kerana permainannya cukup unik (waktu itu) serta agak cantik buatannya.

M.A.S.K mengisahkan tentang sekumpulan askar bergelar Mobile Armored Stike Kommand atau M.A.S.K (apa lagi?) menentang kejahatan yang dilakukan VENOM atau Vicious Evil Network of Mayhem. Setiap episod berlegar kepada perkara buruk yang dilakukan oleh VENOM dan bagaimana pasukan M.A.S.K mencegahnya, dengan ahli-ahli M.A.S.K yang terpilih menyertai akan datang dari seluruh dunia, atas kapasiti dan keupayaan yang sesuai dengan misi yang bakal dijalankan.

3. Visionaries Knight of the Magical Lights

visionaries kartun animasi nostalgia tahun 80 an bagi kanak kanak malaysia yang perlu diberi nafas baru

Dalam dunia fantasi yang dipenuhi magis dan teknologi moden, pihak Spectral Knights terpaksa berlawan dengan satu lagi pihak jahat yang menggelarkan diri mereka Darkling Lords. Siri Visionaries terpaksa ditamatkan hanya selepas satu musim berikutan sambutan kurang memberangsangkan.

Bagaimanapun bagi mereka yang sempat mengikuti kisah Spectral Knights dan Darkling Lords ini, pasti kagum melihat idea menggunakan magis dalam menukarkan seseorang individu menjadi haiwan.

Sementara itu, adegan menyeru makhluk-makhluk magis menggunakan tongkat dengan menggunakan ayat-ayat yang diperlukan juga menjadi keunikan Visionaries berbanding kartun-kartun lain sezamannya. Kenapa Visionaries tidak begitu menjadi? Kami andaikan kerana siri ini tidak mempunyai tahap 'cool' kepada kanak-kanak. Siri ini tampak lebih matang temanya berbanding siri-siri kartun lain dalam senarai ini.

4. SilverHawks

silverhawks kartun animasi nostalgia tahun 80 an bagi kanak kanak malaysia yang perlu diberi nafas baru

Pengaruh kartun SilverHawks pada kanak-kanak tahun 80-an agak tenggelam jika dibandingkan dengan siri Thundercats yang lebih diminati seantero dunia. Bagaimanapun, SilverHawks berjaya menjadi antara kartun paling diminati kanak-kanak di Malaysia, sehinggakan salah sebuah francais makanan segera mengambil langkah menjadikan hadiah topeng muka watak-watak siri tersebut sebagai daya penarik untuk anak memaksa ibu bapa ke sana.

Siri SilverHawks mengisahkan tentang sekumpulan manusia bionik yang telah menukarkan tubuh mereka supaya mempunyai kebolehan seperti seekor helang. Pertarungan mereka dengan satu kumpulan penjahat yang dikenali sebagai Mon'Star membawa SilverHawks menjelajah angkasa lepas.

Terdapat banyak ura-ura yang pemilik hakcipta SilverHawks ketika ini, Warner Bros mahu menerbitkan semula kisah SilverHawks dalam bentuk filem, namun setakat ini belum kelihatan lagi perancangan konkrit yang benar-benar meyakinkan peminatnya.

5. Spiral Zone

spiral zone kartun animasi nostalgia tahun 80 an bagi kanak kanak malaysia yang perlu diberi nafas baru

Pada tahun 2007 (!!) bumi dikawal oleh seorang individu gila kuasa yang menggunakan hasil ciptaaannya, sebuah mesin yang menjadikan manusia yang berada di dalam radius kawalannya tidak lebih daripada seorang yang mirip dengan zombi. Dibantu oleh 5 orang askar upahan, individu itu berjaya melemahkan tamadun manusia dan mengawal masyarakat dunia.

Kemunculan 5 orang askar pelbagai negara menjadi penghalang kepada kejayaan mutlak individu yang dikenali sebagai Overlord itu. Kumpulan askar itu yang diketuai Dirk Courage, berjaya mengumpulkan beberapa orang askar dari Jepun, USSR dan Jerman Barat serta beberapa orang askar lain membuatkan perancangan Overlord banyak terganggu.

Siri animasi 'Spiral Zone' tidak popular seperti siri-siri lain, tetapi temanya yang lebih matang serta tidak takut memaparkan kesengsaraan sebenar yang dialami manusia yang terseksa ekoran kesan mesin Overlord itu, membuatkan Spiral Zone menjadi siri animasi yang mempunyai impak yang besar kepada mereka yang menontonnya.

Besar kemungkinan siri ini juga mungkin menjadi antara pengenalan paling awal seseorang kanak-kanak kepada dunia dan genre sci-fi moden.




Hakcipta iluminasi.com (2017)