Ramai nampaknya tak sabar-sabar nak menunggu giliran untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19.

Namun dalam kita tak sabar-sabar tu, kita juga perlulah berhati-hati dan cakna berkenaan beberapa jenayah dan kesalahan yang berkait rapat dengan imunisasi telah dilakukan oleh segelintir individu tidak bertanggungjawab.

Berikut adalah lima kejadian unik yang berlaku hanya disebabkan sentimen terdesak pihak yang sanggup mengambil kesempatan, atas insiden yang sedang berlangsung.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Kilang vaksin palsu

kilang pembuat vaksin palsu

Kumpulan-kumpulan sindiket jenayah pantas menghidu peluang ekoran wujudnya keperluan oleh orang ramai, untuk mendapat vaksin ekoran jumlah dos yang terhad.

Beberapa serbuan yang dilakukan oleh Polis Antarabangsa atau Interpol ke atas beberapa buah kilang yang terletak di China dan Afrika Selatan, berjaya menemui kegiatan sindiket penghasilan vaksin - yang didalangi oleh warga China dan Zambia.

Dalam serbuan tersebut, kilang kecil itu didapati telah pun berjaya menghasilkan lebih 2,400 dos menyerupai vaksin sebenar. Diramalkan serbuan itu hanyalah tangkapan ke atas sebahagian kecil sahaja sindiket sebenar.

Beberapa sampel vaksin palsu berjenama 'Pfizer' yang didakwa keluaran Mexico turut sama telah dilaporkan ditemui mula diedarkan di sekitar Amerika Syarikat.

2. Kecurian vaksin

rakaman cctv pencuri vaksin

Anda pasti merasa aneh melihat gambar di mana kenderaan yang mengangkut dos-dos vaksin perlu dilindungi oleh kenderaan pengiring. Ada sebabnya kenapa tindakan sedemikian perlu diambil.

Sudah beberapa kejadian kecurian melibatkan vaksin Covid-19 dilapor, melibatkan negara seperti Amerika Syarikat dan yang terbaru, berlaku di India. Seorang petugas barisan hadapan di Florida bernama Joshua Colon didapati terlibat mencuri 10 dos vaksin jenis Moderna.

Dia menggunakan kedudukannya sebagai anggota paramedik yang sepatutnya ditugaskan menjalankan vaksinasi ke atas ahli bomba dengan memalsukan dokumen vaksinasi, bagi menutup kecurian beliau.

Dalam kes yang berlaku pada 14 April 2021, 320 dos vaksin keluaran Sinovac didapati hilang semasa dalam perjalanan dari pusat penyimpanan ke lokasi vaksinasi sepatutnya dijalankan. Suspek kejadian sudah diberkas namun apa yang berlaku kepada vaksin tersebut belum lagi dilaporkan.

3. Jualan vaksinasi secara haram

iklan darkweb vaksin covid

Tahukah anda jualan vaksin secara tidak sah, sebenarnya sedang berleluasa melalui DarkWeb? Kajian yang dijalankan oleh firma sekuriti Karpersky mendapati terdapat lebih 15 laman web pasaran gelap yang menawarkan jualan vaksin.

Namun daripada kesemua jualan yang ada serta tidak diketahui dari mana sumbernya, dianggarkan hanya 30% vaksin yang dijual adalah vaksin sebenar sementara selebihnya mungkin vaksin palsu atau helah penipuan semata-mata. Satu dos dikatakan mampu mencecah $1,200.

Beberapa negara seperti Brazil dan Filipina turut sama melaporkan berlaku aktiviti jualan vaksin secara kecil-kecilan, tidak diperjelaskan adakah melibatkan vaksin sebenar atau palsu.

4. Jualan sijil vaksinasi palsu

sijil vaksinasi palsu amerika syarikat

Salah satu perkara yang paling merisaukan orang ramai berkaitan vaksinasi Covid-19, adalah kekangan yang bakal mereka hadapi dalam perjalanan seandainya masih belum divaksinkan.

Keperluan ini menyebabkan wujud sindiket-sindiket di beberapa buah negara yang mula mengambil pesanan dalam menyediakan sijil atau pas vaksinasi kepada individu yang memerlukan.

Setakat ini, jualan hanya dilakukan melalui saluran Dark Web di mana sindiket-sindiket ini yang mensasarkan warga Amerika Syarikat, menawarkan sijil yang diakui sangat mirip dengan sijil sebenar. Seseorang boleh melakukan pesanan yang akan disiapkan dalam tempoh 2 ke 3 hari dengan kadar bayaran sekitar $200 untuk satu nama.

Pembeli juga diberi kebebasan untuk memilih tarikh dan waktu dia 'telah' divaksinasi, yang akan dicetak dan dipaparkan dalam sijil tersebut dengan individu anti-vaksin menjadi pelanggan utama sindiket ini.

5. Penerima palsu

dua wanita menyamar dapatkan vaksin

Naluri manusia apabila berada dalam keadaan tertekan, selalunya akan menyebabkan kita mula mementingkan diri sendiri. Begitulah agaknya yang berlaku kepada ramai individu yang ditangkap sanggup melakukan pelbagai helah bagi memastikan mereka menjadi penerima awal vaksinasi.

Dua orang wanita di Florida, Amerika Syarikat berusia 30-an dan 40-an bersusah payah cuba menyamar sebagai nenek tua, lengkap dengan dokumen-dokumen palsu kelahiran bagi mendapatkan suntikan terlebih dahulu. Helah kedua-dua wanita itu berjaya dalam cubaan dos pertama, tetapi mereka berjaya ditahan dalam usaha mendapatkan dos kedua.

Seorang doktor yang bertugas di Hollywood dilaporkan menerima wang suapan melebihi $10,000 untuk membolehkan beberapa orang nama besar bidang perfileman didahulukan dalam senarai penerima vaksin.

Taktik paling popular di kalangan individu yang hanya tahu mementingkan diri sendiri ini adalah dengan menyamar sebagai pekerja barisan hadapan.

Kes paling unik melibatkan taktik ini, setakat ini dilakukan oleh pasangan hartawan dari Kanada bernama Rodney Baker dan Ekaterina Baker, pemilik rangkaian kasino berstatus jutawan.

Pasangan itu menempah pesawat peribadi untuk hadir ke sebuah kawasan terpencil didiami lebih 100 orang asal Kanada yang terletak di Beaver Creek, Yukon - lalu menyamar sebagai pekerja hotel di situ untuk memastikan mereka divaksinkan kerana mereka tahu komuniti tersebut sedang menjalani proses vaksinasi mereka.

Nasihat kami kepada petugas barisan hadapan yang bertanggungjawab menjalankan vaksinasi - pikul amanah anda dengan baik dan berhati-hatilah dengan individu yang sanggup menyamar untuk mendapatkan vaksin.




Hakcipta iluminasi.com (2017)