Oleh pada 01 Jul 2019 kategori

Pelancaran album merupakan salah satu detik paling penting bagi karyawan muzik. Pada ketika inilah artis atau kugiran tersebut akan memperdengarkan album karya mereka kepada pendengar, buat kali pertama.

Walaupun demikian, ada juga pengkarya-pengkarya terkenal memilih jalan berbeza dalam melakukan pelancaran album mereka. Ada yang merentas jalan baru melancarkan album dalam cara unik dan ada juga yang lebih berani, terus mengubah format muzik ke satu format lain yang jauh berbeza.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda beberapa detik di mana pelancaran album hasil karya pemuzik didatangkan dengan kaedah yang sangat menyimpang daripada norma biasa? Berikut adalah lima album yang dilancarkan oleh lima artis/kugiran yang harus diakui, bukan biasa-biasa.

1. Flaming Lips 'Zaireeka'

zaileera flaming lips empat cd asing

Dikritik kerana tidak banyak melakukan perubahan bereksperimentasi dengan muzik mereka, serta kegagalan album mereka terdahulu menyebabkan kontrak mereka mungkin ditamatkan - kugiran Flaming Lips tahu mereka perlu melakukan sesuatu yang berbeza berbanding format album mereka sebelum itu.

Bagi mendapatkan inspirasi, mereka memulakan idea mencipta simfoni di kawasan tempat letak kereta beramai-ramai, memberikan peminat mereka 40 kaset yang perlu dimainkan serentak untuk mendapatkan sebuah lagu lengkap.

Hasil daripada percubaan itu diterapkan ke dalam album mereka yang terbit pada tahun 1997, diberikan judul 'Zaireeka.' Tidak diketahui apa tujuannya, album tersebut dibahagikan kepada empat keping CD membawa bunyi yang berbeza serta perlu dimulakan serentak bagi mendengarkan lagunya.

Gimik ini diterima baik peminat mereka tetapi pengkritik mengkritik album itu, kerana memerlukan empat pemain CD dan empat orang untuk memainkannya.

2. Wu-Tang Clan 'Once Upon a Time in Shaolin'

promosi album cara paling pelik

Terkesan dengan kemudahan teknologi yang membolehkan proses cetak rompak berlaku dengan sangat mudah, kumpulan rap terkenal Wu-Tang Clan mengambil keputusan untuk menukar format album mereka kembali kepada cara tradisional sebuah karya seni dihasilkan pada zaman dahulu - dengan menerbitkan satu unit sahaja.

Diterbitkan pada tahun 2015, satu-satunya unit album yang diberikan nama 'Once Upon a Time in Shaolin' datang dengan dua keping CD mengandungi 26 buah lagu dan sehingga kini menjadi album paling mahal pernah dijual. Datang dengan kotak cantik serta buku bersalut kulit, satu-satunya versi yang ada dijual pada harga RM9.5 juta melalui proses lelongan.

3. Beck "Song Reader"

beck song reader

Tidak tahulah sama ada gimik penyanyi alternatif Beck ini harus dianggap sebagai satu jenaka atau genius. Rimas dengan budaya penularan muzik digital yang merendahkan hasil karya beliau, Beck mengambil keputusan melancarkan album beliau yang diberi judul 'Song Reader' pada tahun 2012, dalam bentuk buku nota muzik.

Ini bermakna hanya mereka yang faham bagaimana mahu membaca nota muzik serta mampu bermain instrumen boleh mendengar album beliau. Hanya selepas 2 tahun album itu dilancarkan, syarikat rakaman beliau mewujudkan satu kolaborasi bersama 20 artis lain merealisasikan lagu ciptaan beliau ke dalam bentuk album.

Barulah kita yang tidak memahami muzik dapat mendengar lagu dalam album tersebut - walaupun dinyanyikan bukan pencipta asalnya.

4. The Dead Weather 'Blue Blood Blues'

jack white triple decker vinyl

Kugiran yang diasaskan oleh lejen muzik rock Jack White dari kugiran The White Stripes ini menampilkan satu gimik yang sangat unik, kreatif dan juga besar kemungkinan sangat tidak disenangi peminatnya. Hanya dikeluarkan dalam bentuk piring hitam 12 inci yang mengandungi lagu 'Blue Blood Blues' di dalamnya, dalam piring hitam itu sendiri ada sekeping lagi piring hitam bersaiz 7 inci - mengandungi sebuah lagu baru.

Untuk mendengar lagu baru itu, pembeli perlu membuka seterusnya merosakkan kepingan piring hitam yang asal untuk mengakses lagu baru yang dimuatkan dalam piring hitamnya sendiri. Hanya 300 keping piring hitam serupa itu dikeluarkan, tetapi tidak tahulah berapa yang sudah dibuka.

5. Radiohead 'In Rainbows'

radiohead promosi in rainbows

Kumpulan gergasi Radiohead memang gemar melakukan sesuatu yang berbeza berbanding kugiran rock lain. Itulah apa yang mereka lakukan dalam pelancaran album ketujuh mereka yang bertajuk 'In Rainbows.'

Menyedari kemudahan teknologi internet menyenangkan peminat mereka mengakses katalog muzik, Radiohead mengambil keputusan melancarkan album mereka secara muat turun internet - dengan kadar bayaran ditentukan sendiri oleh peminat mereka.

radiohead bagi album percuma

'In Rainbows' dilancarkan pada bulan Oktober 2007 dan pengguna bebas memuat turun album tersebut walaupun tanpa sebarang bayaran, sebelum pautan tersebut dihentikan selepas dua bulan berlalu. Pelancaran album ini dianggap sebagai salah satu detik penting dalam sejarah pengedaran muzik digital, dengan Radiohead menjadi artis terkenal pertama mengambil langkah sebegitu sebagai tanda protes terhadap rundingan berkenaan hak cipta karya mereka sendiri, dengan syarikat rakaman EMI.

Setahun berikutnya, hasil jualan album itu dalam bentuk digital dilaporkan dan lebih ramai orang memuat turun album turut, tanpa membayar satu sen pun berbanding mereka yang sekurang-kurangnya ada membayar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)