Sebelum filem-filem superhero trilogi X-Men dan Spiderman memgubah filem Marvel, nasib Marvel dalam industri filem agak malap berbanding dengan pesaing terdekat mereka.

Era 70-an sehingga era 90-an merupakan waktu gelap filem Marvel, bermula dengan banyak produk 'straight to video' yang layak dibakul sampahkan dan filem-filem yang kelakar tidak kena pada tempatnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

hulk thor lou ferrigno

Kami sudah menulis tentang salah satu usaha awal DC Comics mengeluarkan filem Justice League yang mampu membuatkan kita tertawa, tetapi bagaimana pula dengan filem Marvel yang turut mengalami nasib serupa?

1. Captain America (1990)

captain america filem awal

Sebelum Chris Evans memainkan watak Captain America, watak tersebut pernah cuba difilemkan oleh Marvel. Salah satu hasilnya diterbitkan pada tahun 1990, di bawah tajuk 'Captain America.'

Mempunyai persamaan jalan cerita dengan komik serta filem MCU zaman moden, filem ini memaparkan adegan klasik pertembungan di antara Steve Rogers/Captain America menentang pengganas Red Skull. Dalam usaha membanteras kejahatan, Steve Rogers tertimbus dalam ais sehingga beku selama 50 tahun sebelum ditemui dan dibangunkan semula.

Selepas menyedari waktu yang telah berlalu, Steve Rogers kembali melindungi negara yang dicintainya, bertanggungjawab menyelamatkan Presiden Amerika Syarikat ketika itu daripada serangan-serangan tentera Red Skull yang masih lagi hidup ketika itu.

2. The Incredible Hulk Returns (1988)

the incredible hulk returns original

Siri The Incredible Hulk lakonan Bill Bixby sebagai David Banner dan Lou Ferrigno sebagai 'Hulk' merupakan salah satu siri televisyen kegemaran penulis satu masa dulu. Walaupun kurang popular berbanding watak-watak lain yang lebih besar, siri ini menjadi antara siri yang ikonik bagi peminat adiwira Marvel.

Sempena populariti siri TV tersebut, Marvel memilih untuk menerbitkan sebuah filem 'terus ke TV" berjudul The Incredible Hulk Returns, sebagai penyambung kepada siri TV tersebut yang selesai ditayangkan pada tahun 1982.

Jika anda ingat filem 'Thor Ragnarok' menjadi filem pertama menggabungkan watak utama Thor dan Hulk dalam sebuah filem, filem ini sebenarnya menjadi pelopor kepada idea tersebut terlebih dahulu. Bagaimanapun, dalam filem ini Hulk dan Thor bergabung melawan penjenayah biasa, bukan sekumpulan penjahat hebat lain.

3. Spider Man (1977)

spiderman 1977

Diterbitkan untuk tontonan televisyen di Amerika Syarikat dan di pawagam untuk pasaran antarabangsa, filem Spider-Man ini menjadi filem pertama bagi watak adiwira baik hati ini, sebelum Jepun mengeluarkan versi filem Spider-Man mereka setahun berikutnya.

Filem ini diterbitkan khas sebagai pendahuluan kepada rancangan Marvel ketika itu, mahu mempromosikan watak tersebut seterusnya melancarkan siri televisyen yang berkisar pada watak Peter Parker/Spider-Man tahun berikutanya, yang diberikan judul 'The  Amazing Spider-Man.'

Diterima baik semasa tayangannya, filem ini terkenal dengan lagak aksinya yang berjaya memaparkan Spider-Man meloncat dan melekat pada dinding serta siling dengan berkesan.

4. Dr. Strange (1978)

drstrange filem

Menjadi antara judul yang cuba dipopularkan berikutan sambutan baik penonton terhadap filem dan siri Spider-Man, Marvel sekali lagi melakukan kaedah serupa menerbitkan filem Dr. Strange dengan harapan untuk memulakan siri televisyen watak yang sama.

Namun malangnya filem ini yang mempunyai bajet yang agak besar untuk penerbitannya - gagal. Pelan membangunkan siri televisyen juga tidak kesampaian.

Filem ini membawa kisah pengenalan bagaimana watak Doctor Strange bermula, mempunyai jalan cerita yang agak menarik serta mirip dengan kisah asalnya dalam komik dan juga filem MCU, dengan beberapa perbezaan besar diperkenalkan. Mendiang Stan Lee sendiri terlibat dalam penerbitan filem ini, namun tidak berjaya mengubah nasib filem Dr. Strange daripada 'bungkus.'

5. Nick Fury Agent of Shield (1998)

nick fury agent of shield

Menampilkan aktor terkenal David Hasselhoff (Knight Rider, Baywatch) sebagai watak utama Nick Fury, filem ini mempersembahkan pertembungan di antara Nick Fury dan pasukan pengganas HYDRA yang menjadi musuh ketatnya sekian lama.

Walaupun menampilkan nama sebesar Hasselhoff sekalipun, filem ini layak dikatakan gagal. Dikritik kerana jalan ceritanya yang ringan serta adegan aksi yang tak berapa menjadi, tidak menghalang filem ini daripada menjadi salah satu 'cult film' bagi peminat filem adiwira Marvel.

Sekiranya anda mahu menonton filem ini, jangan sama sekali lakukan perbandingan watak Nick Fury lakonan Samuel L.Jackson dengan watak dalam filem ini. Terima filem ini seadanya. Kami pasti anda akan terhibur dengan visual dan rekaan kostum yang sangat berbaur era 90-an.




Hakcipta iluminasi.com (2017)