Oleh pada 21 Sep 2021 kategori

Sejak kecil lagi, Mark DeFriest berbeza dengan kanak-kanak lain. Anda boleh bercakap dengannya dan dia akan membalasnya. Namun, dia seolah-olah "berada di alam sendiri" dan sukar untuk berhubung dengan orang lain.

Mark dilahirkan dengan sindrom savant, satu kondisi yang amat jarang berlaku. Penghidap sindrom ini mempunyai kemampuan mental tertentu yang luar biasa tetapi kekurangan pada bahagian yang lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu kes sindrom savant yang terkenal ialah Kim Peek. Dia menghafal lebih daripada 12,000 buah buku dan mahir dalam 15 mata pelajaran tetapi kehidupan hariannya perlu diuruskan oleh orang tuanya sehinggalah dia meninggal dunia pada usia 58 tahun.

Dalam kes Mark DeFriest pula, dia mahir dalam bidang peralatan elektronik. Ketika berusia enam tahun, dia boleh membuka dan memasang semula jam tangan dan beberapa peralatan yang kompleks.

Dengan kebolehan ini jugalah beberapa kali dia berjaya melarikan diri daripada penjara.

Kerana wasiat bapa

Ketika berusia 19 tahun, Mark yang baru berkahwin ingin memulakan kehidupan baru jauh dari rumah keluarganya. Namun, bapanya meninggal dunia secara tiba-tiba dan Mark kembali untuk menghadiri majlis pengebumiannya.

mark defriest penjara

Dalam wasiat bapanya, segala peralatan elektronik milik bapanya ditinggalkan kepada Mark. Mark mengambil semua peralatan itu sebelum wasiat sempat diproses. Perbuatan itu sebenarnya melanggar undang-undang.

Ibu tirinya yang tidak berpuas hati telah menghubungi pihak polis. Keadaan mental Mark membuatkan dia menyangka bahawa terdapat konspirasi untuk menghapuskannya. Jadi, Mark melarikan diri dari rumah bapanya.

Apa yang sepatutnya menjadi salah faham kecil bertukar kepada adegan kejar mengejar antara polis dan Mark. Polis akhirnya berjaya memberkas Mark dan mereka menemui sepucuk pistol bersamanya. Disebabkan itu, Mark didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun.

Meloloskan diri daripada penjara

Jika anda menerima hukuman yang ringan, anda semestinya berkelakuan baik dan berharap agar dilepaskan dengan lebih cepat. Lainlah jika anda menghidap kanser atau dipenjara selama 250 tahun maka cubaan melarikan diri mungkin berbaloi.

mark defriest mata lebam

Bagi Mark, dia tetap nekad mahu melarikan diri. Bagi kebanyakan banduan di Penjara Florida, melarikan diri adalah sesuatu yang mustahil kerana kawalan dan sistem keselamatan yang ketat. Bagi Mark pula, ia adalah masalah yang perlu diselesaikan.

Dia yang istimewa tidak memahami akibat daripada tindakannya itu. Dalam cubaan pertamanya, dia memasukkan dadah LSD ke dalam pembancuh kopi. Dia merancang untuk melarikan diri ketika semua kakitangan sedang khayal.

Dia berjaya membuka kunci selnya, pintu penjara dan mencuri sebuah kereta. Dia ditahan tidak lama selepas itu dan dihantar ke penjara lain. Hukumannya juga dipanjangkan atas kesalahan melarikan diri dan mencuri kenderaan.

Dalam penjara, Mark juga sering menjadi mangsa buli banduan lain kerana keadaannya. Malah, dia kerap dipukul pengawal penjara yang geram kerana mereka kelihatan bodoh apabila ada banduan berjaya meloloskan diri.

Cubaan demi cubaan

Keadaannya di penjara menguatkan lagi keazaman Mark untuk meloloskan diri. Pelbagai cara digunakan Mark untuk melarikan diri. Ada kalanya dia menggunakan kelemahan sistem penjara untuk melarikan diri.

mark defriest savant

Pernah juga dia membuat replika kunci setelah menghafal corak kunci yang dipegang pengawal. Dia juga mencipta sendiri peralatan untuk memotong besi. Malah, Mark pernah berjaya membuka semua pintu sel automatik dan pengawal tidak tahu bagaimana dia melakukannya.

Lebih mengejutkan lagi, Mark pernah mencipta sejenis alat seperti catapultuntuk melancarkan dirinya melepasi pagar berduri di penjara. Secara keseluruhannya, Mark melakukan 13 cubaan untuk melarikan diri dan berjaya lolos sebanyak tujuh kali.

Setiap kali terlepas, dia akan mencari kenderaan berhampiran, membuka kunci dan menghidupkan kereta itu menggunakan teknik sambungan wayar. Malangnya, setiap kali lolos dia tetap dapat ditangkap semula.

Hukuman asal yang sepatutnya berakhir setelah empat tahun kini menjadi hukuman penjara selama 105 tahun.

Hukuman berat tanpa jenayah serius

Isteri Mark sering merayu supaya suaminya dibebaskan kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah serius ataupun melakukan jenayah kecil dengan keadaan mental yang tidak stabil.

dokumentari mark defriest

Malah, enam pakar psikiatri yang memberi keterangan terhadapnya juga mengatakan Mark tidak waras untuk dibicarakan. Namun, mahkamah tidak bersetuju.

Sementara itu di penjara, Mark diberi gelaran sebagai 'Houdini Penjara' sempena ahli silap mata Harry Houdini yang pakar dalam melepaskan diri. Pada hari ini, Mark berusia 61 tahun dan masih meringkuk di penjara.

Lebih menyedihkan, dia menghabiskan masa selama 25 tahun di kurungan tertutup kerana mahkamah dan pihak penjara percaya Mark boleh menjadi risiko yang lebih besar jika banduan lain mengikutinya untuk meloloskan diri.

Mark DeFriest merupakan satu-satunya banduan yang dihukum penjara seumur hidup dengan kesalahan ringan. Terdapat dokumentari mengenainya berjudul "The Mind of Mark DeFriest" yang diterbitkan pada tahun 2001.




Hakcipta iluminasi.com (2017)