Filem sains fiksyen berkaitan dengan wabak jarang menjadi pilihan produser filem untuk dipersembahkan, berikutan skop peminatnya yang lebih kecil.

Walaupun demikian, trend dunia memang menunjukkan apabila berlakunya wabak-wabak berkaitan virus - pasti permintaan terhadap filem yang membawakan tema tentang penyebaran wabak ini, akan mula meningkat.

Berbeza dengan genre sains fiksyen lain yang kerap memainkan elemen fantasi, peminat filem tidak punya banyak pilihan dalam genre sebegini - tetapi lima dalam senarai ini, kami yakin dapat memuaskan hati.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Contagion

filem contagion

Sekiranya ditanya filem berkaitan wabak yang realistik, 'Contagion' akan menjadi salah satu filem yang kerap disebut kerana keberkesanannya daripada segi isinya yang dilakukan dengan merujuk kepada kes-kes yang betul-betul ada.

Digarap berdasarkan kepada penyebaran virus Nipah yang berlaku di negara kita, filem 'Contagion' memaparkan kisah bagaimana seorang wanita yang didapati sakit mampu menyebabkan jangkitan dalam skala besar sehingga menyebabkan banyak negara perlu diletakkan dalam kuarantin.

'Contagion' juga cuba membawa perspektif tentang usaha di belakang tabir penciptaan vaksin yang perlu dilakukan, serta yang lebih penting - kajian tentang perubahan manusia yang akan berlaku, apabila manusia berada dalam keadaan terdesak dan tertekan.

2. Outbreak

outbreak filem wabak penyakit

Diarahkan oleh pengarah terkenal Wolfgang Petersen, filem tahun 1995 ini membawakan kisah tentang penyebaran sejenis virus yang digelarkan sebagai 'motaba', diinspirasikan daripada insiden penyebaran wabak ebola yang masih berterusan sehingga kini.

Virus 'motaba' mula tersebar selepas seekor monyet yang menjadi perumahnya di bawa masuk ke Amerika Syarikat, sebelum dilepaskan ke dalam hutan kerana gagal dijual. Namun virus tersebut sempat menjangkiti individu terakhir yang melepaskan monyet itu.

Berbeza dengan 'Contagion', Outbreak cuba menyuntik teori konspirasi ke dalam filemnya, meletakkan usaha sesetengah pihak mahu mengambil kesempatan - menjadikan 'motaba' senjata biologi.

3. The Stand

the stand siri tv

Sebuah siri televisyen 4 episod yang menceritakan tentang apa yang berlaku kepada sekumpulan manusia - selepas sejenis virus mirip influenza berjaya membunuh majoriti manusia; mengakibatkan hanya 0.06% saja manusia masih bernyawa.

Diambil daripada sebuah novel karya penulis seram terkenal Stephen King yang menggunakan judul serupa, rancangan asalnya adalah untuk menerbitkan sebuah filem bagi tayangan teater. Bagaimanapun, rancangan itu terpaksa diubah berikutan anggaran durasi yang diperlukan - tidak memadai bagi membolehkan sebuah filem memaparkan keseluruhan novelnya dengan baik.

Setiap satu episod mempunyai durasi 2 jam, berjaya mengolah hampir keseluruhan babak-babak penting yang wajib ada. Siri ini mendapat sambutan baik serta berjaya memenangi 2 anugerah Emmy, daripada enam pencalonan kesemuanya. Sebuah siri televisyen adaptasi baru dengan judul serupa, memaparkan aktor James Marsden (X-Men, Superman Returns) sedang dalam pembikinan bagi tayangan 2020 atau 2021.

4. The Flu (Gamgi)

the flu gamgi korea selatan filem

Sebuah filem Korea Selatan yang diberikan judul 'Gamgi' dan dikenali sebagai 'The Flu' bagi pasaran antarabangsa, filem ini membawakan tentang penyebaran wabak selesema disebabkan oleh jangkitan virus H5N1 yang mampu membunuh pesakit dalam tempoh 36 jam.

Selepas satu operasi membanteras kemasukan pendatang haram mendapati pendatang yang dikurung meninggal dunia akibat satu jangkitan misteri, dua individu yang bertanggungjawab menyeludup mereka masuk mengalami jangkitan. Satu-satunya pendatang asing yang terselamat pula melarikan diri.

Usaha untuk melakukan kuarantin gagal dilakukan selepas jangkitan mula merebak, sehingga memaksa bandar Seoul ditutup aksesnya, memaksa kerajaan Korea Selatan melakukan banyak perkara di luar jangkaan bagi melindungi wabak yang mula membunuh ramai nyawa.

5. Children of Men

chdren of men clive owen virus influenza

Sebuah filem yang cuba menekankan aspek hubungan manusia berbanding dengan aspek sains fiksyen, 'Children of Men' merupakan antara filem terbaik yang pernah dihasilkan. Walaupun begitu, filem ini tidak banyak menceritakan tentang insiden yang telah berlaku kepada manusia sehinggakan ramai telah meninggal dunia akibat jangkitan selesema atau kenapa wanita dalam filem ini, tidak lagi boleh mengandung.

Sebaliknya keseluruhan filem ini cuba mengupas tentang usaha yang dijalankan sekumpulan komuniti yang mahu membetulkan kerajaan - sebelum usaha murni mereka diambil alih secara paksa beberapa individu yang mahu mencetuskan revolusi, bagi menggulingkan kerajaan United Kingdom yang tinggal ketika itu.

Di tengah-tengah pergelutan pemberontak dan kerajaan, seorang lelaki memegang tanggungjawab melindungi satu-satunya wanita yang telah mengandung, dalam tempoh hampir dua dekad. Sekiranya anda peminat filem dalam mana-mana genre sekalipun - pastikan anda menonton filem ini.

Ini kerana 'Children of Men' adalah antara filem yang pasti akan memberikan kesan yang besar pada persepsi anda, tentang duniawi serta sifat manusia yang sebenar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)